Monday, May 29, 2006

Poster ceramah ditanggal, poster 'rumah urut' dibiar hiasi Seremban

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

SEREMBAN, 28 Mei (Hrkh) - Angkatan Muda KeADILan (AMK) kesal, poster-poster yang menghebahkan kunjungan rasmi Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim ke Negeri Sembilan pada 3 Jun ini disyaki telah ditanggalkan oleh pihak tertentu sejak beberapa hari lalu, kata Timbalan Ketua Penerangan AMK, Badrul Hisham Shaharin.

Sejak tiga malam lalu pasukan menggantung poster dan banner AMK Negeri Sembilan (NS) dengan dibantu oleh Pemuda PAS Negeri Sembilan telah menggantung tiga kain pemidang besar dan lebih 3500 poster hebahan mengenai himpunan rakyat di sekitar Seremban, Rasah dan Nilai, katanya.

Bagaimanapun, sehingga hari ini (28 Mei 2006) keadaan amat mengecewakan kerana hampir semua poster termasuk semua kain pemidang yang digantung telah hilang.

Menurut sumber yang membuat intipan, mereka mengesyaki petugas pihak tertentu yang diarah orang berkepentingan bertungkus lumus menanggalkan poster himpunan rakyat bersama Anwar yang dijadualkan pada 3 Jun ini di jalan Seremban Tampin dan di Restoran Dragon Seremban 2, katanya.

"Kelihatan di sekitar bandar Seremban pekerja membawa pemancut air untuk memastikan poster yang ditanggalkan tidak mempunyai kesan. Poster dan banner Fiesta Futsal World Cup 2006 anjuran AMK yang ditampal awal turut menjadi mangsa," dakwa Badrul Hisham ketika menghubungi Harakahdaily hari ini.

Seorang penduduk Seremban, Rauda Ibrahim,59 tahun dari Taman Bukit Chedang yang ditemui menyatakan rasa kesal terhadap tindakan menanggalkan poster Anwar yang disyakki dilakukan pihak tertentu.

Dalam masa yang sama, poster dan iklan mengenai rumah urut serta along tetap terus dibiarkan menghiasi tiang lampu, bangunan dan sekitar bandar, katanya.

Sementara sumber menyatakan, arahan menghapuskan poster aktiviti pembangkang ini dibuat pihak berkepentingan di negeri ini yang bimbang dengan jentera pembangkang lebih-lebih lagi parti mereka dalam keadaan bergolak.

"Kami amat kecewa cara pihak tertentu memperkudakan semua jentera kerajaan.....penakut ! kita mohon permit nak gantung banner mereka tidak bagi" kata Ketua AMK Negeri Sembilan, Haji Ramlan Roes pula.

Begitupun, AMKNS akan melipatgandakan usaha hebahan program Anwar pada 3 Jun ini dan berharap rakyat negeri ini akan turun beramai-ramai bukan sahaja untuk mendengar amanat Anwar.

Malah, untuk menunjukkan tanda protes terhadap keadaan yang begitu menghimpit rakyat mutakhir ini, khususnya di negeri ini dengan pelbagai cukai telah dinaikkan dalam wakil rakyat terus bermewah, kata Ramlan.

No comments:

Post a Comment