Saturday, July 19, 2014

harus respon dakwaan cubaan rasuah JPP

 mahu PKR menjawab dakwaan rasuah serta mendedahkan siapa individu dalam jawatankuasa siasatan juga apa hasil siasatan kes itu kerana sehingga ke hari ini PKR masih senyap.
 PETALING JAYA: Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SAMM), Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard menggesa Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya membuat satu penjelasan segera  mengenai cubaan rasuah Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang tersebar baru-baru ini.
Menurut beliau, pada 5 Jun 2014 yang lalu beliau telah menghantar surat aduan mengenai isu rasuah tersebut.
“Tarikh itu adalah setelah dua minggu tersebarnya cerita mengenai Pengerusi Panel Bantahan JPP yang membaling wang yang cuba disogok kepadanya oleh seorang calon Timbalan Presiden dalam mesyuarat Biro Politik.
“Namun setelah hampir dua bulan perkara tersebut terus senyap dan hanya kedengaran Dr. Syed Husein Ali dilantik mengetuai panel siasatan khas,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan siapa individu dalam  jawatankuasa siasatan dan apa hasil siasatan kes.
Sementara itu, pada 20 Mei 2014 yang lalu, beliau telah menghantar surat memohon respon Pengerusi Lembaga Disiplin parti terhadap kenyataan Bekas Ketua AMK Balik Pulau yang telah mengeluarkan kenyataan terbuka memaklumkan dia telah menghantar aduan mengenai Azmin Ali.
“Azmin telah menggunakan media termasuk TV3 bagi menghentam parti dan secara sengaja menuduh Presiden mengamalkan nepotisme dan kronisma dalam mentadbir parti.
“Aduan telah dibuat, namun selepas setahun masih tiada apa-apa tindakan,” jelasnya.
Katanya lagi, jika Azmin bebas  menggunakan media untuk menyerang parti   termasuk menggunakan media sosial untuk menghentam ketua umum selama ini, tidak hairan jika anggota biasa juga akan membuat benda yang sama.
“Saya menuntut respon segera daripada Pengerusi Disiplin parti mengenai perkara ini,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment