Thursday, December 23, 2010

Isu Autonomi : Sokong Azmin tetapi ia harus bermula dari dalam parti

12 Disember lepas Ahli Parlimen Gombak selaku Timbalan Presiden KEADILAN, YB Tuan Azmin Ali dalam satu Majlis Makan Malam di Bintulu telah menjanjikan 'autonomi penuh' terhadap rakyat Sarawak jika KEADILAN diberi peluang memerintah negara. (sila klik baca berita berkaitan)

che'GuBard amat menyokong pendapat dan kenyataan Azmin tersebut. Tahun 1963 melalui satu perjanjian yang ditandatangani bersama telah 'mengikat' Sabah dan Sarawak dan kita bersama telah membentuk Malaysia. Namun hari ini semakin hari semakin dilupa semangat dan isi perjanjian tersebut.

Sabah dan Sarawak ialah antara penyumbang besar pendapatan negara Malaysia namun Sabah dan Sarawak juga antara negeri yang jauh ketinggalan dari aspek pembangunan dan kadar kemiskinan rakyatnya tinggi. Ini berlaku kerana semangat perjanjian tidak dihormati. Pimpinan (Regim) Sabah dan Sarawak sengaja membiarkan hak autonomi dicabul untuk menjaga kepentingan mereka. Mereka membenar autonomi rakyat dicabul asalkan Kuala Lumpur menjaga kepentingan mereka. Sebaliknya didepan warga Borneo mereka memainkan sentimen benci semenanjung kononnya semenanjung memunggah harta warga Borneo sedangkan mereka dan pemimpin regim di semenanjunglah yang sama berkongsi hasil 'rompakan rakyat' dan rakyat terus terbiar.

Memberikan autonomi beerti menghormati semangat perjanjian 1963 dan mengangkat semangat 'federalisme'. Ada aspek keuntungan dan kerugian. Namun dari aspek ketelusan, kemanusiaan, maruah dan jiwa besar ia jauh tak ternilai.

Dalam manifestasi anak muda (manifesto) yang diangkat oleh che'GuBard dan teman - teman sebagai tawaran kepada pengundi muda ketika Pemilihan 2010 juga secara jelas telah menyentuh persoalan mengangkat semangat federalisme ini. Semangat ini bukan sahaja perlu dicakap tetapi perlu dilakukan dalam parti kita juga.

Dalam manifestasi Anak Muda secara jelas mempertegaskan perlu diwujudkan Konvensyen negeri yang juga memberi ruang pimpinan negeri dipilih oleh pimpinan tempatan negeri tersebut. Satu pengundian telus dengan semangat demokrasi perlu diadakan. Kata mudahnya jangan kita bercakap soal autonomi kalau kita tidak berani membenarkan pimpinan negeri dipilih oleh negeri tersebut bukan diwahyukan dari pusat.

Kita cakap soal autonomi penuh, beranikah kita kalau sudah memerintah nanti dengan hakikat autonomi penuh ? Sebelum itu yakinkanlah mereka dengan biar anak Sabah memilih pimpinan Sabah, biar anak Sarawak memilih pimpinan Sarawak malah biar anak Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan lain - lain memilih pimpinan mereka.

1 comment:

  1. Anonymous2:27 PM

    Bercakap tentang autonomi memang mudah. Lebih mudah lagi apabila bukan Pakatan yang memerintah Malaysia.

    Melepaskan Sarawak dan Sabah daripada Malaysia umpama seorang manusia yang mahu memotong tangannya sendiri. Maka Malaysia tidak akan lengkap selepas ini. Sarawak dan Sabah juga tidak akan lengkap tanpa Semenanjung.

    Di bawah pimpinan Najib, pelbagai pembaharuan telah dilakukan di Sarawak dan Sabah. Pelbagai pembangunan emkonomi dan sosial diperkenalkan. Jika diteruskan, saya yakin, Sarawak dan Sabah akan turut menikmati taraf kehidupan yang lebih tinggi.

    ReplyDelete