Monday, May 29, 2006

Perhimpunan 1 Mei : Empat ditahan di hadapan Wisma Umno Negeri Sembilan

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

SEREMBAN, 1 Mei (Hrkh) - Empat aktivis Angkatan Muda Parti KeADILan Rakyat (AMK) ditahan di hadapan Wisma Umno Seremban hari ini ketika mahu memulakan sidang media bersempena pengedaran risalah perhimpunan kesedaran rakyat sempena sambutan hari pekerja 1 Mei dekat sini.

Perhimpunan yang dijangka dimulakan pada jam 11.35 pagi itu akhirnya tidak berjalan seperti yang dirancangkan setelah polis terlebih dahulu menghalang kumpulan perhimpunan.

Ketika mahu memulakan sidang media, kumpulan perhimpunan aman didatangi oleh OCPD Seremban, Hasanuddin Hassan yang mahu semua peserta yang berhimpun bersurai segera tanpa mengadakan apa-apa aktiviti termasuk sidang media kepada wartawan.

Timbalan Ketua Penerangan AMK, Badrul Hisham Shaharin, yang ketika itu cuba berbincang dengan Hasanuddin akhirnya ditahan oleh lima anggota polis berpakaian preman.

Badrul dan rakan diheret

Akibat dari tindakan 'ganas' polis mengheret Badrul Hisham, tiga lagi rakan aktivis AMK cuba berbincang dengan polis bagi membebaskan Badrul Hisham, bagaimanapun mereka turut ditahan ketika pergelutan berlaku.

Badrul Hisham ditahan bersama tiga yang lain iaitu, Ketua AMK Negeri Sembilan, Haji Roslan Roes; Setiausaha AMK Negeri Sembilan, Azizi Abdul dan Penolong Setiausaha AMK Negeri Sembilan, Amer Hariss.

Ketika diheret ke trak polis, Badrul Hisham dan tiga yang lain sempat mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan pihak polis hari ini didakwa sebagai tindakan 'pengecut' dan tidak 'bermaruah'.

"OCPD Seremban jadi alat kepada Mohammad Hassan (Menteri Besar Negeri Sembilan)," laung Badrul Hisham disahut rakan-rakannya dengan laungan reformasi dan Umno pengecut.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Seremban dan sehingga berita ini ditulis, semua yang ditahan belum dibebaskan.

Belakangi demokrasi

Mengulas penahanan itu Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakop yang turut serta dalam perhimpunan berkata, tindakan itu sekali lagi membelakangi demokrasi.

Ini kerana kehadiran Barisan Alternatif (BA) hari ini di Seremban hanyalah untuk mengedarkan risalah kepada orang ramai mengenai kesan kenaikan harga minyak lebih-lebih lagi kepada golongan pekerja, katanya.

"Ini satu tindakan yang tidak bermaruah yang membelakangi semangat demokrasi.Hak untuk berhimpun sememangnya ada malah jika Umno yang berhimpun tidak ada tindakan dibuat oleh polis sebaliknya jika pembangkang yang berhimpun inilah yang terjadi (merujuk kepada penahanan)," katanya.

Beliau seterusnya mengecam tindakan ganas polis itu malah mendesak polis segera membebaskan empat yang ditahan tanpa sebarang pendakwaan, katanya.

Lagi tindakan cemar nama polis

Sementara itu Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Haji Taufek Abdul Ghani pula menyatakan rasa kesal di atas insiden hari ini.

Tindakan polis yang dilihat sebagai 'pak turut Umno' itu sekali lagi mencemar imej pasukan keselamatan yang seharusnya bertindak tidak menyebelahi mana-mana parti politik hatta PAS sekalipun, katanya.

"Amat rugi kerajaan membelanjakan wang untuk mengadakan suruhanjaya bebas mengupah tokoh bagi membaikpulih imej polis, tetapi polis masih bersikap demikian dengan mengikut telunjuk pihak tertentu," dakwanya ketika ditemui selepas perhimpunan aman itu.

Bercakap bagi pihak AMK pula, Exco AMK, Zarerah Hanim yang turut hadir dalam perhimpunan itu berkata, tindakan polis itu menggambarkan satu lagi episod 'malang' berlaku dalam negara demokrasi ini.

Malah penahanan aktivis AMK itu sekali lagi membayangkan betapa takutnya pemerintah terutamanya di Negeri Sembilan dengan gelombang kesedaran rakyat setelah kenaikan harga minyak menjadi fokus kelemahan pentadbiran kerajaan, katanya.

Terdahulu sebelum penahanan dan perhimpunan dimulakan, kira-kira 60 pemuda disyaki dari Pemuda Umno Negeri Sembilan berkawal di hadapan Wisma Umno Negeri Sembilan.

Sementara tiga trak polis bersama lebih 50 anggota Pasukan Simpanan Khas Persekutuan (FRU) berkumpul di tempat yang sama.

No comments:

Post a Comment