Thursday, November 10, 2011

Najib Bubar Parlimen Esok, Bakal Berdepan Protes Tukar Kerajaan !




Kenyataan Terbuka
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
10 November 2011


Spekulasi pembubaran parlimen pada tanggal 11.11.11 menjadi khabar angin yang bertiup kencang apabila terdapat laporan yang mengatakan DS Najib telah berjumpa dengan semua ahli parlimen yang telah bersara hari ini. Ia disokong lagi dengan masalah dalaman Umno yang memperlihatkan kemaraan kem Muhyiddin Yassin untuk dinobat menggantikan Najib bagi menghadapi PRU ke-13. Hanya dengan mandat yang baru dan lebih besar buat Najib mampu selamatkan kedudukkannya sebagai Perdana Menteri.

Sebelum ini, SAMM telah mendedahkan daripada sumber-sumber dalaman yang boleh dipercayai bahawa Perdana Menteri akan membubarkan parlimen dalam bulan November bagi membolehkan pilihanraya umum berlaku dalam masa terdekat. Hari ini ura-ura pembubaran parlimen semakin menjadi kenyataan dan tarikh 11.11.11 adalah pilihan Najib untuk membubarkan parlimen. Najib juga seolah-olah tidak mempunyai masa untuk melengahkan tarikh pilihanraya di atas faktor tekanan dari Umno sendiri.

Beberapa laporan media juga turut membuat spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan esok, dengan angka "11" disebut-sebut sebagai "nombor bertuah" pilihan Najib, dan 10 Disember mungkin menjadi hari pengundian.

Jika Najib tetap berdegil membubarkan parlimen esok(11.11.11) demi menyelamatkan regim pemerintahannya, bermakna Najib di atas apa alasan sekalipun telah menafikan sistem pilihanraya yang bersih dan adil. Apatah lagi tindakkan bacul ini telah membelakangi usul kerajaan untuk reformasi sistem pilihanraya dan penubuhan Jawatankuasa Khas(PAC) adalah semata-mata sebuah drama untuk meredakan kemarahan rakyat pasca himpunan BERSIH 9 Julai 2011.

Maka kami Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bersama dengan teman-teman organisasi massa yang lain pada hari ini mewakili rakyat keseluruhanya akan turun ke jalanan bertindak melampaui protes sepertimana yang kami janjikan pada 5 November lalu. SAMM akan pastikan rakyat turun ke jalanan bukan lagi untuk protes pilihanraya tetapi protes untuk menukar regim yang sekian lama gagal menjamin hak rakyat untuk mendapatkan proses demokrasi pilihan raya yang bersih dan adil.

Kita tidak boleh menolak kemungkinan rakyat akan bangkit untuk memastikan regim turun agar proses pilihanraya yang adil dan bersih boleh mengambil tempat dan negara ini boleh diselamatkan.

Justeru, kami SAMM sebagai penggerak anak muda sekali lagi memberi amaran keras buat regim Najib supaya jangan cuba untuk membubarkan parlimen pada 11 November atau mana-mana tarikh sebelum penambahbaikkan sistem pilihanraya melalui jawatankuasa khas diselesaikan terlebih dahulu.

Jika Najib berani membubarkan parlimen, itu bermakna Najib berani berhadapan jutaan rakyat yang bakal membanjiri ibu negara dengan tujuan, menukar kerajaan !



EDYES SAMM
Pengarah Propaganda SAMM
www.anakmudamalaysia.com

No comments:

Post a Comment