Saturday, February 20, 2010

Jawatan PM Najib Lonjak Nazir Antara Individu Terkaya Malaysia

KUALA LUMPUR, 20 Feb - Tindakan Umno-BN bersama kroni mengumpul kekayaan melalui penyalahgunaan kuasa bukan sahaja melambangkan 'kerakusan' untuk terus mempertahankan kuasa serta kedudukan tetapi sebaliknya bertujuan menambah beban rakyat.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Badrul Hisham Shahrin atau CheGuBard menyelar demikian ketika mengulas pendedahan senarai Malaysian Business yang melaporkan adik Perdana Menteri Datuk Seri Nazir Razak tersenarai antara 40 individu terkaya di Malaysia.

Nazir yang menguasai CIMB Group muncul dalam senarai itu kurang setahun abangnya Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri.

Seperti tahun lepas, kekayaan 40 teratas itu dinilai berdasarkan kepada nilai saham individu di dalam syarikat yang tersenarai pada 15 Januari tahun ini.

"Ketika zaman Dr Mahathir dahulu berapa banyak kekayaan yang disonglap beliau bersama kroni-kroninya termasuk anak beliau Mokhzani. Begitu juga Pak Lah yang begitu rakus membenarkan kaedah yang sama digunapakai untuk kepentingan anaknya, Kamaruddin sehingga pernah tersenarai antara yang terkaya di Malaysia. Sekarang, Najib pula berjaya memasuki dalam kategori sama mengaut harta secara gelap untuk diberikan kepada adiknya, Nazir, bersama ribuan kroni-kroni mereka," kata beliau yang juga Ketua Cabang Rembau.

Beliau juga membidas kepimpinan rejim Umno-BN yang mementingkan kekayaan namun tegar mengenepikan kepentingan rakyat termasuk menghancurkan masa depan orang Melayu walaupun memerintah negara selama 50 tahun.

"Kita lihat sendiri bagaimana mereka sanggup meminggirkan bangsa sendiri menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang pada mulanya diwujudkan untuk membela orang-orang Melayu, tetapi gagal.

"Bukan itu sahaja, kekayaan mereka terus bertambah tetapi rakyat yang miskin semakin dihimpit beban yang tidak mampu lagi ditanggung berikutan kenaikan harga barangan termasuk harga minyak akan turut dinaikkan," jelas Badrul lagi.

Sehubungan itu beliau menggesa rakyat untuk merubah lanskap kehidupan mereka bersama Pakatan Rakyat supaya jauh lebih baik berbanding di bawah pemerintahan BN.

Sementara itu Tan Sri Robert Kuok dari Kumpulan Kuok yang melepaskan mahkota “Raja Gula” tahun lepas masih mendahului senarai dengan kekayaan RM42.76 bilion, meningkat RM16.1 bilion daripada RM26.6 bilion setahun lalu. - petikan suara keadilan


1 comment:

  1. Sivakumar8:23 AM

    Inilah dia masalah besar di Malaysia.

    Kroni-kroni menjadi kaya raya dengan wang dan sumber semulajadi MILIK RAKYAT!

    Anak Mahathir iaitu Mokhzani, salah seorang yang paling kaya sekali di Malaysia pun sama juga.

    Kenapa kita tidak menyoal ini, tapi ramai di kalangan kita terus memuja Mahathir??

    ReplyDelete