Wednesday, December 23, 2015

Proton: Kesilapan Terbesar Najib Dengar Cakap Mahathir

Hari ini kita membaca keluhan dan rayuan vendor Proton kepada Tun Mahathir Mohamad yang disiarkan oleh Malaysia-Today.net di bawah tajuk SURAT TERBUKA UNTUK TUN M, PENGERUSI PROTON.

Keluhan para pembekal atau vendor Proton mengenai kegagalan proton membayar dan menunaikan janji sememangnya sudah dijangka. Sejak sepuluh tahun lalu kerajaan telah mengetahui bahawa Proton tidak mampu bersaing dengan konglomerat kereta yang besar dalam dunia perdagangan bebas ini.

Hari ini industri automotif Asean telah dikuasai oleh Thailand dan mungkin Indonesia kerana Malaysia masih berterusan mahu melindungi Proton.

Idea dan kesungguhan Tun Mahathir membangunkan industri automotif negara dan jenama Proton wajar diangkat sebagai satu lakon layar patriotisme terbaik, biar berapa pun kos yang ditanggung selama ini.

Tidak ada salah keputusan Tun Mahathir mahu melaksanakan idea ini dan cuba menjayakannya.

Dalam perniagaan kita harus mencuba. Rugi bukan sesuatu yang hina asalkan kita belajar dari kegagalan tersebut. Kita rugi banyak kepada Proton, Mas, Perwaja dan Forex. Namun dalam kebanyakan hal kita belajar dari kegagalan dan memperbaikinya sehingga berjaya atau kita meninggalkannya kerana tahu ia bukan kepakaran kita.

Malangnya, Proton dari segi pembangunan teknologi dan perkembangan automotif sudah berada di tahap tidak dapat diselamatkan lagi. Ia hanyalah satu industri tempatan yang masih bertahan kerana perlindungan kerajaan dan patriotisme rakyat. Dari segi model perniagaan tulen ia sudah hancur lebih teruk dari 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kegagalan 1MDB mungkin hanya akan merugikan kerajaan beberapa bilion. Kerajaan lebih banyak rugi dalam isu Proton, Perwaja, Forex dan MAS berbanding 1MDB.

Namun isu lebih besar ialah kegagalan Proton sekiranya tidak diuruskan dengan baik akan mengakibatkan puluhan ribu pekerjaan hilang dan lenyap begitu sahaja.

Kesalahan dan kesilapan terbesar Mohd Najib ialah bersetuju dengan permintaan Tun Mahathir agar Proton dijual kepada Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhari.

Mohd Najib sepatutnya membenarkan idea Proton diambil alih oleh syarikat kereta yang sudah terkenal dengan syarat mengekalkan vendor dan pekerja proton sedia ada. Jika ini dilakukan, sungguhpun kita menutup jenama Proton namun kita memastikan industri automotif negara kekal berkembang dan industri-industri hiliran Proton kekal ada perniagaan.

Malangnya, Mohd Najib tiada keberanian politik menolak cadangan Tun Mahathir kerana tidak mahu dituduh sebagai perosak jenama Proton.

Sudah tentu penjualan ini menguntungkan Syed Mokhtar berdasarkan aset hartanah, teknologi dan rangkaian perniagaan sedia ada.

Sekiranya Proton ditutup hari ini pun Syed Mokhtar tetap untung kerana segala aset terutama tanah-tanah milik Proton akan tetap menjadi miliknya.

Namun apabila ini berlaku kerajaan akan menanggung beban politik besar dari segi ekonomi, pekerjaan dan industri automotif.

Inilah dilema kerajaan bila berhadapan dengan isu Proton!

No comments:

Post a Comment