Wednesday, September 07, 2005

Selepas Proton, Temasek miliki saham Telekom pula?

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob - Harakah

Hari demi hari, khabar dari rakyat sedang bercakap tentang isu sepasukan pelabur dari negara jiran yang menerokai saham-saham Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). Sebagai rakyat yang hidup di bumi merdeka ini dan tidak mempercayai Singapura sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai, tentulah rakyat ada hak untuk meluahkan keraguan.
Yang jelas dan pasti, kewujudan syarikat berkaitan Temasek Holding dalam Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) amat mengelirukan, kata Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda KeADILan (AMK), Badrul Hisham Shaharin. Beliau berkata demikian ketika memberi maklumat kepada Harakahdaily pagi tadi. "Mengapa dengan tiba-tiba kita perlu menjemput atau membenarkan syarikat pelaburan kerajaan Singapura ini (semacam Khazanah Nasional) terbabit dengan perusahaan nasional"
"Apatah lagi sebuah perusahaan yang menguntungkan dan tidak memerlukan sebarang suntikan modal," katanya.
Tidak cukup dengan itu, khabarnya Temasik Holding juga sedang menyusup ke dalam syarikat Telekom Malaysia dan beberapa GLC lain.
Beliau mendakwa bahawa seperti ada ruang yang diberi kepada Temasik untuk memiliki saham Telekom. Sehingga hari ini sebanyak lima peratus daripada saham Telekom Malaysia dimiliki oleh Temasek, dakwanya.
Beliau menggesa kerajaan memberi penjelasan sama ada pembelian tersebut dilakukan di pasaran terbuka atau melalui rundingan dengan Khazanah Nasional atau pengurusan terbabit. Jika ia dilakukan oleh pasaran terbuka melalui Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) tentulah tidak banyak yang dapat dilakukan.
Sebaliknya, jika ia dilakukan dengan pengetahuan dan izin kerajaan, maka rakyat perlu diberi penjelasan yang sebenar kedudukan urusan jual beli, katanya. "Persoalannya mengapa terlalu mudah kita berbaik sehingga merugikan negara? Adakah pernah mereka mengalah dalam sebarang isu? Hakikatnya tidak," kata Badrul Hisham.
Apa yang dikhuatiri kerajaan mendapat nasihat dan maklumat yang salah daripada pengurusan syarikat ini yang mungkin mempunyai agenda tersendiri, kata Badrul Hisham. "Jangan nanti lama ke lamaan segala harta kita jatuh kepada pihak lain termasuk jiran," tegasnya. – lanh

No comments:

Post a Comment