Friday, January 25, 2013

Adakah PDB juga terlibat menggunakan nama 'perjuangan Melayu' untuk pijak Melayu kayakan segelintir Melayu

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
www.anakmudamalaysia.com / samm4anakmuda@gmail.com
-----------------------------------------------------------------------

Tarikh : 26 Januari 2013

PETRONAS Dagangan Berhad
Commercial Business Division
Level 33, Tower 1
PETRONAS Twin Towers
Kuala Lumpur City Centre
50088 KUALA LUMPUR

Tuan ;

MOHON PENJELASAN MENGENAI ADUAN PENGUSAHA / KONTRAKTOR LORI BERKAITAN PDB

Perkara dia atas dirujuk.
Sudah sebulan mendapat email dan sms mohon berjumpa oleh beberapa kumpulan usahawan Bumiputera Melayu yang terlibat peniagaan pengangkutan. Oleh kerana fokus dengan mobilisasi #KL112 yang mana SAMM terlibat secara langsung maka pertemuan ini tertangguh sehinggalah 24 Januari lepas kami bertemu dalam sesi sarapan pagi. Nampak serius kerana ada yang hadir sejauh dari pantai timur dan utara semenanjung pagi itu.

Mereka ini ialah kontraktor lori yang selama ini terlibat sebagai penyedia perkhidmatan hantaran bahan dari pusat simpanan minyak Petronas seperti di Pasir Gudang, Kuantan, Kerteh, Melaka, Dengkil, Lumut dan Perai, melalui PDB. Pada peringkat awal mungkin idea membantu ekonomi bumiputera baik. PDB sayap Petronas telah melantik banyak syarikat bumiputera sederhana kecil untuk menguruskan penghantaran bahan petroleumnya. Berpuluh usahawan bumiputera berjaya dilahirkan melalui cara ini. Namun akhir - akhir ini suasana bertukar beza. Mula berlaku monopoli.

Menurut kumpulan pengusaha lori yang ditemuni, nama Shaziman Transport Sdn. Bhd sebuah syarikat yang terkait seorang anggota kabinet Malaysia mula memonopoli urusan pengangkutan bawah PDB. Syarikat tersebut naik dengan cepat sekali dari beberapa buah lori kini syarikat ini dikatakan sudah memiliki 80 buah lori sehingga menyenaraikan Shaziman Transport sebagai antara peneraju dalam syarikat pengangkutan negara. Bagus syarikat bumiputera berjaya tetapi oleh kerana memberi laluan kepada Shaziman Transport telah menyebabkan banyak syarikat bumiputera lain mati. Sebuah syarikat di Melaka yang berurusan dengan PDB sebelum ini memiliki 12 buah lori telah menjadi 3 lori sahaja kerana bakinya ada yang dijual ada yang ditarik bank kerana masalah kewangan ekoran penurunan 'trip' mendadak oleh PDB yang memberi laluan kepada Shaziman Transport. 

Di Johor dilaporkan monopoli syarikat Shaziman Transport yang diberikan oleh PDB telah hampir 90%, banyak syarikat bumiputera lain gulung tikar. Menurut pengusaha yang ditemui lagi, di Melaka bulan Disember lepas tanpa notis awal semua syarikat kontraktor lori lain tidak mendapat trip konon kerana untuk membuat ujian kemampuan kepada Shaziman Transport. Ini telah menyebabkan rata - rata syarikat bumiputera lain di Melaka bukan sahaja hilang pendapatan tetapi terpaksa menanggung kerugian RM50000 ke RM60000 bulan lepas untuk membayar gaji pokok pemandu lori dan kos berkaitan. Selain kontraktor lori itu sendiri kini terjejas ialah ratusan pekerja yang kebanyakanya bumiputera Melayu yang terlibat dalam industri hiliran berkaitan. Di Melaka sudah kedengaran akan berlaku monopoli dan syarikat lain jika mahu terus hidup perlu mengambil trip yang diberi kepada Shaziman Transport dan perbagai syarat bakal dikenakan. Pengusaha yang kecewa mengatakan semua ini hanya hujungnya memastikan syarikat pengusaha lori bumiputera Melayu mati dan hanya ada Shaziman Transport.

Polisi PDB sebelum ini mengagihkan kepada banyak syarikat pengusaha pengangkutan dan berasaskan negeri, contoh di Pantai Timur cuma syarikat di Pantai Timur sahaja yang diberikan keutamaan. Namun semua ini sudah berbeza Shaziman transport mula menguasai trip/perjalanan di hampir seluruh semenanjung Malaysia.

Dibangkitkan juga persoalan bagaimana dengan mudah kebenaran Shaziman Transport dibenarkan membeli lori baru dan menukar lori yang mana syarikat berdaftar dengan PDB harus mendapat kebenaran PDB dahulu yangmana syarikat lain susah hendak dapat. Malah apabila diperkenalkan lori 'double tanker' kebenaran terus dengan mudah dapat kepada syarikat Shaziman.

Tahu atau tidak dasar monopoli ini juga punya risiko keselamatan, bayangkan setahun dua ini jika ini berterusan, syarikat lain pasti mati dan 100% PDB bergantung kepada satu syarikat sahaja. Bayangkan jika sesuatu berlaku seperti syarikat 'mogok' berapa banyak stesen minyak tidak punya bekalan minyak dan beberapa sektor dalam negara pasti lumpuh.

Bila dipersoalkan beberapa ikon bumiputera Melayu berjaya seperti Shaziman Transport maka akan ditujukan pula persoalan dengki Melayu berjaya. Persoalanya bukan dengki tetapi adakah hanya beberapa kerat itu sahaja Melayu yang cerdik ? Tahu atau tidak kejayaan memberikan monopoli dan 'payung emas' kepada ssegelintir melayu untuk mengaut kekayaan telah menzalimi banyak melayu yang lain.

Dilaporkan Shaziman Transport syarikat terkait Menteri kabinet ini bukan sahaja mendapat kontrak dari PDB tetapi juga dari Proton, Perodua dan banyak syarikat berkepentingan kerajaan lagi. Muncul persoalan adakah kerana syarikat ini bernama Shaziman Transport iaitu nama Menteri Kabinet Malaysia ?

SAMM bertindak bagi pihak kumpulan pengusaha lori yang menemui kami untuk itu kami memohon penjelasan pihak tuan mengenai perkara ini. kami yakin selaku sebuah syarikat korporat besar dan sudah tentu mempunyai keperihatinan terhadap usahawan bumiputera sudah tentu melihat aduan ini sebagai serius.

Sekian dan terima kasih.

che'GuBard
Penyelaras SAMM Kebangsaan
chegubard@gmail.com
http://chegubard.blogspot.com

No comments:

Post a Comment