12 Mei 2018
Tangkap dan dakwa kes 1MDB bawa semua harta aset pulang. Buka semula kes fitnah ke atas Anwar dakwa mereka yang memperkuda sistem keadilan Negara. Rakyat mula menuntut janji.
1. Ucapan tahniah buat rakyat Malaysia kerana telah berjaya membuat perubahan besar melalui Pilihanraya Umum ke 14. Untuk memahami dan mempraktikkan politik demokrasi Malaysia memerlukan lebih 60 tahun harapnya tidak sepanjang itu untuk rakyat bergerak ke fasa kedua untuk memahami dan mempraktikkan politik ideologi. Kepada yang memenangi PRU ke 14 ini, tahniah dan ini masa mengota janji khususnya janji 100 hari PH iaitu Malaysia tanpa GST, Petrol dan diesel murah, tutup semua tol, pemansuhan perbagai undang – undang drakonian, pembebasan SPRM dan perbagai agensi kerajaan lain selain pembebasan kekangan media serta seumpamanya. Ingat rakyat telah melalui proses latihan panjang dan mereka kini bijak menuntut dan mendesak.
2. Pembebasan Anwar Ibrahim yang menjadi lilin pembakar kesedaran rakyat sejak hampir 20 tahun lalu dilaporkan telah mendapat pengampunan diraja dan sewajarnya dibebaskan segera. Bukan itu sahaja kes fitnah yang memenjarakan beliau wajar dibuka semula dan bukan sekadar yang menfitnah sebaliknya yang memperkudakan sistem perundangan dan keadilan Negara wajar dibawa ke muka pengadilan segera agar ia menjadi pengajaran dan menjadi titik pembaikan dalam sistem keadilan negara. Kes Anwar bukan sahaja mengorban Anwar tetapi sangat ramai turut menjadi mangsa menerima kesannya.
3. Antara punca kejatuhan Najib dan Barisan Nasional ialah amalan korupsi 1MDB maka sudah tentu desakan besar untuk melihat Najib dan semua yang terlibat dihadapkan ke muka pengadilan. Ini masanya semua tuduhan dibuktikan dan paling penting semua hutang dan aset negara dikembalikan segera. Usaha memadamkan semua kes rompakan harus tidak dipersetujui.
4. Perjuangan perubahan ini sangat panjang dan banyak pengorbanannya. Amat mengharapkan perubahan ini bukan sekadar perubahan kosmetik namun punya keberanian untuk menulis semula dan mengangkat sejarah benar dalam negara. Watak selama ini dilupakan malah ada yang dicaci harus diangkat dengan benar peranan mereka. Isu perkauman dan isu pertembungan agama dilipat kemas diletak tepi sebagai pengajaran yang harus diingati. Negara ini harus melangkah meninggalkanya.
5. Isu rasuah, korupsi dan pentadbiran baik tetap menjadi cabaran ke depan. Saya tidak menarik satu pun pendedahan atau laporan korupsi yang pernah dibuat sejak 1998 hingga hari terakhir sebelum pengundian dan sangat mengharapkan kewujudan SPRM yang benar bebas dan adil mampu melaksanakan tanggung jawab.
6. Kerana bercakap benar dan pertahan prinsip saya telah dilihat musuh oleh banyak pihak. Untuk itu jauh dalam diri saya juga sentiasa bersedia untuk berdepan dengan sebarang tindakan. Di bawah regim lama saya pernah ditahan 38 kali malah ditahan ketika mengajar di sekolah, dibicarakan sebanyak 5 kali dengan rekod 1 hukuman salah. Pengalaman yang saya sangat hargai di mana itulah sekolah politik saya dari tepi jalanan membawa jeriji rumah pasung ke rumah pasung hinggalah ke kandang kandang mahkamah. Kini juga saya masih disenarai hitam imigresen ke Sarawak, passport saya dirampas mahkamah serta saya sedang berdepan dua kes mahkamah lagi.
7. Untuk pemerintah baru ini juga saya harus sedia menghadapi segala kemungkinan, ditekan menggunakan dua kes masih di mahkamah termasuk beberapa kes mahkamah baru. Namun untuk menutup mulut berkompromi dengan korupsi tidak sama sekali. Ke penjara atau mengenakan denda sehingga saya muflis saya kena bersedia.
8. Seperti yang diputuskan dalam Rapat (Pengurusan) Kebangsaan terakhir sebelum PRU ke 15, maka selepas PRU 15 SAMM bakal bertukar teraju. Saya dengan ini bukan lagi Penyelaras Kebangsaan SAMM, saya sangat berharap salah seorang dari beberapa ahli keluarga SAMM yang memenangi PRU mampu menyambut panji hitam genggam tangan muda ini bagi meneruskan kesinambungan politik radikal muda negara. Ia akan diumumkan segera dalam rapat SAMM dalam masa terdekat. Gerakan yang kita wujudkan sama sejak 2004 ini harus terus kekal sebagai medan latihan mengasak secara radikal gelombang perubahan seperti awal dinyatakan ini hanya kemenangan rakyat untuk memahami praktik demokrasi selepas ini fasa rakyat memahami prinsip dan ideologi dan teruslah melangkah dalam sukar. SAMM wajar berubah mengikut peredaran masa namun jati diri asas kewujudan tidak boleh dikompromi. Kemandirian SAMM harus kekal. Cuma izinkan saya untuk terus dalam keluarga SAMM sebagai anggota keluarga biasa
9. Saya hari ini kekal sama seperti saya melangkah perjuangan ini 20 tahun lalu. Saya hanya ada rumah sewa, kereta masih bayar bulanan yang perjanjian sewa beli atas nama sahabat kerana nama saya tidak layak meminjam bank, hutang kredit kad dan simpanan bank yang sangat sedikit namun saya sangat bersyukur Allah memberikan saya hati yang kental serta keluarga besar SAMM yang merupakan anugerah sangat bermakna. Janji saya akan terus berusaha untuk mencipta Malaysia terbaik yang sama citakan.
catatan umum oleh che'GuBard, warganegara Malaysia
No comments:
Post a Comment