Kenyataan Terbuka
7 Disember 2012
Pertikai Peruntukkan Islam P.Pinang Meningkat 300%: Umno Perguna Parti Gerakan?
Solidariti Anak Muda
Malaysia (SAMM) Pulau Pinang mengutuk pandangan serong pemimpin
Gerakan yang juga Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang
Yeow yang mempertikai langkah kerajaan PR menaikkan peruntukkan Hal
Ehwal Islam P.Pinang sebanyak 300%. SAMM juga melihat ada muslihat di
sebalik kenyataan Teng Chang.
Sekiranya kerajaan
campuran BN yang diketuai Gerakan suatu ketika dulu tidak mengendahkan
peruntukkan hal ehwal Islam kerana tidak mendapat nasihat dari Umno,
maka tiada sebab untuk Teng Chang cemburu dan iri hati terhadap
kepedulian kerajaan PR pilihan rakyat hari ini yang banyak mengambil
berat terhadap pembangunan dan perkembangan Islam di Pulau Pinang.
SAMM P.Pinang berpendapat bahawa Umno sememangnya tidak boleh
diharap untuk menjaga perihal Islam tidak kira di Pulau Pinang atau di
mana jua. Umno bukan sahaja gagal memimpin dan mendidik parti komponan
bersama dalam Barisan Nasional tentang Islam malah Umno tidak berbunyi
sepatah haram untuk pertahan Islam apabila hukum menutup aurat
dipersenda oleh Tan Keng Liang, juga dari Gerakan tidak lama dulu. Hari
ini pula, sekali lagi Umno diam membisu apabila Gerakan pertikai
peruntukkan untuk hal ehwal Islam di P.Pinang yang meningkat jauh lebih
besar dari negeri yang dipimpin Umno. Apakah Umno tidak lagi peduli
tentang Islam? Apakah ada komplot antara Umno dan Gerakan?
Ternyata parti
Gerakan yang retak menanti belah ini seolah-olah telah dipergunakan oleh
Umno bagi mencetus suasana tegang antara kaum dan agama. Taktik
serampang dua mata ini mungkin digunakan Umno dengan harapan parti
Gerakan kembali disokong oleh kaum bukan melayu dan dalam masa yang
sama, Umno menadah tangan menanti sokongan sekiranya pergaduhan antara
kaum atau agama benar-benar berlaku. Itu adalah kelebihan parti
berasaskan kaum atau parti perkauman seperti Umno.
Justeru itu, SAMM
P.Pinang memberi amaran kepada Umno supaya tidak cuba untuk bermain api
dengan menjadikan parti Gerakan sebagai pemetiknya. Sentimen perkauman
dan ketegangan agama harus dihindar khususnya di Pulau Pinang. Rakyat
negeri P.Pinang juga harus sedar perencanaan jahat yang disusun ini
setelah Umno dan Gerakan menemui jalan buntu untuk merampas semula
P.Pinang secara demokrasi.
Akhir sekali SAMM
P.Pinang percaya kenyataan Teng Chang Yeow tidak akan berlegar di dada
akhbar dan media perdana kerana ia pasti akan menyebabkan Barisan
Nasional kehilangan lebih banyak sokongan dari masyarakat Islam seluruh
negara. Namun begitu, SAMM P.Pinang lebih percaya kenyataan Teng Chang
tetap akan menjadi pedoman kepada orang ramai melalui media alternatif
dan kerja jahat berbentuk hasutan ini tetap akan mendapat penilaian
umum.
Sekian,
Aidil Ibrahim
Penyelaras SAMM P.Pinang
No comments:
Post a Comment