Monday, May 25, 2015

Gabungan Merdeka Rakyat Tuntut Kebebasan Ekonomi

Selepas Bapa Pemodenan, Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri, Tun Abdullah pula mencetuskan perjuangan Islam Hadhari. Kini, slogan 1Malaysia dilaung-laungkan di bawah tampuk pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak. Apa pula mesej yang bakal disampaikan dalam teraju utama perjuangan ini?

Mereka (Perdana Menteri) mempunyai misi dan ideologi tersendiri dalam memacu negara pada era pemerintahan masing-masing. Jelas sekali mereka mempunyai cita-cita mahu mencipta sesuatu yang dapat menggambarkan identiti atau ‘trademark’ tersendiri ketika menerajui negara. Umum pasti tahu siapa ‘dalang’ utama di sebalik cetusan idea bernas Wawasan 2020 iaitu Tun Dr. Mahathir dalam misi jangka panjangnya yang telah diperkenalkan pada 28 Februari 1991. Kini hanya berbaki 5 tahun untuk kita lihat hasilnya. Mampukah negara mencapainya? Masih relevankah perjuangan ini? Dan adakah kebajikan rakyat benar-benar terbela?

Daripada perspektif ekonomi, Malaysia perlu menghadapi banyak cabaran untuk mencapai Wawasan 2020 memandangkan keadaan ekonomi yang tidak menentu. Perlu diingat bahawa misi untuk menjadi negara maju pada tahun 2020 akan tercapai dengan mempertahan dan menambah segala perkara yang kita telah perolehi. Jangan asyik mengejar kemajuan sehingga leka dengan kesan buruk yang mungkin berlaku dan boleh mewujudkan bencana alam atau dalam erti kata sebenarnya membawa kehancuran kepada negara ibarat kata pepatah ‘Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’.

Malaysia banyak belajar daripada setiap tragedi yang melanda dunia. Tahun 1998 merupakan ujian yang paling mencabar bagi negara kita kerana ekonomi dunia meleset dengan teruk. Impian untuk Malaysia menjadi negara maju pada tahun 2020 hampir musnah ketika itu tetapi Malaysia tetap teguh dan dapat bertahan walaupun banyak institusi daripada pelbagai sektor terpaksa memberhentikan ramai pekerja mereka.

Kalau kita lihat statistik yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, kadar kemiskinan di Malaysia terletak dibawah paras 1 peratus, satu kadar yang cukup rendah dan boleh dibanggakan, namun sayangnya statistik yangada tidak melambangkan reality yang berlaku di Malaysia, menurut United Nation Development Programme (UNDP) kadar kemiskinan Malaysia adalah pada paras 20 peratus, satu kadar yang cukup tinggi yang mana perkiraan ini dibuat berdasarkan kadar kemiskinan relatif, bahkan malaysia juga perlu mewujudkan gaji minima yang adil dan saksama buat semua.

Dengan melihat realti Malaysia yang berkecamuk dengan pelbagai polemik ekonomi, politik, agama dan perkauman, oleh itu Gabungan Merdeka Rakyat (GMR) yang merupakan gerakan mahasiswa yang didokong lebih daripada 80 buah persatuan atau gerakan mahasiswa berhasrat dan komited membawa sebuah gagasan yang cukup besar dan ideal untuk dilaksanakan demi masa depan rakyat Malaysia yang lebih sejahtera. Gerakan ini ditubuhkan atas kesedaran dan keperluan semasa dan akan datang, supaya anak muda pada hari ini dapat bersama-sama menyumbang pemikiran dan tenaga dalam membangun bersama negara Malaysia.

Antara tuntutan GMR dalam spektrum Kebebasan Ekonomi  ialah :

Kadar kemiskinan mutlak tidak lagi boleh diguna pakai. Gunakan kadar kemiskinan relatif dan wujudkan gaji minima yang adil dan saksama buat semua.
Pekerjaan yang wajar dan gaji yang adil untuk semua rakyat. Secara prinsip, tiada seorang pun yang bekerja sepenuh masa harus berada di dalam kemiskinan.
Iktiraf hak kolektif pekerja dan hadkan penggunaan pekerja asing dalam industri tertentu
Setiap rakyat perlu diberi peluang untuk memiliki sebuah rumah yang sesuai untuk kehidupan mereka.
Pembangunan sektor sosial untuk membantu menangani kemiskinan dan masalah sosial
Batalkan Cukai GST. Cukai Keuntungan Modal dan Cukai Warisan terbukti cukai yang lebih baik dalam merapatkan jurang pendapatan antara yang kaya dan miskin.
Batal dan tarik diri daripada perbincangan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Malaysia perlu mengambil iktibar dan belajar daripada tragedi yang telah melanda negara lain agar lebih bersiap sedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan. Menurut Pensyarah Ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Amir Hussin Baharuddin, Malaysia bernasib baik kerana mempunyai sumber kepentingan yang boleh diguna pakai untuk kepentingan negara antaranya sektor pertanian, perikanan, perindustrian dan cari gali minyak. Hal ini dapat membantu Malaysia mengekalkan kestabilan ekonomi di samping menjadi tempat ‘selamat’ bagi pelabur asing.

Tuntasnya, kerajaan pada hari dan akan datang perlu melihat kemajuan negara bukan sekadar melihat aspek pendapatan negara, pendapatan perkapita, tetapi juga perlu melihat dan bergerak atas paksi  pembangunan rakyat secara syumul supaya kemajuan negara ini dilihat bukan hanya sekadar kemajuan ekonomi tetapi juga pembangunan rakyat secara ruhiyyah dan jasadiah.
Deklarasi dan video pidato boleh dilihat di sini -> http://aafaizli.com/deklarasi-gabungan-merdeka-rakyat/

*Pidato ini disampaikan di Pidato Merdeka Rakyat ketika pelancaran Deklarasi Merdeka Rakyat oleh Gabungan Merdeka Rakyat (GMR). Mohd Ammar Atan merupakan Pengarah Kebebasan Ekonomi GMR dan Presiden PMUM.

2 comments:

  1. Anonymous5:45 PM

    Tun M - Bapa Pemodenan Malaysia
    Najib - Bapa Percukaian Malaysia

    ReplyDelete