Tarikh : 14 Julai 2006
Kepada : Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM),
Tingkat 29, Menara Tun Razak,
Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur.
Bahagian Tatatertib Polis Diraja Malaysia,
Polis Diraja Malaysia,
Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, 50560 Kuala Lumpur.
Saudara ;
SALAH GUNA KUASA POLIS DAERAH PORT DICKSON (TIMBALAN KETUA POLIS DAERAH).
Adalah dengan ini perkara diatas dirujuk.
Pada 10 Julai 2006 yang lepas Angkatan Muda Negeri Sembilan telah mengadakan program menonton Final Piala Dunia Fifa 2006 bersama pemimpin keADILan. Program ini diadakan dengan kami menyewa tapak e-stadium yang yang di miliki oleh Mohd Nor.
Bukan sedikit wang dan tenaga yang kami peruntukan ke arah menjayakan program tersebut. Untuk menampung segala perbelanjaan tersebut kami terpaksa mengenakan tiket kepada setiap pengunjung.
Malangnya selepas perkara ini dihebahkan telah beberapa kali pemilik tapak program dikunjungi oleh pihak polis yang bertanyakan perbagai perkara mengenai program ini, yang kami jangkakan ini bertujuan jahat untuk menakutkan beliau. (Perkara ini diberitahu kepada kami oleh pemilik sendiri).
Pada 10 Julai program dijadualkan bermula jam 12.30 pagi namun anggota polis beruniform dan tidak beruniform telah hadir dengan jumlah yang ramai seawal 9 julai 9.00 malam. Kehadiran polis ini telah menyebabkan orang ramai berasa kurang selesa untuk hadir. Malah tidak sampai 350 meter dari tapak program juga di buat sekatan jalanraya.
Namum atas niat baik untuk bekerjasama dengan polis kami menyediakan tempat duduk untuk pihak polis dalam khemah program.
Antara kepimpinan keADILan dan tokoh yang hadir ialah Tian Chua (Ketua Penerangan, keAdilan Pusat) , Hishamuddin Rais (Pengarah filem) dan che’GuBard (Timbalan Ketua Penerangan) selain dari kepimpinan peringat Negeri Sembilan.
Dengan keadaan polis yang ramai dan sekatan jalan raya tapak program seolah dalam kepungan polis. Walaubagaimanapun program tersebut tetap berjaya menarik kira – kira 400 orang lebih penonton (walaupun pada peringkat awal penganjur menjangkakan 1000 orang akan hadir). Ada juga penonton yang pulang awal kerana berasa kurang selesa kerana polis menggunakan kamera merakam gambar hampir ke semua penonton.
Kami menjadualkan Tian chua dan beberapa orang tokoh yang hadir untuk menyampaikan hadiah bagi kuiz dan cabutan bertuah ketika rehat separuh masa pertama.
Namum 5 minit sebelum waktu rehat tersebut kami didatangi pemilik tapak program merayu agar Tian Chua atau mana – mana pemimpin keADILan tidak naik ke pentas. Menurutnya pihak polis telah mengugut akan menangkap beliau jika sesiapa pemimpin keADILan naik ke pentas walaupun untuk menyampaikan hadiah. Ketika ditanya siapa pegawai yang membuat ugutan tersebut beliau menamakan Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson DSP Md Sham Abdullah.
Respon dari itu Hj. Ramlan Roes, Ketua Angkatan Muda Negeri dan Norazizi Abd Aziz, Setiausaha keADILan Teluk Kemang terus berjumpa dengan seorang pegawai beruniform dan bertanya siapa pegawai paling kanan yang berada di situ. Pegawai polis tersebut memperkenalkan kami dengan seorang lelaki berpakaian biasa yang bernama DSP Sham Abdullah, Timbalan Ketua Polis Daerah.
Ketika ditanyakan mengapakah beliau mengugut pemilik tapak program, beliau tidak menjawab sebaliknya beliau terus menyatakan beliau mendapat arahan Ketua Polis Daerah untuk tidak membenarkan sesiapa pemimpin keADILan untuk naik ke pentas walaupun untuk menyampaikan hadiah.
Ktika ditanyakan apakah wujud peruntukan undang – undang membenarkan beliau membuat ugutan sebegitu ? Beliau menyatakan beliau hanya menjalankan arahan. Beliau memberikan kad nama dan tidak mahu berbincang lagi.
Oleh kerana pemilik tapak ketakutan diugut polis dan merayu kepada kami agar tidak memanggil mana – mana pemimpin keADILan untuk naik ke pentas, maka kami terpaksa akur.
Di sini kami ingin membuat aduan ke atas Polis Dareah Port Dickson khususnya Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson DSP Md Sham Abdullah kerana salah guna kuasa.
Jelas dari tindakan tersebut beliau bertindak di luar bidang kuasa. Hampir semua pasti akan mengatakan polis pagi tersebut bertindak atas arahan demi menjaga kepentingan politik parti politik pemerintah.
Kami dengan ini menuntut pihak polis mengambil tanggung jawab atas kejadian malam tersebut, tindakan tatatertib harus dikenakan kepada Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson.
Pihak yang bertanggungjawab juga harus memikirkan ganti rugi kepada penganjur yang telah banyak mengeluarkan tenaga dan wang untuk menjayakan program dan akhirnya digagalkan oleh polis atas arahan politik pihak tertentu.
Kami amat kesal dengan kejadian tersebut, dan jika tiada tindakan diambil atas kejadiam tersebut maka imej polis akan terus buruk dan hanya dilihat sebagai alat tunggangan politik pemerintah. Kejadian ini juga sebagai bukti polis digunakan untuk mengancam ruang demokrasi dalam negara.
Untuk pengetahuan pihak saudara juga kami dalam pertimbangan untuk membuat laporan polis dan menfailkan saman di mahkamah ekoran peristiwa tersebut.
Sekian.
“ke arah memperkasakan kedaulatan rakyat’
AMIRUDIN ABD WAHAB
Setiausaha
Angkatan Muda Negeri Sembilan
s/k : Ketua Polis Negara
Ibu Pejabat Polis Bukit Aman
Ketua Polis Negeri Sembilan
Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan
Ketua Polis Daerah
Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson
Media dalam dan luar negara.
No comments:
Post a Comment