Monday, February 08, 2010

Di Negeri Sembilan Hanya 24.8% Pengundi Baru mendaftar - Jom Cari yang 65% belum mendaftar

PUTRAJAYA, Feb 9 — Sambil mengakui usaha-usaha diambil untuk menarik pengundi baru masih gagal, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pihaknya sedang mengkaji pendaftaran online dan berwajib.

“Saya boleh katakan kita gagal...,” kata beliau ketika ditanya sama ada segala pendekatan tambahan yang diambil sejak satu dekad lalu tidak membuahkan hasil atau gagal mencapai sasaran yang diharapkan suruhanjaya itu.

Sejak tahun 2003 SPR memperkenalkan pendaftaran pengundi baru sepanjang tahun dengan daftar pemilih dikemaskinikan setiap suku tahun. Sebelum itu pendaftaran hanya dijalankan setahun sekali.

Selain itu SPR menggunakan khidmat 696 pejabat pos, kaunter statik di pejabat-pejabat SPR, kaunter bergerak dan penggunaan khidmat seramai 2,418 penolong pendaftar membabitkan wakil parti-parti politik.

Setiap pendaftaran dibayar komisen RM1 dan kadar itu dikaji untuk dinaikkan menjadi RM3.

Aziz yang mengambil alih kepimpinan SPR awal Januari 2009 memberitahu beliau secara peribadi meletakkan sasaran 70 peratus pengundi baru mendaftar tetapi bilangan mereka yang diperoleh jauh lebih kecil.

“Mungkin tahap harapan saya terlalu tinggi iaitu 70 peratus daripada mereka yang belum mendaftar tetapi kita hanya mencapai dalam lingkungan 10 peratus.

“Saya berharap jika dapat mencapai separuh daripada itu pun sudah cukup bagus,” kata beliau dalam pertemuan dengan wartawan di sini.

Menurut Aziz, walaupun seramai 15,470,032 orang layak untuk menjadi pengundi sehingga 14 Okt lalu tetapi jumlah mereka yang mendaftar hanya seramai 11,085,863 orang.

Bermakna seramai 4,384,169 orang ataupun 28.3 peratus masih belum berbuat demikian.

Peratusan paling tinggi tidak mendaftar melibatkan Wilayah Persekutuan Putrajaya (50.5 peratus), dan disusuli oleh Wilayah Persekutuan Labuan (35.3 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (33.7 peratus), Sarawak (33.6 peratus), Selangor (32.8 peratus), Johor (31.3 peratus) dan Perak (30.3 peratus).

Kedah (26.6 peratus), Sabah (25.5 peratus), Negeri Sembilan (24.8 peratus), Kelantan dan Pahang (24.5 peratus), Pulau Pinang (23.3 peratus), Perlis (20.8 peratus), Melaka (20 peratus) dan Terengganu (13.4 peratus).

Mengulas lanjut, Aziz mengakui bahawa pihaknya sedang mengkaji keperluan untuk menggunakan pendekatan pendaftaran secara online dan automatik.

Bagaimanapun beliau mengakui jika pendaftaran secara automatik atau berwajib diperkenalkan ia boleh menimbulkan beberapa implikasi lain.

“Mungkin orang akan menimbulkan persoalan mendaftar dan mengundi sebagai hak seseorang... hak asasi fundamental seseorang rakyat, tidak boleh dipaksa,” katanya.

Aziz berkata pendaftaran automatik atau berwajib perlu disusuli dengan pengundian berwajib.

“Kedua-duanya mesti berjalan sekali,” katanya.

Kajian itu jika diterima Kabinet ia akan membabitkan pindaan pada Perlembagaan Persekutuan.

Satu lagi implikasi disebutkan beliau ialah penguatkuasaan ke atas mereka yang tidak keluar mengundi pada hari pengundian.

“SPR tidak ada hak penguatkuasaan... bagaimana hendak mencari dan mengesan mereka yang enggan keluar mengundi jika pendaftaran dan pengundian diwajibkan,” katanya.

Bekas ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri ini merujuk kepada kesukaran yang pernah dialami polis untuk mengesan mereka yang melakukan kesalahan trafik satu ketika dulu.

SPR berharap kajian mengenai pendekatan baru itu akan selesai sebelum pilihan raya umum akan datang.

Mandat semasa sepatutnya berakhir Mei 2013.

Bagaimanapun Aziz juga sangsi sama ada pendaftaran dan pengundian berwajib benar-benar boleh meningkatkan peratusan keluar mengundi.

Ini kerana kedua-duanya berkait rapat dengan sikap pengundi.

Kini purata pemilih yang mengundi dalam pilihan raya umum adalah dalam lingkungan 75 peratus.

No comments:

Post a Comment