Wednesday, October 07, 2009

Kehadiran Tun Dr Mahathir tidak berkesan (sinar harian)

SEREMBAN – Kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membantu calon Barisan Nasional (BN) dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) sebenarnya tidak memberikan kesan kepada calon yang bertanding. Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin berkata, kenyataan itu berdasarkan keputusan pilihan raya kecil sebelum ini di Bukit Selambau, Kedah dan Bukit Gantang, Perak yang memihak kepada calon Pakatan Rakyat (PR). Katanya, masyarakat dan rakyat umumnya mengetahui Tun (Dr Mahathir) pernah membantu calon dalam kempen pilihan raya kecil sebelum ini di Kedah dan Perak.

“Walaupun Tun turun membantu berkempen terhadap calon BN, namun ia masih gagal mempengaruhi pengundi di kawasan terbabit untuk memilih Barisan Nasional. “Kehadiran Tun sudah tentunya akan memberikan kesan kepada pengundi jika ia disokong dan jasanya dikenang, namun perkara sebaliknya berlaku,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. Badrul Hisham berkata, beliau menyokong tindakan bekas Perdana Menteri itu yang bertegas tidak akan berkempen membantu calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang berdasarkan prinsipnya sebelum ini.
“Tun ternyata berpegang kepada prinsipnya tidak menyokong calon yang terbabit dengan gejala politik wang. Ia jelas dalam kenyataannya sebelum ini yang turut meminta pucuk pimpinan BN tidak memilih calon yang sedemikian.
“Saya menyokong pendirian Tun berhubung perkara ini, namun bersimpati dengannya kerana pucuk pimpinan BN seolah-olah tidak mempedulikan na-sihatnya selaku bekas pemimpin tertinggi,” katanya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tun yang bertegas tidak akan berkempen membantu calon BN dalam PRK DUN Bagan Pinang kerana menolak individu atau calon yang dikatakan pernah terlibat dengan gejala politik wang.

No comments:

Post a Comment