Monday, May 29, 2006

Bantahan kenaikan minyak: 18 ditahan, dua cedera

Kemuncak bantahan terhadap kenaikan harga minyak di Kuala Lumpur hari ini berakhir dengan 18 ditahan dan sekurang-kurangnya dua seorang mengalami kecederaan ketika polis meleraikan perhimpunan tersebut.

Ketua Polis Dang Wangi, ACP Kamal Pasha mengesahkan 18 orang ditahan, termasuk dua orang wanita.

Pada jam 10.30 pagi, bantahan itu yang sertai kira-kira 500 orang berhampiran pintu masuk ke KLCC di Jalan Ampang berjalan lancar sehinggalah penceramah ketiga Ronnie Liu menyatakan penghargaannya terhadap sokongan yang diberikan kepada pembangkang dalam pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini.

Pihak polis dengan serta-merta memberi amaran kepada mereka supaya bersurai. Bagaimanapun, arahan itu tidak perdulikan dan lima minit kemudiannya, tembakan meriam air dilepaskan ke arah mereka.

Walaupun basah kuyup, sebahagian besar mereka masih enggan berganjak dari situ, dan sejurus kemudian, anggota polis berpakaian biasa masuk membuat tangkapan.

Tembakan meriam air

Mereka yang ditahan termasuk Liu, Ahli Parlimen PAS Kubang Krian, Salahuddin Ayub, yang juga Ketua Pemuda PAS pusat dan Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin.

Sewaktu orang ramai beredar untuk mengelak terkena tembakan meriam air itu, anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) menyerbu ke arah mereka, menyebabkan ramai, termasuk wanita dan kanak-kanak bertempiran lari mencari perlindungan.

Para saksi mendakwa, anggota FRU bertindak ganas terhadap mereka yang menyertai bantahan tersebut, termasuk terhadap Timbalan Setiausaha Agung PKR, Zahir Hassan (foto), yang disepak terajang berulangkali ketika tertiarap di atas jalan.

Zahir sedang beredar dari tempat bantahan tersebut bersama dua orang anak perempuannya apabila dia ditolak berkali-kali dari belakang oleh seorang pegawai FRU dengan perisainya.

Pegawai FRU berkenaan kemudiannya beralih kepada dua orang anak perempuan Zahir – kedua-dua berusia dalam 20-an. Zahir cuba melindungi anak-anaknya itu daripada pegawai polis berkenaan.

Sebaliknya, Zahir dibelasah oleh beberapa anggota FRU. Dia ditolak ke lantai, dipukul dengan cota dan sekurang-kurang disepak sebanyak tiga kali – dua kali di belakang dan sekali di bahagian perut – menyebabkan kedua-dua anaknya itu menjerit dan menangis.

Menurut Ketua Penerangan PKR, Tian Chua, Zahir – yang turut ditahan polis – telah dihantar ke hospital untuk rawatan perubatan.

Hasil X-ray telah diambil sebelum Zahir dihantar ke balai polis Pudu, tempatan yang lainnya ditahan. Dalam satu lagi pertengkaran, seorang lagi yang menyertai bantahan tersebut, dikerumuni 10 anggota FRU.

Dia memegang seorang pegawai polis untuk melindungi dirinya daripada pukulan, termasuk satu hentakan daripada pelancar gas pemedih mata.

Kesan darah juga dapat dilihat di pintu masuk KLCC di mana dikatakan berlaku pergelutan antara anggota FRU dengan seorang peserta bantahan tersebut. Dia dipercayai dimasuk ke hospital kerana kecederaan kepala.

Bawa sepanduk

Seramai kira-kira 100 individu kemudiannya berkumpul di balai polis Pudu untuk menyatakan sokongan terhadap mereka yang ditangkap polis.

Menurut AFP, mereka yang menyertai bantahan tersebut melaungkan “protes” sambil membawa sepanduk berbunyi ‘kroni menjadi kaya, pekerja ditindas’.

Mereka juga mengecam kenaikan tarif elektrik minggu lalu – kenaikan pertama sejak hampir satu dekad lalu.

Kira-kira 100 anggota polis antirusuhan yang bersenjatakan cota serta rifel mengawal di kawasan hadapan menara tersebut, bersama beberapa trak meriam air, manakala helikopter polis dilihat berlegar-legar di udara.

Dalam ucapannya, penganjur utama bantahan tersebut, Dr Hatta Ramli yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS berkata, rakyat menderita akibat kenaikan harga minyak, dan kini ditambah lagi dengan kenaikan tarif elektrik.

'Mempertahankan diri'

Ketika ditanya oleh malaysiakini mengapa polis bertindak menyepak mereka, ACP Pasha memberitahu pemberita, anggotanya terpaksa bertindak demikian untuk mempertahankan diri.

Katanya, mereka melawan ketika hendak ditahan dan mula menyepak polis terlebih dahulu.

No comments:

Post a Comment