SHAH ALAM – Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail
mendakwa Pas lebih menyerlah dan akan mendapat manfaat lebih besar
menerusi kerjasama politik dalam Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya
Umum ke-13 (PRU13).
Malah katanya, gesaan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa
kelmarin supaya Pas keluar PR tidak berasas kerana sejarah politik
membuktikan parti itu mendapat kemenangan besar sekiranya bergerak dalam
satu kumpulan, bukannya bersendirian.
“Saya menolak tanggapan bahawa dalam rekod Pas sebagai parti politik,
jauh lebih baik apabila berkawan dengan DAP dan PKR. Rekod Pas mendapat
sokongan tinggi apabila Pas berkawan dengan parti lain.
“... kemenangan Pas lebih besar pada 1995 dan 1999 apabila berkawan
dengan Semangat 46. Apabila Pas berkawan dengan orang lain, dia menang
besar. Apabila berkawan dengan DAP pun, Pas menang besar,” kata beliau
kepada Sinar Harian Online.
Dalam pada itu, katanya, sejarah pilihan raya membuktikan Pas gagal
mempertahankan kemenangan besar 1999 pada tahun 2004 setelah Barisan
Alternatif berpecah, disebabkan isu negara Islam.
Pada 2004 Terengganu tercicir dari tangan Pas tetapi Kelantan kekal.
Bagaimanapun katanya, pada pilihan raya umum 2008, Pas mendapat kembali
sokongan rakyat dan menikmati kemenangan besar apabila bekerjasama
semula dengan PKR dan DAP.
“Pada 2008, wujud persefahaman antara ketiga-tiga parti apabila tidak
bertanding di tiga penjuru, di mana ada Pas, PKR dan DAP tidak akan
bertanding di kerusi yang sama dan begitulah sebaliknya.
“... hasilnya pada 2008 menyaksikan kita memperoleh 82 kerusi parlimen
iaitu Pas memperoleh 23 kerusi, DAP peroleh 28 kerusi dan PKR 31
kerusi,” jelasnya.
Sementara itu, Saifuddin juga membidas dakwaan Nasharudin apabila
mengatakan ketiga-tiga parti dalam PR telah melanggari dasar bersama
yang telah disepakati pada 19 Disember 2009 iaitu pada Konvensyen
Pakatan Rakyat yang pertama.
Sebaliknya, gesaan Nasharudin supaya Pas mengkaji semula Tahaaluf
Siyaasi dengan PR tidak timbul kerana wakil ketiga-tiga parti telah
bersetuju dan menandatangani perjanjian dasar bersama yang mengandungi
empat tonggak utama.
“Pencapaian terbesar Pakatan Rakyat apabila ketiga-tiga parti
menandatangani perjanjian dasar bersama menerusi empat tonggak utama
iaitu menghormati raja berperlembagaan, menerima Islam sebagai agama
Persekutuan, menerima Perkara 153 berkenaan hak keistimewaan orang
Melayu dan mengiktiraf Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
“... Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit
Siang menandatangani perjanjian dasar bersama itu,” jelasnya sambil
menyatakan walaupun kerjasama itu baru mencecah lima tahun, namun banyak
kemajuan dapat dilihat.
Malah katanya, rakyat mula menerima pentadbiran PR sebagai kerajaan alternatif selain Umno-Barisan Nasional di negara ini.
Dalam pada itu, bekas Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng
Giaw membidas kenyataan Nasharudin atas alasan cuba memecahbelahkan
kerjasama politik dalam PR dengan mengaitkan isu agama dan menggesa Pas
keluar ikatan itu.
Katanya, dakwaan bekas Timbalan Presiden Pas itu tidak berasas kerana
DAP tidak melanggari perjanjian dasar bersama yang dimeterai pada 19
Disember 2009.
“Tiada kena-mengena isu agama, tidak timbul soal itu (langgar syarat
tahaluf siyasi), itu hanya dakyah politik semata-mata, dia pun tahu
(Nasharudin) persepakatan ketiga-tiga parti dalam Buku Jingga itu.
“... semuanya ada di situ, apa yang kita langgar (syarat). Dasar PR
boleh dilihat dalam Buku Jingga yang mengandungi asasnya,” katanya.
Seng Giaw juga menyifatkan Nasharudin sebagai tidak mengenang budi
apabila sanggup mengeluarkan kenyataan sebegitu, yang boleh menjejaskan
perpaduan dan kerjasama politik ketiga-tiga parti sejak lima tahun
lepas.
“Kenyataan itu merupakan perbezaan pendapat peribadi dan sahsiah. Ia
tidak kena-mengena dengan agama; ia lebih merupakan kenyataan politik,”
katanya.
No comments:
Post a Comment