Sunday, May 24, 2015

Hadi Sedang Membakar Jambatan Perjuangan Rakyat Sambil Berpelukan Erat Dengan UMNO

Tulisan Umum
23 Mei 2015
Hadi Sedang Membakar Jambatan Perjuangan Rakyat Sambil Berpelukan Erat Dengan UMNO
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) memerhatikan dengan rapat perjalanan politik tanahair ketika ini. Pertembungan-pertembungan politik yang sedang berlaku dewasa ini tidak lagi berkisar kepada rintihan rakyat sebaliknya lebih terarah kepada mempertahankan hegemoni kuasa kepimpinan parti politik.
SAMM dalam banyak kenyataan mengenai pertembungan politik dalaman UMNO telah menyatakan bahawa pertembungan tersebut hanya bersifat kosmetik dan sekadar menjadi talian hayat UMNO bukannya ikhlas mempertahankan agenda rakyat. Dan ketika ini nampaknya, Pakatan Rakyat juga bakal berhadapan dengan kemusnahan hasil daripada percakaran di antara parti komponen di dalamnya.
Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang semakin jelas menunjukkan keinginan mahu membina perkahwinan baru dengan UMNO. Hadi menyatakan PAS bersedia untuk memberi peluang kepada Kerajaan untuk membetulkan kesemua kesalahan yang telah berlaku sebelum ini. Hadi terlupa bahawa rakyat telah memberikan peluang kepada UMNO/BN ini bukan hari ini. Bukan semalam. Bukan juga kelmarin. Tetapi SAMM ingin menegaskan bahawa semenjak daripada Merdeka dan Pilihanraya Umum Pertama, rakyat telah memberikan peluang kepada Perikatan atau Barisan Nasional untuk memerintah negara ini.
Lebih setengah abad rakyat telah memberikan peluang kepada rejim BN untuk mentadbir negara. Ia tidak menjadi semakin baik, tetapi semakin teruk. Masakan Hadi sebagai seorang Presiden parti merangkap Ahli Parlimen tidak sedar akan perkara ini. Hutang negara terus meningkat menghampiri paras siling 55% daripada KDNK, pertumbuhan ekonomi yang jatuh secara purata berbanding tahun 90-an, kegagalan meningkatkan kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah, Aliran Wang Haram bernilai hampir RM 1 trillion, kegagalan meningkatkan kedudukan negara dalam ranking universiti terkemuka dunia dan pelbagai lagi.
Rejim BN pasca Tun Hussein Onn sebenarnya sarat dengan pelbagai skandal dan persepsi rasuah dan salahguna kuasa. Skandal demi skandal terus subur. Contohnya, BMF, PERWAJA, PKFZ, NFC, Oil For Food Programme, SCOMI, 1MDB, dan sebagainya. Perpaduan antara rakyat juga merupakan perkara yang jelek bagi rejim ini. Prasangka, pergeseran dan ekstremis terus dimekarkan. Dalam diam, rakyat terus diasuh untuk membenci satu sama lain. Tambah mual apabila ilmuwan tak kira dalam hal agama mahupun duniawi turut sama bersekongkol.
Menukar individu dalam jalur kepimpinan UMNO/BN tidak mengubah apa-apa. Mereka tidak pernah insaf atau mahu berubah. Naik seorang pembesar baru yang kononnya dijaja sebagai Penyelamat Ummah, membawa apa yang dipanggil idea baru kononnya, akhirnya rakyat akan terus melopong melihat mereka meneruskan rancangan untuk merompak perbendaharaan negara buat kesekian kalinya. Dan apakah PAS masih lagi berharap mereka ini akan berubah selepas lebih setengah abad berada di dalam tong yang busuk lagi membusukkan itu?
Lantas ia bukanlah satu perkara yang mengejut apabila Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang pada 22 Mei 2015 menyatakan PAS bersedia untuk menamatkan kerjasama dengan DAP lantaran kononnya DAP membentuk Kabinet Bayangan tanpa PAS dan PKR. Jika baca keseluruhan laporan media tersebut, hasrat sebenarnya adalah kononnya apa yang dikatakan Kabinet Bayangan DAP itu meminggirkan Melayu.
Hadi telah menjadi lidah UMNO/BN. Memanipulasi hakikat bahawa DAP bukanlah membentuk Kabinet Bayangan sebaliknya senarai tersebut adalah merupakan senarai Ahli Parlimen DAP yang telah ditugaskan untuk menjadi jurucakap untuk setiap portfolio Kabinet. Tidakkah Hadi memahami perbezaan maksud Jurucakap dan Kabinet Bayangan?
SAMM juga ingin bertanya kepada Hadi, setelah seminggu Parlimen bersidang untuk Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, tetapi dimanakah Usul Persendirian yang sebelum ini heboh diperkatakan? Benarkah Hadi ikhlas untuk membawa Usul Persendirian tersebut atau sekadar mengikut telunjuk satu pihak yang sememangnya ingin membakar jambatan perjuangan Pakatan Rakyat?
Hadi sepatutnya sedar jika Kerajaan Persekutuan khususnya UMNO benar-benar ikhlas untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan, mengapa muncul laporan media mengenai nasib rakyat Kelantan yang menjadi mangsa banjir hingga kini masih lagi tidak mempunyai rumah kediaman? Jika dalam soal Hudud, PAS dan UMNO boleh sehaluan di dalam Dewan Negeri Kelantan, mengapa dalam hal ini tidak mahu bekerjasama dengan baik? PAS dan Hadi perlu menjawap mengapa Kerajaan Negeri hanya mampu menyiapkan 10% rumah manakala Kerajaan Persekutuan pula hanya 0.6% sahaja rumah yang dijanjikan?
SAMM berpandangan jika Hadi sememangnya sudah tawar hati dengan Pakatan Rakyat, Hadi perlu berani untuk menyatakan PAS tidak lagi mahu bersama Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat juga perlu bertegas di dalam hal ini. Polemik percanggahan ini tidak boleh lagi dibiarkan. Keputusan tegas harus dibuat. Jika berpecah, PKR dan DAP masih mempunyai masa untuk merawat kemusnahan yang berlaku.
Kepimpinan dan ahli-ahli PAS yang progresif dan menyokong idealisme Pakatan Rakyat juga perlu membuat keputusan drastik. Tidak perlu tunggu sehingga Muktamar akan datang. Hadi telah menunjukkan isyarat jelas. Beliau lebih rela berpelukan dengan UMNO berbanding ahli-ahli PAS yang menyokong Pakatan Rakyat. Buatlah keputusan sebelum rebah ke tanah.
Mohd Faizal Ab. Rahman
Penyelaras Kebangsaan SAMM

No comments:

Post a Comment