Monday, February 08, 2010

Eksploitasi media: Pemimpin PKR akui ketinggalan

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, Feb 8 — Walaupun secara relatif saluran komunikasi bertambah berbanding satu dekad yang lalu, pemimpin PKR mengakui pihaknya agak ketinggalan berbanding media arus perdana dalam menyebarkan maklumat peringkat utama mengenai prosiding kes liwat kedua ketua mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dalam menggunakan media, banyak elemen yang kita tertinggal berbanding media arus perdana... kali ini kami nampak agak ketinggalan dalam menampilkan imej dan gambar-gambar (yang memihak) berkaitan kes Anwar ini,” kata anggota Majlis Pimpinan Pusat, Badrul Hisham Saharin kepada The Malaysian Insider.

Badrul yang mengikuti dengan dekat kes liwat pertama Anwar akhir 1990-an dan yang terbaru berkata, pada tahun 1998 pendekatan yang diambil mereka lebih tersusun berbanding sekarang.

Sebagai contoh, beliau memetik penggunaan gambar muka depan Utusan Malaysia pengadu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan menunjukkan katil di bilik tidur utama di Kondominium Desa Damansara, tempat dia mendakwa diliwat Anwar.

Gambar-gambar sebegini membentuk persepsi di kalangan orang ramai, kata beliau tetapi menafikan sokongan orang ramai kepada Anwar, PKR dan Pakatan Rakyat menurun.

“Semalam saya menghadiri ceramah di Kemaman, saya mendapati kehadiran orang masih ramai, dalam lingkungan 3,000 orang... ini menunjukkan sokongan pengundi kepada Anwar tidak berubah,” katanya.

Kini selain laman web dan blog, perkembangan semasa kes Anwar juga diikuti menerusi ruangan mikro twitter.

PKR juga menganjurkan perarakan dari Masjid Wilayah Persekutuan ke kawasan mahkamah selepas solat Jumaat lalu, hanya disertai dalam lingkungan 30 hingga 50 orang. Ketika itu prosiding sudah diputuskan untuk ditangguhkan sehingga ke hari ini.

PKR juga menganjurkan sesi penerangan setiap hari di premisnya di Tropicana, Petaling Jaya.

Malam tadi Pengarah Strategi PKR Tian Chua menemui sekumpulan mereka yang terlibat dalam gerakan reformis sejak 1998 sehingga perhimpunan anti-ISA tahun lalu.

“Pertemuan malam ini (semalam) bertujuan mendapatkan pandangan mereka menggerakkan momentum sokongan kali ini dan menyusun strategi,” kata Badrul ketika ditemui di Rembau.

Badrul juga berkata kehadiran penyokong yang tidak ramai mungkin disebabkan orang ramai boleh melihat dan mengikut pergerakan Anwar bila-bila masa berbanding satu dekad yang lalu.

“Dulu Anwar ditahan di penjara dan apabila beliau pertama kali muncul di mahkamah, orang ramai melihat mata lebam beliau... ini menimbulkan perasaan simpati... kali ini elemen simpati tiada,” katanya.

“Suasana dulu macam organik, ada elemen simpati... kalau hendak tengok Anwar, orang ramai kena datang ke mahkamah,” katanya.

Sebelum kes Anwar ini bermula, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya akan menggerakkan kempen penerangan yang lebih tersusun kali ini berbanding dengan ketika kes liwat pertama.

“Bayangkan kita mempunyai sejumlah blog dan laman web yang begitu banyak berbanding tahun 1990-an... ini akan digunakan dengan baik,” katanya.

Malah pada akhir prosiding Jumaat lalu, peguam utama Anwar, Karpal Singh juga menyentuh penggunaan gambar yang disebutkan oleh Badrul.

Karpal memohon mahkamah supaya mengeluarkan amaran kepada Utusan Malaysia berhubung gambar yang disiarkan oleh akhbar itu hari ini dengan keterangan gambar “Saiful menunjukkan katil tempat diliwat oleh Anwar Ibrahim kepada Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah”.

“Bagaimanakah maklumat ini boleh bocor. Begitu juga dalam Sinar Harian,” kata Karpal.

Bagaimanapun Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berkata: “Saya percaya ada jurugambar yang masuk ketika prosiding melawat di tempat kejadian di kondominium itu, tetapi apa yang dipersetujui, apa yang diberitahu oleh saksi pendakwa pertama (Saiful) telah tiada bantahan.”

Karpal berkata akhbar berkenaan menggunakan perkataan “katil” dan bukan “tempat” dan itu bukanlah apa yang berlaku semasa prosiding mahkamah terbuka.

Hakim Mohamad Zabidin berkata mahkamah tidak nampak sebarang tindakan menghina mahkamah berhubung laporan Utusan Malaysia dan Sinar Harian itu memandangkan perkataan “katil” telah pun disebut semasa prosiding mahkamah terbuka.

Sehari sebelum itu, pasukan pembelaan Anwar juga mahu agar Utusan Malaysia dikenakan tindakan menghina mahkamah berhubung laporan akhbar itu pada hari Khamis mengenai perbicaraan kes liwat melibatkan ketua pembangkang itu.

Karpal berkata mahkamah perlu bertindak dan merujuk akhbar itu dengan kesalahan menghina mahkamah walaupun ia berlaku di luar mahkamah.

No comments:

Post a Comment