Thursday, March 31, 2016

Malam Penyataan Sikap Rakyat - Tiada Gabungan atau Gerakan Baru, Hanya Harapan dan Amaran

Kenyataan Media
15 Mac 2016

Malam Penyataan Sikap Rakyat - Tiada Gabungan atau Gerakan Baru, Hanya Harapan dan Amaran

Malam Penyataan Sikap Rakyat yang berlangsung pada 12 Mac 2016 di Dewan KLSCAH menyaksikan himpunan sokongan ramai aktivis, mahasiswa dan pendokong parti politik dari pelbagai latarbelakang terhadap perlunya satu suara dibangkit demi keseimbangan suasana politik khususnya setelah kecelaruan di kalangan pembangkang. Antara NGO yang turut hadir memberi sokongan padu ialah Otai Reformis, SAMM, Jerit, Pemuda Sosialis, DEMA, ABU dan Geng Babi serta NGI.

Kehadiran mereka di pentas anjuran rakyat ini secara jelas dengan penuh iltizam menolak penglibatan Mahathir dan koncu-koncunya dari terus memperguna nama rakyat di sebalik sebuah deklarasi dan membentuk gerakan bersama Pakatan Harapan kononnya di atas slogan "Selamatkan Malaysia". Seramai 15 orang aktivis termasuk seorang wakil rakyat telah naik ke pentas bagi menyampaikan pandangan dan ketegasan.

Pentas Malam Penyataan Sikap Rakyat dapat dirumuskan seperti berikut;

1. Pentas malam ini tidak membentuk sebarang gabungan, gerakan atau gagasan yang baru, sebaliknya merupakan satu harapan dan amaran agar peluang menumbangkan regim yang tersedia ini tidak dipersiakan di atas kegopohan dan tertipu oleh kelicikan Mahathir, yang akhirnya Umno BN kekal memerintah.

2. Mahathir tidak layak diberi ruang dan peluang di atas segala kesalahan besar yang pernah dilakukannya, termasuklah merosakkan sistem perundangan, demokrasi, ISA, membudayakan rasuah dan kesilapan yang sengsarakan rakyat iaitu melantik susuk yang paling bermasalah sebagai Perdana Menteri, iaitu Najib.

3. Kompromi bersama Mahathir dan kuncunya termasuklah Mukhriz, Muhiyiddin, Ku Li dan Ling Liong Sik sangat meragukan, menjadikan pihak pembangkang terdedah untuk dimanipulasi demi untuk Umno dan BN diselamatkan. Malah Muhiyiddin dan Ku Li yang sebelum ini diharapkan untuk membantah undi TPPA di Parlimen telah memberi sokongan bulat kepada Najib ketika undi belah bahagi. Ia mampu berulang bila-bila masa.

4. Kita harus belajar dari sejarah bagaimana Mahathir bijak menumpang pentas pembangkang ketika menjatuhkan Tunku Abdul Rahman, dan kemudian menjatuhkan Paklah, dan kini giliran Najib pula. Sejarah menyaksikan umno BN terus mengukuh setiap kali misi Mahathir selesai, apakah kita tidak belajar?

5. Kita menentang Mahathir ketika Mahathir bersama Najib pertahan Umno BN pada PRU13. Kini apabila mereka berseteru, mengapa kita pula terpaksa memilih salah satu untuk disokong dan salah satu untuk dilawan? Malah mengapa jika lawan Mahathir dituduh pula sebagai penyokong najib padahal dua-dua 'tokoh' ini merosakkan negara dalam skala hampir besar, dan kedua-dua mereka wajib dijatuhkan.

6. Deklarasi Rakyat itu tidak menggambarkan deklarasi rakyat yang sebenar tetapi hanyalah deklarasi opportunis yang begitu tergesa-gesa diishtihar dan diturunkan tandatangan tanpa merujuk kembali kepada rakyat yakni penyokong Pakatan Harapan.

7. Pakatan Harapan seharusnya diperkuat menjadi gabungan yang solid dengan meninggalkan parti yang menjadi duri dalam daging kepada perjuangan melawan regim. Selangor khususnya harus diishtihar sebagai kerajaan Pakatan Harapan. Penyatuan seperti ini menjadikan pembangkang lebih kuat daripada bergabung dengan Mahathir, malah rakyat tidak lagi keliru dan mula fokus mengarah kemenangan.

Berhimpun pada Malam Penyataan Sikap Rakyat, kami cuma sekumpulan aktivis dan organisasi yang bersetuju menyediakan platform bagi rakyat bersuara berkenaan krisis politik terkini khususnya apabila pemimpin-pemimpin atas nama rakyat bertindak membelakangi rakyat. Aktiviti pentas rakyat ini akan diteruskan ke setiap region tanahair dan kembali semula dianjurkan di Kuala Lumpur dalam satu majlis lebih besar.

Sekian

Khalid Ismath
Jurucakap Malam Penyataan Sikap Rakyat

1 comment: