Tuesday, August 09, 2016

LOBI KORPORAT DI BELAKANG PERTUKARAN STATUS LOT 68054 ? SIAPA PROKSI DAN BERAPA NILAI BERTUKAR TANGAN ?


Gambar : sidang media 11.45 pagi, 9 Ogos 2016, Kuala Lumpur

KENYATAAN MEDIA

9 Ogos 2016 (Selasa)

LOBI KORPORAT DI BELAKANG PERTUKARAN STATUS LOT 68054 ? SIAPA PROKSI DAN BERAPA NILAI BERTUKAR TANGAN ?

1.      Berdasarkan Minit Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor  bilangan 11/2014 secara jelas (Febuari 2014) menyebut dengan jelas Kerajaan Negeri Selangor (ketika itu Menteri Besarnya Tan Sri Khalid Ibrahim) telah menolak untuk menukar status lot 68054, Mukim Tanjong Dua Belas, Kuala Langat kerana lot tersebut terletak di dalam kawasan Paya Indah Wetland.

2.      Kenyataan Media saya dengan tajuk "PERTUKARAN STATUS TANAH LOT 68054, 619 HEKTAR MUKIM TANJONG 12 KUALA LANGAT JEJAS KAWASAN HUTAN WARISAN DUNIA" dijawab kerajaan negeri dengan mengatakan tiada pertukaran status dan perlengkungan semula adalah satu pembohongan. Ini mungkin kerana mereka memikirkan saya tidak punya dokumen lengkap. Namun setelah saya jawab dengan dokumen rasmi kerajaan Selangor sendiri nampaknya mereka panik dan cuba mengalihkan isu dengan merujuk jawapan mereka kepada nombor lot lain. Ia mengundang ketawa ramai kerana lain yang ditanya lain yang dijawab. Panik kerajaan negeri juga ditunjukkan oleh Menteri Besar dengan lari dari media.

3.      Untuk pengetahuan semua melalui kerajaan Umno – Barisan Nasional sebelum ini tanah seluas 619 hektar (1529 ekar) itu telah diberi milik kepada tauke cina yang memegang tanah tersebut pada tahun 1994 melalui syarikat Salak Land Development Sdn Bhd. Namun 4 Menteri Besar tidak ‘berani’ menukar status tanah tersebut untuk dibangunkan kerana ia terletak di dalam zon Hijau Paya Indah Wetland iaitu kawasan khazanah alam yang penting dan sebarang pertukaran status akan memberikan impak besar terhadap kestabilan alam.

4.      Terakhir Bulan Febuari 2014 ia ditolak. Ini beerti 22 tahun cubaan memajukan tanah ini gagal kerana ia terletak di dalam kawasan Paya Indah Wetland. Namun tiba – tiba September 2014 Gamuda telah mengumumkan membeli tanah tersebut melalui pembelian syarikat Salak Park Development dengan nilai RM784.3 juta.

5.      Investor Central yang berpusat di Singapura telah membuat "#‎survey" berhubung pembelian tanah Salak Land berharga RM784.3 juta oleh GAMUDA. Antara yang dibangkitkan ialah adakah berbaloi dan sepadan dengan nilai? soalan paling panas ialah "Apakah akan berlaku jika Gamuda tidak mendapat kebenaran untuk menukar status tanah pertanian kepada pembangunan bercampur? Apakah yang membuat GAMUDA berani membeli tanah yang 22 tahun gagal ditukar status malah baru saja 6 bulan sebelum itu ditolak untuk pertukaran status ? Mungkin strategi khusus sudah diatur ?


6.      5 Disember 2014: Gamuda Berhad umum menjual 40% kepentingannya dalam Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (Splash) kepada Kerajaan Negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor menawarkan RM250.6 juta namun harga ini masih dalam perundingan. Pihak Gamuda ada bertemu dengan Azmin Ali bagi menyelesaikan penjualan ini. [http://www.thestar.com.my/business/business-news/2014/12/05/gamuda-splash-worth-at-least-rm28bil/ ]. Laporan ini turut menyentuh tanah di Mukim Tanjong Dua Belas

7.      24 Januari 2015: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 3/2015 mengesahkan Pengubahan Rancangan Tempatan (RT) Kuala Langat (Pengubahan 3) 2020. Pindaan Sebahagian Zoning Guna Tanah dalam RT Kuala Langat. Tapak BPK 1.15 Paya Indah Wetland dan Hutan Simpan Kuala Langat Utara sebagai kawasan pembangunan.

8.      9 Februari 2015: Majlis Daerah Kuala Langat mengesahkan tiada halangan untuk sebagaimana MMKN 3/2015. Penukaran status tanah Pertanian kepada Bangunan Kediaman. - sebelum itu 6 Februari 2015 tidak menyokong cadangan ini. Menurut rekod yang ada Jabatan Alam Sekitar (JAS) membantah.

9.      17 Februari 2015: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan oleh Azmin Ali selaku Menteri Besar meluluskan pertukaran status selepas Pengezonan semula itu.

10.  6 April 2015: Azmin Ali terus mesra bekerjasama dengan Kumpulan Gamuda. Azmin Ali merasmikan Pusat Pemborong GM Klang bersama Pengarah Urusan Gamuda GM Klang Sdn Bhd, Datuk Lim Seng Kok. Gamuda dengan yakin umumkan bakal menjadi pusat sehenti pemborong antarabangsa terbesar dan komprehensif di Malaysia sekali gus menjadikan Klang, Selangor sebagai sebuah pusat perdagangan serantau. [http://www.sinarharian.com.my/mobile/bisnes/gm-klang-sasar-laluan-luar-negara-1.376537]

11.  25 Mei 2016: Ditengah kemelut penjualan saham SPLASH kepada kerajaan Negeri dan pertukaran status tanah Lot 68054, YAB Dato' Seri Azmin Ali mengambil peluang untuk Kerajaan Selangor bekerjasama dengan Gamuda Land membina 714 unit rumah mampu milik menerusi Rumah Selangorku di Jade Hills, Kajang. GDV RM1.3bilion.

12.  9 April 2016: Pejabat Tanah dan Galian Selangor meluluskan pertukaran nama Geran Lot tanah 68504 kepada GAMUDA BERHAD. Ia dilihat banyak pihak sebagai ‘segera’

13.  Ketika ramai mengeluh kerja pembangunan tanah di Selangor banyak ‘red tape’, pelengkungan semula ( re zone) tertangguh seperti contoh ada kawasan dalam Majlis Perbandaran Selayang tertangguh pelengkungan semula lebih kurang 3 tahun kerana isu tiada bajet dan bukan tumpuan kenapa tiba – tiba dikawasan tersebut ia dilajukan ? Adalah jelas Rancangan Tempatan Kuala Langat 2020 dipinda dengan memberikan kesan bukan sahaja kawasan Paya Indah Wetland malah Hutan Simpan Kuala Langat Utara sebagai kawasan pembangunan dibuat atas keperluan Gamuda.

14.  Kenapa tanah ini menjadi keutamaan untuk diselesaikan pertukaran status pada bulan - bulan awal Azmin menduduki kerusi MB, adakah ia ada kaitan dengan 'membalas jasa' tokoh - tokoh korporat yang menjadi pelobi pintu belakang ketika perebutan kerusi MB dari Presiden Parti Keadilan Rakyat ? Sangat diyakini ada  pertembungan kepentingan (conflict of interest) . Pasukan yang dibentuk sejak Mac lalu yang dianggotai oleh aktivis masyarakat, aktivis alam sekitar, peguam, ahli akedemik dan mendapat sokongan serta kerjasama perbagai pihak termasuk pegawai kerajaan sedang meneliti beberapa fakta dan dokumen dalam usaha menjejaki jika ada proksi dan dalam projek yang bernilai berbilion ini, berapa puluh atau ratus juta komisyen pula bertukar tangan ?

15.  Untuk itu kita akan membuat pengumuman dari masa ke semasa untuk semua penemuan dan InsyaAllah sebaik sahaja lengkap kita akan mulakan tindakan dengan merujuk kepada proses perundangan dan pihak berwajib. Sehingga kini tuntutan kami jelas Kerajaan Negeri perlu menukar semula kawasan tersebut kepada kawasan hijau semula dan yang bertindak menipu bagi pihak kerajaan negeri dalam penafian palsu wajib letak jawatan. Kami lakukan ini semua demi memastikan khazanah alam terpelihara dan integriti kerajaan yang dinaikkan atas nama rakyat terus terpelihara.


che’GuBard
Pengasas,
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

No comments:

Post a Comment