Wednesday, October 27, 2010

AMK pimpinan Chegu Bard akan perkenal sistem ‘report card’

Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat akan memperkenalkan sistem ‘report card’ bagi memantau prestasi exco-exco AMK seluruh negara.

Sistem yang buat pertama kali bakal dipraktikkan hanya dapat dilaksanakan sekiranya calon-calon yang mendukung manifesto ‘Penerus Perjuangan Reformasi’ berjaya memenangi jawatan-jawatan tertinggi AMK nanti.

Demikian kata calon Pengerusi Tetap AMK, Amizudin Ahmat ketika menjelaskan perancangan kumpulan yang dipimpin oleh Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard untuk membangunkan cabang-cabang AMK seluruh negara.

Menurut beliau lagi, Pengerusi Tetap AMK bakal diberi tanggungjawab untuk memegang atau memantau ‘report card’ exco-exco AMK seluruh negara.

"Chegu Bard ada beritahu jika beliau menang, saya bukan sekadar Pengerusi Tetap Kongres tetapi sebagai pemegang ‘report card’ terhadap semua Exco AMK Malaysia," kata beliau.

"Ini konsep baru yg belum pernah ada dalam AMK. Ya, memang konsep baru, sebab itu Chegu Bard berkata barisan exconya datang dengan sukarela untuk berkhidmat dan berjuang, bukan pilihannya. Mereka datang sendiri untuk dicalonkan, tiada paksaan. Jadi tiada alasan selepas ini untuk mereka tidak beri komitmen. Istiqamah amat perlu dalam perjuangan," jelas beliau lagi.

Objektif

Amizudin turut menjelaskan bahawa objektif konsep ini bertujuan mengelakkan adanya pemimpin AMK yang hanya bekerja apabila tiba musim pemilihan atau pilihan raya atau hanya tahu ‘berkhidmat’ untuk pemimpin lebih tinggi dan bukannya terhadap ahli dan masyarakat kawasannya.

"Maknanya mereka akan dipantau dari segi kehadiran dalam mesyuarat, aktiviti yang diadakan dan juga komitmen mereka dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan oleh AMK pusat.

"Seperi KPI (Indeks Prestasi Utama) dan ini akan diguna pakai untuk membolehkan mereka diangkat sebagai calon terbaik pilihan AMK pusat dalam PRU 13. Kita mahu lahirkan AMK yg berjiwa merdeka dan komited dalam perjuangan bukannya bermusim," jelas beliau lagi.

Selaras dengan cadangan pinda peraturan tetap (tajuk kecil) Beliau turut menegaskan konsep ini selaras dengan rancangan untuk meminda Peraturan Tetap AMK bagi membolehkan Kongres AMK peringkat negeri diadakan.

"Ketua AMK negeri juga akan dipilih melalui kongres peringkat negeri dan bukan lagi akan dilantik oleh Ketua AMK pusat seperti Umno.

"Kerana kita mahu ketua AMK negeri akan bertindak menjaga AMK dalam negerinya dan bukan lagi membodek ketua AMK pusat yang melantiknya dan terhutang budi kepada Ketua AMK pusat".

Amizudin Ahmat merupakan calon Pengerusi Tetap AMK. Selain itu beliau juga merupakan Pembantu Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Ong Chin Wen, calon Exco AMK Malaysia.

Sumber - Free Malaysia Today

No comments:

Post a Comment