Kenyataan Media
1 Oktober 2012
Warga Asing Beli Kad Pengenalan Palsu Diberi Peluang Mengundi - Ayuh Desak Bubar SPR Sebelum Parlimen Dibubar
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sekali lagi mendesak keras supaya 
SPR dibubarkan terlebih dahulu sebelum pilihanraya. SAMM sebelum ini 
telah membuat pendedahan kerjasama SPR dan JPN untuk menutup kerja kotor
 penipuan pilihanraya, hari ini mendedahkan kes terbaru yang menunjukkan
 warga asing diberi kelayakkan mengundi - satu pengkhianatan besar 
terhadap kedaulatan negara.
Merujuk kepada laporan Akhbar Daily Express bertarikh 29 September 2012,
 seorang warga asing bernama Hassannuddin Bin Manna memberitahu mahkamah
 bahawa dia telah membeli Mykad palsu dengan harga RM1000. Mahkamah juga
 telah memutuskan Hassannuddin didenda dan dipenjara kerana memiliki 
dokumen palsu, sekaligus mengesahkan Kad Pengenalan yang diperolehi 
Hassannuddin adalah palsu. 
Namun setelah disemak nombor kad pengenalan milik Hassannuddin 
(741029125463), SAMM mendapati nombor Kad Pengenalan palsu tersebut 
wujud dalam pangkalan data SPR dan juga merupakan pengundi yang sah. 
Persoalannya, bagaimana seorang warga asing yang telah didapati bersalah
 oleh mahkamah kerana memiliki kad pengenalan palsu didapati layak untuk
 mengundi? Kad Penganalan yang dikenalpasti tidak sah, tetapi sah untuk 
mengundi mengikut bancian senarai pengundi SPR? Bagaimana ini berlaku? 
Kad pengenalan ini juga didapati mempunyai rekod di JPN dengan status 
'telah diambil'. Ini bermakna Kad Pengenalan palsu ini telah diluluskan 
di JPN. Siapa pegawai yang meluluskannya? Siapakah kerani kaunter yang 
melepaskan kad pengenalan palsu ini untuk diambil?
Apakah ini satu lagi kerjasama utuh di antara Suruhanjaya Pilihanraya 
(SPR), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan juga melibatkan bantuan dari
 Jabatan Imigresen? Inikah hasil daripada program 6P yang cuba 
dilaksanakan secara terburu-buru oleh Jabatan Imigresen?
Isu pemberian Mykad kepada warga asing merupakan satu isu yang sangat 
serius ketika ada warga sendiri yang masih tidak diberi kad pengenalan 
kerana birokrasi melampau. Percayalah lambat laun warga negara sendiri 
terpaksa merempat di bumi bertuah ini. 
Keadaan menjadi lebih parah apabila warga asing diberikan pula hak untuk
 mengundi oleh SPR. Apakah demokrasi negara ini dibiarkan terjual kepada
 warga asing demi menyelamatkan Barisan Nasional daripada kehilangan 
kuasa?
Lihatlah bagaimana kedudukan warga asing di serata pelusuk negara 
walaupun tanpa memiliki dokumen yang sah, mereka mampu berniaga di pasar
 pagi, pasar petang siang dan malam, membuka gerai, bengkel malah ada 
yang mempunyai syarikat pembinaan sendiri. Bayangkan jika warga asing 
diberikan kad pengenalan secara sewenang-wenangnya demi mempertahan 
regim pemerintah sedangkan ia sebenarnya satu skim menjual negara.
Barisan Nasional sudah semakin lemah dan tidak mampu untuk menang dalam 
pilihanraya yang juga beberapa kali ditangguh. Barisan Nasional kini 
ditolak oleh rakyat negara ini, maka idea memberikan kewarganegaraan 
segera kepada warga asing merupakan satu jalan singkat yang mengundang 
padah kepada seluruh rakyat negara ini. Banyak pendedahan telah dibuat 
dan pendedahan terbaru ini menjadi bukti kewujudan pemberian 
'kewarganegaraan segera' sedang berleluasa.
SAMM sebagai peneraju anak muda bingkas sekali lagi menyeru kepada 
seluruh rakyat agar tidak berdiam diri ketika negara sedang dijual 
sehabisnya. Semua persoalan ini bukan sahaja wajib dijawab malah SPR 
yang gagal membersihkan senarai pengundi wajib dibubarkan segera sebelum
 parlimen dibubar. 
SAMM memanggil semua NGO dan individu yang cintakan demokrasi, cintakan 
negara ini harus menyertai gerakan membubarkan SPR dengan segala bentuk 
tekanan walaupun dengan melakukan satu lagi protes terbesar menuntut 
pilihanraya bersih dan adil - BERSIH 5.0. Selagi pilihanraya tidak 
bersih, selagi itulah wajarnya protes ini dengan pelbagai pendedahan 
yang tidak disangkal sebagai bukti.
"Perubahan itu harus didesak bukan ditunggu"
Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

No comments:
Post a Comment