Friday, October 07, 2005

Rombakan Exco NS dipertikai

Muda Mohd Noor
Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) menpertikaikan tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan memegang enam portfolio dalam rombakan kabinet pada 28 September lepas. Ketua Penerangannya, Badrul Hisham Shaharin mendakwa Mohamad tidak akan mampu untuk memikul beban kerja yang banyak selain tugasnya sebagai Menteri Besar. Mohamad kini menjadi exco untuk Hal Ehwal Agama Islam, Perancangan, Kewangan, Tanah dan Sumber Asli, Pelajaran, Pelaburan dan Perindustrian, Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dan Penerangan, Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
“Apa perlunya mengadakan barisan exco yang begitu ramai sedangkan Negeri Sembilan bukan sebuah negeri yang terlalu ramai penduduk,” katanya dalam kenyataan yang dihantar kepada malaysiakini hari ini.
Pada 28 September yang lepas Menteri Besar Negeri Sembilan mengumumkan rombakan kabinet kepimpinan kerajaan negeri dengan menambah enam exco baru dan juga melantik timbalan exco. Langkah membazir Selain itu, beliau juga melantik Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid sebagai timbalan exco bagi tiga portfolio. “Rombakan ini sangat membazir kerana Negeri Sembilan antara negeri yang paling banyak berhutang dengan kerajaan pusat dan sudah pasti beban akan dipikul oleh rakyat,” katanya. Badrul Hishan berkata, tindakan Mohamad melantik dirinya memegang enam portfolio menggambarkan seolah-olah beliau tidak mempunyai kepercayaan terhadap anggota exco lain. Katanya, ia juga seolah-olah menggambarkan berlaku krisis kepimpinan dalam komponen Barisan Nasional (BN) terutama dalam Umno menyebabkan Mohamad terpaksa melantik begitu ramai pemimpin parti komponen untuk menjadi exco. Beliau berkata, sejak Mohamad menjadi Menteri Besar selepas pilihanraya umum lalu tidak ada sebarang perubahan atau kemajuan yang dilakukan, sebaliknya masalah bekalan air tidak dapat diselesaikan hingga hari ini.

No comments:

Post a Comment