Tuesday, April 04, 2017

Merusuh dalam Parlimen denda RM100, hantar memorandum luar parlimen denda RM6,000 atau 9 bulan penjara

Catatan Umum

4 April 2016

1. Umum pasti akan terus mentertawakan sistem keadilan dalam negara ini dengan perkembangan terbaru iaitu perusuh dalam kawasan 'keselamatan' Parlimen Malaysia didenda RM100 sahaja manakala orang dalam cubaan menghantar memorandum di luar kawasan Parlimen didenda RM6,000 atau 9 bulan penjara.

2. 28 Mac 2017 yang lalu, Hakim Datuk Azman Abdullah, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan menolak rayuan che'GuBard dan 11 yang lain untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen Abdul Rashid Daud pada 31 Mei 2016 lalu.

3. Pada 24 Jun 2013, saya dan hampir 1000 yang lain berada diluar (hadapan) kawasan Parlimen Malaysia untuk menghantar memorandum membantah penipuan PRU ke 13. Beberapa ahli parlimen sudah pun bersetuju menerima memorandum "BLACK OUT 505" yang kami sediakan termasuk tandatangan jutaan rakyat yang dikumpul melalui jelajah BLACKOUT 505 di seluruh negara.

4. Sekitar sebelum 9.00 pagi kami tiba dikawasan luar (hadapan) parlimen Malaysia. Saya sendiri bersama beberapa teman bertemu dengan Ketua Polis Daerah (OCPD) bagi menyatakan hasrat dan matlamat kami berada di situ. Ternyata OCPD membenarkan himpunan diadakan dan meminta kami menyediakan wakil bagi menghantar memorandum tersebut. Kebenaran OCPD ini diakui beliau sendiri dan disiarkan melalui rakaman polis di Mahkamah.

5. Suasana semua aman sehinggalah sekitar 11 pagi (lebih) polis memulakan tolakan dan berlaku tolak menolak. Polis masuk merempuh dan menahan beberapa himpunan aman tersebut. Maka suasana seperti hilang kawal. Beberapa peserta ditahan termasuk Safwan Anang. che'GuBard sendiri bertemu OCPD meminta penjelasan OCPD meminta penyerahan memorandum dipercepatkan kerana sebaik sahaja memorandum diserahkan maka kami diminta bersurai. Selepas bersurai Safwan dan yang lain ditahan OCPD janji akan bebaskan. Semua bersetuju. Kira - kira 11.30 pagi trak polis yang menahan Safwan dan beberapa kawan lain bergerak cuba meninggalkan kawasan depan parlimen. Beberapa individu ke depan mempertikaikan tindakan tersebut yang dilihat melanggar janji OCPD. Ketika itu polis masuk merempuh lagi, malah kali ini memukul peserta himpunan aman. Keadaan agak luar kawal. Demi menenangkan keadaan dan kecewa dengan janji tipu OCPD saya dan beberapa orang rakan menjerit menyerah diri naik ke trak polis secara aman. Ternyata tindakan ini menghentikan huru hara yang cuba dictuskan ekoran rempuhan dan tindakan memukul peserta himpunan aman oleh polis.

6. Kemudian di Mahkamah kami didakwa dengan dua pertuduhan iaitu menyertai perhimpunan itu bagi melakukan mudarat awam di Jalan Parlimen antara 9.15 pagi dan 11.25 pagi pada 24 Jun 2013, mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan pertuduhan kedua,  didakwa merusuh di persimpangan jalan masuk ke bangunan Parlimen pada 11.25 pagi pada tarikh sama dan didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan. Ternyata pertuduhan tersebut sendiri salah kerana jelas dibuktikan dalam video rakaman polis dan pengakuan OCPD sendiri menyatakan dari sekitar jam 9.00 pagi OCPD membenarkan himpunan malah peserta himpunan dengan baik membantu pihak polis menyelia lalu lintas. Merusuh di Jalan Parlimen juga satu perkara yang lucu kerana jelas dalam Video dirakam dan disiarkan dimahkamah bagaimana che'GuBard dan kawan - kawan menyerah diri bagi menenangkan keadaan,

7. Namun seperti yang kita tahu dan maklum semenjak zaman Mahathir merogol sistem keadilan dalam negara dengan mengawal insitusi Mahkamah dan Peguam Negara maka sistem keadilan negara susah hendak diharapkan. 

8. 24 November 2016, sekumpulan penyokong Ahli Parlimen Pasir Salak yang diketuai oleh dua anak lelakinya sendiri masuk ke dalam kawasan 'keselamatan' Parlimen Malaysia 'merusuh' dan menyerang Ahli Parlimen Shah Alam mujur berjaya dihalang pasukan keselamatan parlimen. Berlaku aksi tolak menolak dan pukul memukul yang mana jelas kelihatan melalui video yang tersebar di internet. Namun lawaknyahanya  lapan individu didakwa dan lapan individu itu hanya didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100.

9. Nampak tak bagaimana umum mahu menghormati sistem keadilan di Malaysia ? Untuk Najib Razak, kamu nak lawan Mahathir konon kamu lebih baik. Namun sehingga kini kamu hanya menunjukkan kamu merupakan anak murid terbaik Mahathir.

10. Kesempatan ini che'GuBard ucapkan terima kasih kepada Peguam Haijan Omar dari Firma Guaman YB Gobind Sigh kerana membantu mewakili saya dan beberapa teman - teman lain dari pendakwaan sehingga rayuan. Saya sehingga kini hilang hak untuk menyertai PRU ke 14, hanya ada satu lagi peringkat rayuan namun sedang difikirkan secara serius adakah saya mampu kerana sejak mengkritik korupsi Azmin Ali PKR sendiri tidak membantu dalam bentu guaman. 

11. T.kasih kepada yang penyumbang dan yang meminjamkan che'GuBard dan beberapa teman - teman SAMM yang turut dijatuhkan hukuman sama. Seperti janji che'GuBard yang meminjamkan saya sedang bayar dan ia hutang saya pada anda.

12. Kepada koruptor yang datang dari mana parti sekali pun ini che'GuBard bisikkan ke telinga kamu "kamu boleh ambil semua termasuk nyawa namun kamu tidak mungkin mengambil maruah dan prinsip harga diri yang saya akan bawa sampai mati".

catatan umum tulisan : che'GuBard, SAMM

2 comments:

  1. Anonymous7:27 PM

    Padang muke ko bad

    ReplyDelete
  2. Anonymous1:32 PM

    angkat topi untuk bro

    ReplyDelete