Friday, February 12, 2016

SERUAN 'PERPADUAN' TOLAK NAJIB DARI KEM MAHATHIR HANYA ULANG TAYANG SKRIP LAPUK TOLAK ABDULLAH

Catatan terbuka
12 Febuari 2016

SERUAN 'PERPADUAN' TOLAK NAJIB DARI KEM MAHATHIR HANYA ULANG TAYANG SKRIP LAPUK TOLAK ABDULLAH 

Tepat 9.34 pagi, pada 10 Febuari 2016 tiba-tiba masuk satu pesanan ringkas (sms) melalui telefon. Ia sms dari seorang yang boleh digelar 'legend' dikalangan aktivis, dimana dia seorang blogger dan bekas pemimpin mahasiswa ketika era kebangkitan mahasiswa. Bekas tahanan ISA ini menghantar sms berbunyi  
Kadir Jasin dah buat kenyataan BERSATU SELAMATKAN MALAYSIA - lihat FMT. Rasanya perlu disambut dan digerakkan. NGO sambut dulu dan parti politik sambut kemudian. TK
Bila dirujuk semula berita FMT 'Kadir calls for all-party push to ‘save’ the nation' dengan rakaman video tersebut, saya mohon untuk tidak bersetuju dengan idea tersebut kerana ia hanya skrip ulang tayang bagi menyelamatkan Umno atau lebih tepat lagi menyelamatkan Mahathir dan kuncunya semata -mata.

Dengarnya memang enak dan sedap maka saya tidak hairan bagi aktivis atau pemimpin politik yang berfikir singkat akan menyambut ia sebagai seruan bertanggungjawab. Namun bagi saya ia tidak lebih dari pengulangan skrip lapuk ketika operasi menjatuhkan Abdullah Badawi.

Semua harus ingat ketika menjatuhkan Abdullah Badawi, malah kelompok anak muda termasuk saya ketika itu menyambut seruan dengan skrip yang sama. Kami menyambut seolah ia seruan bertanggungjawab dengan tema jihad selamatkan negara. Namun apabila Abdullah jatuh adakah Mahathir meneruskan usaha mendakwa Abdullah bagi mengembalikan wang negara yang ketika itu dituduh dibawa lari, apa khabar saham berkepentingan negara yang dikatakan dilarikan Khairy (menantu Abdullah) ke Singapura ketika itu ? Semua senyap  kerana tumpuan bukan menyelamatkan negara atau membongkar rasuah Umno tetapi hanya meastikan Mahathir dan kuncunya dapat mengawal sepenuhnya negara malah jangan sesekali lupa selepas menjatuhkan Abdullah, Mahathir sendiri duduk dibarisan paling depan menyerang 'pembangkang' yang dia perkudakan ketika menjatuhkan Abdullah. 

Ingat Mahathir yang naikkan Abdullah kerana ketika itu Abdullah paling lemah dan pada pemikiran Mahathir ia paling mudah dikawal kerana Mahathir terpaksa mengundur diri kerana tidak tahan tekanan dan hilang populariti sejak 1998. Ramai berpendapat jika Mahathir terus menjadi Perdana Menteri maka pilihanraya ke depan itu Barisan nasional akan kalah teruk. Malangnya selepas Abdullah naik Khairy mengepung Abdullah hingga Mahathir tidak dilayan maka Mahathir 'mengamuk' sehingga tersungkur Abdullah. Ketika itu Kadir Jasinlah juga panglima propagandanya. 

Ketika Najib hendak mengambil alih kerusi nombor satu itu, bukan sedikit bantahan. Dengan isu Altantuya, isu pembaziran Rosmah dan perbagai kelemahan menjadi sebutan. Namun Mahathirlah yang bersungguh menaikkan Najib kerana mungkin baginya Najib yang naik dengan penuh kritikan lebih mudah dikawal dan bergantung padanya. Malangnya selepas beberapa tahun, Najib mula meninggalkan Mahathir, permintaan tak terlayan. Maka Mahathir mulakan amukan semula. Namun yang celik dan masih ingat bagaimana operasi Mahathir memperkudakan sentimen rakyat melawan Abdullah namun selepas itu menyerang pembangkang umpama musuh negara. 

Gendang perpaduan hanya untuk kepentingan Mahathir dan kuncunya. Jika benar Mahathir pentingkan pimpinan bersih dan berwibawa maka dia tidak akan menamakan Abdullah yang lemah  atau Najib yang sememangnya penuh kritikan ketika sebelum naik jadi PM lagi.

Dalam temuramah dengan FMT tersebut Kadir Jasin bersungguh memuja muji Mahathir seolah dia tersangat 'karamah'. Tanpa menafikan beberapa jasanya namun tidak ada yang istimewanya sangat pun pemerintahan Mahathir paling banyak pembaziran dan ketika itu tidak ada injin carian internet yang mampu menyelongkar atau media sosial yang mampu menyebar laju. Mahathir juga lah yang meminda dan menyusun sonsang perbagai asas negara termasuk menjahanamkan sistem kehakiman.

Abdullah dan kini Najib adalah penerus kepada kehancuran sistem yang Mahathir lakukan keadaan bertambah parah apabila rizab (minyak) berharga negara semakin menyusut tidak semewah dizaman Mahathir. Dari segi nilai 'samunan' ia tetap sama.

Jika Mahathir, Muhyiddin, Shafie atau nama apa pun yang kononya berani ini .....masa sesuai tinggalkan Umno sertai mana - mana parti selain Umno yang ada atau tubuh sahaja parti sendiri. Bergerak bersama rakyat maka kami sendiri tidak menolak akan pertimbang untuk bersama dalam gerakan itu. Benar - benar akui kesalahan lalu dan bersama membina negara. Jika tidak tidak perlulah layan mereka ini kerana kita lah kelompok paling bodoh akan dirakam sejarah kerana tertipu dengan skrip lapuk yang sama.

Kepada pembangkang atau para aktivis progresif negara, tinggalkan sahaja pemain -pemain skrip lama, ini masanya keluar dari padang permainan lama. Ayuh mara ke tengah rakyat, tawaran kita seharusnya perubahan sistem dengan meninggalkan sistem yang membawa kehancuran negara ini.

Ingat pejuang negara pernah berkata di atas robohan kota Melaka kita dirikan jiwa merdeka, bukannya di atas robohan kota Melaka kita dirikan Kota semula.

Ingat ini masa terbaik namun syarat jangan tertipu dengan skrip sama.

#sudahlahMahathir

oleh :

che'GuBard
Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)


nota kaki : rakyat sedang melihat juga apa respon parti - parti yangmengatakan mereka progresif yang mahu menumbangkan Umno (Bn) terhadap isu seperti cat pintu gerbang RM9.8 juta, tukar kubah Masjid RM32.4 juta... jika kita sama diam rakyat akan kecewa. Korupsi, salah atau lemah urus tadbir, pembaziran tetap wajib dilawan walaupun siapa pelakunya tidak kira berapa jumlahnya.

1 comment:

  1. najib patut letak jawatan sebagai pm malaysia sebab dia sepuluh kali lebih teruk dari badawi.

    ReplyDelete