Friday, October 07, 2005

Ujian untuk Umno

Selepas Hakim Mahkamah Tinggi mendapati Anwar Ibrahim sebagai mangsa konspirasi Umno, maka ia menjadi satu ujian kepada ahli-ahli Umno khususnya pemimpin-pemimpin Umno, samada mereka (ahli Umno) itu mempunyai maruah dan mampu untuk menilai kebenaran serta berupaya menolak fitnah tersebut. Apabila Hakim mendapati isi kandungan buku 50 Dalil itu sebagai satu alat fitnah bagi menjatuhkan kerjaya mantan Timbalan Perdana Menteri itu, maka ia menjadi tanggungjawab semua pihak, termasuk pemimpin Umno, yang merentasi batasan politik, untuk mendokong kebenaran tersebut. Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Rais Yatim yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno telah mendahului dengan menyatakan bahawa kini telah tiba masanya untuk mengkaji adakah tepat tindakan Umno memecat timbalannya pada 1998, secara tidak langsung menukar Timbalan Perdana Menteri. Sepatutnya, apabila mahkamah telah menyatakan penghakimannya, maka menjadi tanggungjawab untuk semua pihak untuk mempertahankan kebenaran itu. Sekiranya institusi mahkamah itu lebih jelas dapat mendokong nilai kebenaran, berbanding dengan institusi dan pemimpin Umno, maka ia akan membawa kesan yang amat besar kepada negara, khususnya umat Melayu. Maka, persepsi rakyat akan terpesong dengan kredibiliti Umno sebagai parti pemerintah yang tidak berupaya mempertahankan kebenaran, hanya mungkin kerana kedudukan. Dan, itu sekaligus akan menjadi punca runtuhnya nilai-nilai moral dalam Umno sehinggakan menjadi satu proses delegitimasi Umno itu sendiri sebagai pendokong orang Melayu. Pemecatan Anwar Ibrahim yang juga pada ketika itu terlucut jawatan Timbalan Presiden Umno seharusnya memberi komen yang analitkal. Abdullah sendiri yang menerajui tampuk pimpinan Umno gagal untuk membuktikan dengan jelas dia mendokong kebenaran tersebut. Beliau yang kononnya menerajui tonggak Islam Hadhari sepatutnya mendokong kebenaran yang dinyatakan oleh Mahkamah Tinggi. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi pula menyatakan pemecatan Anwar tiada kena mengena dengan mahkamah tetapi lebih kepada urusan dalaman Umno. Respons tertinggi yang diterima ialah daripada Perdana Menteri itu lebih bersifat politikal.

No comments:

Post a Comment