Friday, March 19, 2010

Khairy Sibuk Jaga Tepi Kain Orang, Kawasan Sendiri Terabai


Oleh Fazilah Sahir (tv Selangor)

KUALA LUMPUR 18 Mac - Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin terlalu sibuk mencampuri dan mengecam Pakatan Rakyat sehingga terlupa tanggungjawab dan janji beliau kepada pengundi di kawasan sendiri.

Menurut Ketua KEADILAN Cabang Rembau Badrul Hisham Shaharin atau CheGuBard kegagalan menantu mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi itu jelas memperlihatkan kerapuhan kredibiliti dan ketidakmampuan beliau sebagai seorang Ahli Parlimen.

Beliau mendakwa kebanyakkan pengundi di Rembau dikatakan sangat kecewa dengan tindakan Khairy yang sekian lama tidak turun padang menjengah kawasan.

Malah segala janji yang ditabur semasa pilihan raya ke-12 dulu kini dianggap penipuan semata-mata, lantas mendedahkan kelemahan dan pembohongan Ketua Pemuda Umno tersebut.

"Lima janji 'hebat' yang ditaburkan Khairy termasuklah hospital besar, pusat tuisyen emas percuma untuk semua rakyat Rembau, membina Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan masjid di Pedas yang sehingga kini tak tahu hujung pangkalnya.

"Semua yang dijanjikan adalah satu pembohongan serta menunjukkan kelemahan Khairy kerana tidak dapat menunaikan satu apa pun yang dikata sebelum ini," kata beliau ketika dihubungi Suara Keadilan.

Malah CheGuBard berkata beliau sentiasa menerima aduan rakyat ekoran kegagalan Khairy berfungsi sebagai wakil rakyat.

"Aduan terbaru kami terima penduduk di Felda Sendayan kecewa kerana sudah dua tahun Khairy tidak menjengah kawasan. Malah beliau hanya menghantar wakil dalam satu majlis dengan persiapan yang gah telah dibuat untuk menyambut beliau.

"Namun beliau tidak hadir sehingga membuatkan Ketua Cawangan Umno malu dengan rakyat tertunggu-tunggu kehadirannya," katanya lagi.

Tambah Ahli majlis Pimpinan Pusat itu walaupun KEADILAN gagal memenangi kawasan tersebut pada PRU ke-12 lalu namun beliau bersama-sama rakan lain akan meneruskan khidmat dengan memberi bantuan serta sumbangan kebajikan kepada rakyat.

Beliau berpendapat politik tanahair kini memasuki fasa baru yang mana rakyat kini telah bangkit dan menolak kepimpinan Khairy dan Umno.

"Segala perubahan terletak di tangan rakyat yang mengundi. KEADILAN akan terus bangkit untuk meningkatkan mutu parti dan seterusnya merampas kawasan tersebut daripada tangan Khairy kelak," tegas CheGuBard.

No comments:

Post a Comment