Sunday, May 24, 2015

Ingat tak lagi bahaya TPPA?

Tulisan Umum
18 Mei 2015
Ingat tak lagi bahaya TPPA?
Isu mengenai TPPA ini telah berlarutan lama. Mungkin ada yang sudah terlupa mengenai kesan atau risiko TPPA kepada negara kecil dan sedang membangun seperti Malaysia.
Dalam kertas perbincangan TPPA yang bocor sebelum ini telah didedahkan bahawa negara-negara yang menandatangani perjanjian TPPA ini tidak dibenarkan mempunyai rezab Persekutuan yang banyak. TPPA tidak membenarkan Kerajaan sesebuah negara itu untuk mengamalkan kawalan pasaran modal. Negara terlibat perlu membenarkan pasaran modal bergerak bebas termasuklah pelaburan daripada negara luar, bon kerajaan dan aset kewangan lain.
TPPA juga melarang penggunaan sebarang bentuk peraturan untuk mengawal ataupun mengekang pergerakan modal seperti transaksi kewangan, cukai, syarat tempoh memegang saham yang mencegah kegiatan meraih keuntungan pelaburan dalam tempoh pendek.
Apa kepentingan kawalan pasaran modal?
Kawalan pasaran modal adalah amat penting pada masa berlakunya krisis kewangan. Pada tahun 1997-1998 berlaku krisis kewangan di Asia yang menyaksikan negara-negara ASEAN yang sememangnya mempunyai tanggungan hutang luar negara yang tinggi - gagal membayar hutang dan juga modal asing meningkat dengan drastik. Thailand, Indonesia, Filipina tidak mahu mengenakan kawalan modal dan telah mengalami kerugian yang amat besar dan dahsyat. Malaysia pada ketika itu telah mengambil tindakan kawalan modal yang mana akhirnya memberikan sedikit ruang kepada ekonomi kita untuk bernafas dan pulih.
Selepas berlaku beberapa kegawatan ekonomi dunia, kawalan modal semakin dilihat jalan yang sah dimana negara-negara mampu mempertahankan diri mereka daripada kerugian dahsyat di dalam era sektor kewangan berkaitan globalisasi yang boleh membuatkan krisis kewangan merebak ke seluruh dunia. Malah, IMF yang sangat konservatif itu juga mengakuinya.Kawalan pasaran modal juga berguna untuk menguruskan paras kadar tukaran matawang.
Melalui TPPA, bank asing, syarikat insurans, saudagar wang dan saudagar hartanah asing daripada negara-negara peserta yang lain akan mempunyai kuasa khas untuk mencabar undang-undang dan polisi yang telah digubal untuk mengalihkan fokus pelaburan jauh daripada spekulasi dan meningkatkan produktiviti ekonomi kita.
Haruslah diingati TPPA adalah merupakan projek kesayangan Barrack Obama dan pelobi neo-con atau neo-liberal. Negara-negara peserta dibiarkan untuk menanggung hutang yang banyak setiap kali berlaku krisis kewangan.
Mengikut teori kewangan konservatif, setiap 10 tahun pasti akan berlaku krisis kewangan. Jika 10 tahun dari sekarang dan dengan TPPA yang telah ditandatangani nanti, apakah negara kecil dan sedang membangun seperti Malaysia akan terus menjadi mangsa penjajahan ekonomi negara Uncle Sam itu?
Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda SAMM
nota : BANTAH TPPA - Objektif, Aktiviti dan Keanggotaan sila klik https://www.youtube.com/watch?v=hddtqrLeji8

1 comment: