Tuesday, September 27, 2005

Nelayan dakwa bot bantuan tsunami mudah rosak

Muda Mohd Noor- malaysiakini.com

Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa ramai nelayan di sekitar Kota Kuala Muda dan Yan di Kedah yang menjadi mangsa tsunami akhir tahun lalu, merungut kerana bot yang mereka beli melalui persatuan nelayan kawasan rosak setelah beberapa bulan digunakan. Timbalan Ketua Penerangannya, Badrul Hisham Shahrin mendakwa, kira-kira 40 keluarga nelayan di Kampung Sungai Udang Yan Kedah, tidak dapat ke laut kerana bot mereka masih dibaiki. Katanya, perkara tersebut telah dibangkitkan dalam majlis perjumpaan rombongan angkatan tersebut dengan nelayan di Yan pada 14 September dan di Kuala Muda pada keesokannya.“Di Yan, kami dimaklumkan bahawa 10 bot disahkan rosak pada bahagian badannya dan sedang dibaiki. Selain itu, mereka juga mendakwa harga bot berkenaan lebih mahal. Malah jika dibeli sendiri, mereka mendapat bot yang lebih besar dan lebih berkualiti.
“Sebagai contoh, seorang nelayan Kampung Tebing Sungai, Che Omar Sofar,54, mendakwa beliau nyaris tenggelam di tengah laut apabila bot yang dinaiki bocor secara tiba-tiba, tetapi bot tersebut berjaya ditunda ke pangkalan,” kata Badrul Hisham ketika dihubungi hari ini mengenai lawatan tersebut. Menurut Che Omar, katanya, beliau membuat pinjaman untuk membeli bot itu pada harga RM6,400 dan ia tidak termasuk harga pukat RM1,500 dan harga enjin 30 kuasa kuda sebanyak RM4,400. “Separuh daripada jumlah pinjaman itu dibayar balik kepada kerajaan melalui persatuan,” kata Badrul yang mengetuai 14 ahli Pemuda PKR dalam lawatan ke perkampungan nelayan sekitar Kota Kuala Muda itu, selepas sembilan bulan dilanda tsunami. “Menurut Che Omar, pada mulanya beliau dijanjikan bantuan kerajaan melalui Dana Tsunami, tetapi kemudian bertukar kepada Dana Khas Nelayan. Bantuan separuh pinjaman itu diberikan dalam bentuk bot, pukat dan enjin yang diruskan oleh Persatuan Nelayan Yan.
Harga bot mahal
“Manakala seorang lagi nelayan, Mustapa Ahmad, 50 (foto), berkata, kemiskinan menyebabkan beliau terpaksa membeli bot melalui persatuan nelayan meskipun harganya mahal dan tidak berkualiti,” kata Badrul Hisham. Katanya, beliau dimaklumkan bahawa bot sebesar itu boleh dibeli dengan harga RM5,000, pukat hanya RM1,000 dan enjin cuma RM3,800. “Menurut para nelayan tersebut, pada mulanya mereka membantah tetapi terpaksa akur kerana mereka miskin, tidak ada modal, anak-anak ramai dan berharap melalui pinjaman itu, mereka dapat bekerja semula,” katanya lagi. Menurut Badrul Hisham, bot-bot yang rosak itu ditempatkan di bengkel sementara yang terletak di perkarangan pejabat Persatuan Nelayan Yan. Terdapat dua pekerja sedang membaiki bot tersebut.
Beliau berkata, tinjauan pihaknya ke Kuala Muda dan Yan, juga mendapati pakej bantuan tsunami untuk nelayan di situ telah ditukar nama ke Dana Khas Nelayan, yang menyalurkan bantuan dalam bentuk separuh pinjaman. Menurutnya, dalam perjumpaan dengan nelayan di Kuala Muda pula, pihaknya diberitahu ada nelayan yang cuba bersuara mengenai pengagihan bantuan, dikenakan tindakan termasuk ditarik balik bantuan sepertimana yang berlaku kepada nelayan Abdul Wahab Ariffin yang mempunyai tiga anak. “Keluarganya kehilangan rumah dalam bencana tsunami. Bot yang digunakan untuk ke laut tenggelam bersama segala peralatan lain. Bantuan kerajaan yang diperolehi, telah ditarik balik kerana beliau mengkritik apa yang didakwanya berlaku penyelewengan dalam pengagihan bantuan tsunami,” katanya. Menurutnya, Abdul Wahab mendakwa beliau diminta menyerahkan balik, antaranya, enjin jenis Mercury 60 kuasa kuda dan pukat udang kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). “Rumah Mesra Rakyat yang dijanjikan juga tidak diberi,” kata Badrul Hisham lagi.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment