Friday, October 07, 2005

Hakim akui konspirasi Umno

Hakim Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur, Datuk Hishamuddin Yunus, membuat keputusan bahawa pengedaran buku '50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM' dan surat layang yang dilakukan oleh Umno adalah konspirasi bagi menjatuhkan mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan juga bekas Presiden Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Penghakiman yang dibuat pada 18 Ogos lalu menyatakan tuduhan yang dibuat di dalam buku tersebut adalah serius. "Sehingga saat terakhir penghakiman dibuat, tiada usaha meminta maaf daripada pihak-pihak yang terlibat dalam konspirasi tersebut," kata Hishamuddin ketika membaca penghakimannya. Datuk Mohd Hishamuddin dalam penghakimannya berkata, buku tersebut telah disebarkan secara meluas dalam perhimpunan agung Umno dan buku tersebut juga dimasukkan di dalam beg perwakilan. "Khalid dan yang lain telah berkonspirasi dan berjaya mencapai matlamat mereka (untuk menjatuh dan memalukan Anwar). Akibatnya kerjaya politik plaintif (Anwar) rosak kerana penerbitan buku tersebut," kata Hishamuddin. Menurutnya lagi, Anwar bukan sahaja hilang kedudukannya dalam kerajaan dan Umno, tetapi juga kehilangan pendapatan dan pencen. "Berhadapan dengan kekejaman dan kebencian orang ramai terhadap maruahnya yang diserang oleh Khalid Jafri bersama yang lain, dimalukan segara terbuka dan cemuhan, kesakitan dan tekanan yang dihadapi oleh plaintif (Anwar) dan keluarganya tidak dapat diterangkan," jelas Datuk Mohd Hishamuddin. Kerana semua itu, menurut Hishamuddin, beliau memutuskan ganti rugi berjumlah RM4.5 juta kepada Anwar. Beliau berkata, biarpun pemberian ganti rugi melibatkan jumlah yang besar bukan amalan di Malaysia, namun beliau bersetuju dengan pendapat peguam bela Sulaiman Abdullah bahawa kes ini adalah kes yang unik dan tersendiri. Konspirasi tersebut berpunca daripada surat layang yang ditulis oleh Azizan Abu Bakar. Dalam surat tersebut, Khalid Jafri yang bertanggungjawab menerbitkan buku tersebut yang mana ia menyebut bahawa Aziz Shamsuddin (setiausaha politik Perdana Menteri ketika itu) memberitahu mereka mempunyai tugas penting bagi memastikan Anwar tidak menjadi Perdana Menteri. Antara lain, surat itu menyebut, "Selain dari itu Hj Zahar mengatakan bahawa Aziz Shamsuddin sendiri menyampaikan berita kepadanya bahawa PM mengataka Anwar Ibrahim tidak layak menjadi PM. Anwar 'Zero' tidak tahu tentang kewangan. Kita ada tugas penting untuk menentukan bahawa Anwar tidak akan menjadi PM dan semua orangnya mesti dipancong sebelum pemilihan 19999 ini." Surat itu juga menyebut, "Pada keesokan harinya (tarikh saya lupa) sekali lagi kami bertemu di Pejabat Dato Rais (Bangunan FAS sebelah stadium) kami membincangkan strategi gerakerja menyekat Anwar Ibrahim (TPM) daripada menjadi PM." Selain daripada itu, ia juga menyatakan "Dato Rais, menyatakan bahawa TPM adalah agen CIA dan mendapat bantuan 1.2 billion US Dollar untuk kempen akan datang." Aziz adalah setiausaha politik bagi Perdana Menteri dan tewas dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Bahagian Umno Gopeng. Aziz tidak menyukai Anwar Ibrahim kerana Anwar tidak menyokongnya di dalam pemilihan.

No comments:

Post a Comment