Sunday, September 04, 2005

Abdullah harus berani berdepan dengan kebenaran, tubuh Suruhanjaya untuk siasat konspirasi

KENYATAAN MEDIA ANGKATAN MUDA MALAYSIA

Pada 18 Ogos 2005 yang lepas Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Hishamuddin Mohd Yunus membuat keputusan kes saman Anwar Ibrahim ke atas penulis buku ‘50 dalil’ Khalid Jafri.

Keputusan kes ini menjadi perhatian media hampir di seluruh dunia, termasuk di Indonesia apabila hampir semua akhbar utama memberikan liputan di muka utama.

Keadaan berbeza di Malaysia apabila rakyat hanya difokuskan mengenai jumlah RM4.5 juta yang di arahkan kepada Khalid untuk dibayar kepada Anwar, yang sebenarnya jumlah wang itu tidak penting.

Rakyat Malaysia perlu melihat keputusan kes ini dengan skop yang lebih besar. Paling penting sekali ialah intipati keputusan penghakiman bertulis hakim datuk hishamuddin mohd yunus yang antaranya mengakui bahawa fakta buku tersebut merupakan fitnah semata mata dan turut mengakui bahawa wujud konspirasi hingga terbitnya buku tersebut dan menggunakan buku tersebut untuk menjatuhkan Anwar.

Maka kini terbukti buku yang selama ini dijadikan kitab rujukan membenarkan penyingkiran dan penyiksaan terhadap Anwar merupakan satu fitnah malah telah disahkan terdapatnya pakatan jahat dibelakang kewujudan buku ini.

Terbukti fitnah, penyiksaan terhadap Anwar dirancang dan kekacauan dalam negara sehingga mengakibatkan kerugian yang tak ternilai mesti dicari penanggungjawabnya!

Segalanya telah terserlah kerana mahkamah telah membersihkan Anwar dari segala sabitan jahat. (dari sudut agama pertuduhan tersebut jelas pincang berdasarkan pendapat Yusof Qardawi).

Bermula dengan 2 September 2004 Mahkamah Persekutuan telah membersihkan Anwar dari tuduhan liwat dan kini semuanya terbukti.

Mata rakyat seharusnya kini tertumpu kepada Abdullah Ahmad Badawi pengasas Islam Hadhari. Apakah beliau benar benar berani berdepan dengan kebenaran?

Abdullah mendapat tempat kedudukan yang hari ini ialah hasil keadaan yang gawat dan kalut ketika kemuncak fitnah dan konspirasi itu belaku. Maksudnya walaupun mungkin beliau boleh menyatakan beliau tidak terlibat dalam mengganggotai “majlis konspirator” pada ketika itu tetapi beliau tidak boleh lari dari fakta bahawa beliau mendapat peluang menjadi Perdana Menteri hasil dari fitnah dan konspirasi yang berlaku.

Maka Abdullah harus berani untuk mencari kebenaran. Abdullah dan Islam hadhari akan dipandang tinggi jika beliau berani mengambil langkah mencari kebenaran.Ini bukan setakat permasalahan seorang ahli atau pimpinan parti yang dipecat. Ini merupakan maslahah negara apabila pemimpin no 2 dipecat dan mengakibatkan kerugian kepada negara dan rakyat.

Untuk itu Abdullah seharusnya berjiwa besar untuk menasihatkan majlis raja – raja menubuhkan satu suruhanjaya siasatan untuk mencari siapa yang bertanggungjawab atas semua kemusnahan yang berlaku. Yang bersalah perlu diadili.

No comments:

Post a Comment