Thursday, January 24, 2008

Cabaran buat menantu PM

BADRUL HISHAM SHAHARIN;
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT),
Parti Keadilan Rakyat

Tarikh : 20 Januari 2008

Khairy Jamaluddin,
Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia,

Saudara ;

CABARAN BERTEMU DALAM PILIHANRAYA UMUM KE 12.

Salam sejahtera ke atas saudara dan keluarga.

Kebelakangan ini rakyat makin hidup terhimpit. Negara kini umpama diambang krisis. Harta negara berlegar dikalangan tertentu yang terus mewah sedangkan rakyat terbiar susah.

Angin pilihanraya semakin terasa. Namun seperti biasa dalam pengamalan sistem demokrasi 'ala Malaysia' kita cuma mampu meneka-neka bila tarikh pilihanraya dalam keadaan pemerintah (BN) sentiasa ketakutan menyembunyikan tarikh sebenar.

Pilihanraya kali ini dijangka akan menjadi pilihanraya terhebat dan paling kotor dalam sejarah negara. Ini kerana sokongan rakyat terhadap parti – parti alternative semakin meningkat dan protes terhadap kegagalan serta korupsi BN semakin membara.

Seperti diketahui umum saudara cuba menonjolkan diri sebagai watak penting dalam percaturan BN. Umum juga mengetahui bagaimana saudara menggunakan kedudukan rapat saudara selaku menantu Perdana Menteri untuk meraih keuntungan politik dan kewangan. Kini saudara menjadi jutawan muda paling berkuasa dalam negara.

Saudara juga sudah tentu menyedari bahawa bapa mertua saudara merupakan Perdana Menteri yang paling lemah pernah negara ini miliki dan kelemahan ini dipergunakan oleh saudara serta teman – teman saudara sepenuhnya untuk meraih keuntungan peribadi.

Sehubungan dengan itu saya dengan rasa rendah diri atas nama tanggungjawab anak muda terhadap negara mencabar saudara dalam pilihanraya umum ke 12 ini.

Kerusi P128 Seremban, kerusi bandar yang bersifat campuran mungkin menjadi medan sesuai untuk saudara menguji porpulariti dan keangkuhan kenyataan dan tindakan saudara selama ini.

Dan jika saudara tidak mempunyai keberanian untuk bertemu di kawasan Bandar dan campuran seperti Parlimen Seremban, saya juga bersedia mengikuti saudara ke mana – mana parlimen khususnya dalam Negeri Sembilan.

Saya dengan ini juga mencabar agar saudara menasihatkan bapa mertua saudara mengumumkan tarikh pilihanraya lebih awal (sekurang kurangnya 60 hari sebelum pilihanraya) seperti amalan negara – negara demokrasi lain bukan hanya pengumuman mengejut seolah mendapat ilham dari mimpi.

Jika saudara mempunyai keberanian menyahut cabaran ini diharap saudara juga mampu untuk menamakan kawasan pilihanraya yang bakal saudara tandingi lebih awal. Saya juga menyakini berdasarkan ilmu dan pengalaman yang saudara timba dari universiti terbaik dunia mampu memahamkan saudara makna sebenar demokrasi dan dengan maruah saudara mampu turun ke gelanggang pilihanraya dengan prinsip asas demokrasi memulangkan kepada rakyat untuk menghakimi segala tindakan selama ini dan tawaran masa depan.

Salam perjuangan ;

bacaan lanjut sila klik sini

No comments:

Post a Comment