Catatan umum
12 Ogos 2016
Dalam Perlembagaan Negara , Perkara 10 (c) dengan jelas mengatakan semua rakyat Malaysia punya hak yang sama untuk bepersatuan. Maka sudah tentu menjadi hak asasi yang dibolehkan bagi Tun Dr. Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin dan sesiapa juga untuk menubuhkan apa juga parti. Untuk itu kita perlu hormati dan raikan demokrasi lahirnya parti Pribumi.Penguasa sewajarnya memberikan kelulusan dan tidak menghalang penubuhan parti Mahathir ini walaupun ketika Mahathir dipuncak kuasa jelas bersikap kuku besi banyak rekod dia menghalang hak rakyat menubuh parti politik dan berpesatuan.
Namun dari segi prinsipnya untuk menjalinkan kerjasama dengan mana – mana parti atau pertubuhan sekali pun PKR seharusnya berpegang pada prinsip asas reformasi. Pertama parti ini sangat jelas lebih teruk bersifat perkauman dari Umno itu sendiri. Parti ini membuka keahlian kepada semua kaum tetapi hanya Melayu sahaja boleh memegang jawatan atau mengundi. Adakah bukan melayu hanya layak menjadi tukang sorak. Jika parti ini diterima dalam PH atau diterima sebagai rakan PKR maka ia memberi isyarat PKR mengiktiraf diskriminasi kaum dan ia bakal menjadi beban kepada kita khususnya bila berdepan pilihanraya, selama ini PKR diterima sangat baik di kawasan campuran tetapi dengan mengiktiraf parti perkauman ini pasti memberi kesan pada tapak sokongan PKR itu sendiri.
Menyambut kenyataan Setiausaha agong PKR yang disiarkan oleh Malaysiakini 10 Ogos lepas paling jelas diragukan bagaimana dalam Pakatan Harapan yang berprinsip progresif untuk menerima sebuah parti berasaskan kaum.
Sangat pelik dan tidak progresif langsung iaitu parti ini membuka keahlian kepada bukan melayu tetapi cuma menjadi ahli bersekutu tanpa boleh mengundi atau bertanding memegang jawatan. Ini satu isyarat parti ini sangat tidak progresif malah selangkah kebelakang dan bercanggah dengan prinsip keadilan untuk semua yang menjadi asas kepada gerakan reformasi yang didukung PKR dan Pakatan harapan. Ini bukan setakat rasis malah penindasan kaum.
Namun selaku seorang aktivis PKR sejak 1999 yang pernah menggangotai Majlis Pimpinan Pusat, Parti Keadilan Rakyat saya melihat dengan penuh keraguan kewujudan parti peribumi ini memperjuangkan perubahan dalam negara atau sekadar menjatuhkan individu tetapi mempertahankan sistem yang bobrok.
Selain itu dengan jelas Mahathir bukan sahaja tidak mengakui kesilapannya menzalimi Anwar Ibrahim tetapi terus menfitnah Anwar, mempertahankan tindakanya (1998) terbaru melalui temuramahnya dengan stesen TV Al Jazeera.Ini persoalan penting dan jika salah ditangani pepecahan sokongan bakal berlaku. Mahathir yang kita yakinkan rakyat bahawa dia Mahafiraun, perompak negara tiba – tiba bila dia ketuai sebuah parti lain kita terima dan angkat dia sebagai pemimpin. Dia kena akui dan minta maaf atas semua kesilapanya malah tidak keterlaluan dia perlu memulangkan rompakan yang dilakukan seperti skandal Perwaja, Skandal Bank Bumi, Skandal Maminco Makuwasa dan skandal menggunakan wang negara bail out anaknya yang mana Anwar dipecat dan dizalimi kerana menghalangnya. Itu sekadar menyebut beberapa perkara. PKR itu sendiri diasaskan oleh krisis 1998 yang mana kemuncak kuku besi Mahathir menunggang dan merosakan sistem dalam negara. Kerosakan hari ini merupakan kelangsungan kejahatan Mahathir. Muhyiddin sendiri punya beban tuduhan korupsi yang tidak selesai.
Kita menerima manusia boleh berubah namun ia perlu dengan pengakuan, meminta maaf dan memulangkan apa hak yang diambilnya.
Pimpinan PKR khususnya Datuk Seri Azmin Ali yang selama ini begitu rapat dengan Mahathir harus menyatakan pendirian dalam perkara ini. Azmin mungkin boleh memulakan dengan meminta Mahathir meminta maaf dari Anwar dan seluruh rakyat Malaysia.
Mood rakyat menolak Umno Bn cukup tinggi namun kita tidak mahu penampilan Mahathir yang mahu berkuasa kembali bagi memastikan legasinya mengganggu mood rakyat ini, umum akan ada yang melihat anak Mahathir begitu lemah namun Mahathir yang begitu tua terpaksa mengetuai sebuah parti baru demi mastikan legasi politiknya.
Perbagai kaum semakin bersatu menolak Umno BN namun kita tidak mahu dengan mengaitkan diri dengan parti yang mengamalkan polisi penindasan kaum ini akan meleraikan sokongan padu rakyat yang keliru.
che'GuBard, Anggota Seumur Hidup PKR
No comments:
Post a Comment