Wednesday, November 22, 2006

Pejabat GERAK di pecah masuk !

16 Nov - Seluruh team GERAK yang baru pulang daripada Siri Jelajah Penerangan GERAK di Perlis, Kedah dan Penang awal pagi ini terkejut mendapati Pejabat GERAK telah dipecah masuk.

Kunci pintu hadapan pejabat telah dipecahkan. Semua laci – laci yang berkunci di pejabat GERAK juga telah dipecahkan anehnya tiada satu pun barang berharga yang hilang termasuk beberapa komputer riba (laptop) yang diletakkan dalam laci berkunci yang telah dipecahkan.

Siasatan awal mendapati hanya beberapa dokumen yang membabitkan rasuah hilang. Beberapa fail dan thumb drive juga turut hilang. Pihak keselamatan bangunan telah memulakan siasatan dan laporan polis telah pun dibuat pada jam 10.19 pagi ini di Balai Polis Kelana Jaya. Laporan bernombor K.Jaya/009097/06.

GERAK menyakini kejadian ini berkait langsung dengan laporan polis yang dibuat oleh yang membabitkan beberapa pemimpin utama negara dan ahli keluarga mereka termasuk Perdana Menteri dan anaknya Kamaluddin Abdullah dan kempen pendedahan serta penerangan GERAK yang berhubung perkara tersebut yang telah bermula sejak seminggu lalu.

GERAK akan terus menjalankan operasi di pejabat yang sama dan kejadian tersebut tidak menjejaskan tumpuan GERAK untuk terus berjuang memerangi rasuah.

Dalam perkembangan lain GERAK percaya kenyataan Presiden Umno dalam Perhimpunan Agung semalam yang kononnya bersungguh sungguh memerangi rasuah dan mengajak semua pihak membantunya merupakan satu kenyataan kosong dan retorik semata - mata. GERAK hanya percaya kepada komitmen Perdana Menteri untuk memerangi rasuah sekiranya beliau berani membuat pindaan perundangan di Parlimen untuk membebaskan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dari struktur Jabatan Perdana Menteri itu sendiri dan meletakkan BPR terus di bawah Parlimen secara langsung.

GERAK ingin mengingatkan rakyat sepanjang 3 tahun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri (PM), tidak ada satu pun pindaan undang undang yang membabitkan akta rasuah dibuat untuk memperkasakan BPR.

GERAK yakin Abdullah telah berbohong kepada rakyat khususnya perwakilan Umno semalam. Berdasarkan pendedahan kes – kes korupsi mutakahir ini yang membabitkan salah guna kuasa beliau sendiri sebagai PM dalam memperkayakan anak dan menantu beliau, Abdullah sebenarnya tidak mempunyai kekuatan moral dan jati diri untuk memerangi rasuah.

GERAK menyeru Abdullah untuk secara jujur mengakui ketidak kemampuan beliau untuk melaksanakan tugas besar ini iaitu memerangi rasuah dan dengan ini mendesak beliau untuk meletakkan jawatan di akhir Perhimpunan Agung Umno kali ini.

p/s : apa yang nak di curi sebenarnya ?

No comments:

Post a Comment