Friday, June 17, 2005

Kadar inflasi tinggi: Kerajaan salah urus ekonomi negara

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR, 17 Jun (Hrkh)

Peningkatan mendadak kadar inflasi 3.1 peratus bagi bulan Mei lalu amat membimbangkan malah ada yang mendakwa peningkatan itu akibat kelemahan kerajaan dalam mengurus dan mentadbir ekonomi negara dengan baik. "Ini menunjukkan kerajaan gagal menguruskan negara oleh kerana itu kenaikan inflasi tidak terkawal berlaku dan bebanan tentulah terpaksa ditanggung oleh rakyat.

"Kejadian ini juga berkait rapat dengan kemusnahan ekonomi peninggalan Tun Dr Mahathir Mohammad seperti dasar penswastaan yang gagal dan hutang negara yang berbilion jumlahnya,"tegas Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda KeADILan (AMK), Badrul Hisham Shaharin.

Inflasi akibat kenaikan harga minyak

Menurut Badrul Hisham, kenaikan kadar inflasi juga adalah berikutan tindakan kerajaan menaikkan harga minyak sehingga mengakibatkan kenaikan harga barangan yang menyumbang kepada kelemahan kuasa membeli rakyat.

Kata Badrul Hisham, AMK mempersoalkan kenaikan harga minyak dan pengumuman penarikan subsidi minyak sedangkan minyak yang dikeluarkan negara berkualiti (kurang plumbum) dan harganya mahal apabila dijual ke pasaran luar Bagaimanapun untuk bekalan minyak domestik, negara pula terpaksa membeli minyak dari negara lain yang harganya lebih murah, kata Badrul Hisham.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan akhbar berhubung kenaikan kadar inflasi kepada 3.1 peratus bagi Mei 2005 iaitu kadar tertinggi sejak enam tahun lalu.
Mengulas lanjut isu itu Badrul Hisham berkata, harga jualan hasil minyak negara menunjukkan perbezaan harga (margin keuntungan) amat tinggi.Justeru ia sepatutnya boleh membantu negara dan sebahagian dari keuntungan dipulangkan semula kepada rakyat dalam bentuk subsidi minyak.

Atas prinsip ini katanya lagi, Petronas ditubuhkan untuk menguruskan jualan dan belian minyak serta pengagihan subsidi juga menyelia margin keuntungan.

Tidak timbul soal tarik subsidi

Bagi AMK, jika Petronas mampu mendapatkan keuntungan yang tinggi sepatutnya tidak timbul soal subsidi terpaksa ditarik balik dengan menggunakan alasan harga minyak dunia naik dan kerajaan tidak sanggup menanggung subsidi. Kata Badrul Hisham, perlu ditegaskan bahawa bukan kerajaan yang menanggung tetapi petronas yang menanggung subsidi hasil dari margin keuntungan jualan minyak keluar dan belian minyak yang disebut di atas.

Maka kata Badrul Hisham, berapa tinggi harga minyak dunia naik tidak menjadi alasan untuk tarik subsidi kerana harga minyak yang petronas jual ke luar juga naik.

Petronas rugi akibat di era Tun Dr Mahathir

Tetapi dakwanya, menurut sumber dalaman Petronas apa yang berlaku ialah Petronas sedang menanggung rugi kerana kerakusan pemerintah dahulu (Mahathir) di mana ketika kegawatan ekonomi 1998-1999 Mahathir telah mengarahkan Petronas menjual minyak yang belum dikeluarkan (jual minyak yang masih dalam tanah) kerana dia memerlukan aliran tunai yang banyak untuk memacu ekonomi negara khususnya untuk 'bail out' syarikat kroni dan anak-anaknya.

Dakwanya lagi, minyak tersebut dijual berdasarkan harga ketika itu yang akhirnya hari ini harga minyak naik tetapi Petronas terpaksa menanggung rugi kerana terpaksa mengeluarkan minyak bukan berdasarkan harga pasaran kerana minyak yang dikeluarkan kini mengikut harga yang dijual mahathir ketika 1998 - 1999 berdasarkan perjanjian harga ketika itu.
Sehubungan itu katanya, Petronas kini sedang menanggung kerugian dan terpaksa mencadangkan penstrukturan semula syarikat yang mungkin mengakibatkan pembuangan pekerja dan penjualan beberapa sayap syarikat.

"Ini juga antara sebab mengapa mahathir bertindak cepat melantik dirinya selaku Penasihat dan kini Pengerusi Petronas. Untuk elak bocornya rahsia ini, kerajaan sanggup tarik tanggungungan subsidi yang petronas tanggung,"katanya.

"Ini sebenarnya yang berlaku yang lain tu semua sandiwara seperti skandal suruk diesel dan sebagainya untuk menipu rakyat agar menerima kenaikan harga minyak.

Rakyat tanggung beban kenaikan harga minyak

Natijah perbuatan itu hari ini bebanan kerugian itu dipulangkan kepada rakyat dengan kenaikan harga minyak dan penarikan tanggungan subsidi yang akhirnya menyumbang kepada kenaikan harga barang yang mendadak.

Bagaimanapun dalam isu kenaikan harga barang kerajaan katanya sekali lagi bersandiwara dengan membuat pemantauan dan mengarahkan peniaga serta pemborong agar tidak menaikkan harga barangan.

"Apa yang boleh mereka (peniaga) ini lakukan jika kos meningkat.Peniaga ni juga mangsa keadaan. Rakyat harus dicelikkan yang harus dimusuhi bukan peniaga tetapi kerajaan yang gagal menjalankan tanggungjawab melindungi rakyat,"katanya.

Sebaliknya kata beliau, dalam laporan akhbar ruangan ekonomi pasti setiap hari juga ada syarikat korporat yang mengisytiharkan keuntungan jutaan ringgit.

"Ini termasuk saham syarikat petroleum milik anak pimpinan kerajaan yang sahamnya melambung naik seiring dengan kenaikan harga minyak.

"Menteri naik gaji masih naik kereta mewah tetapi rakyat terpaksa menjual wira milik mereka dengan menukarnya dengan kereta kancil atau 'motor kapcai',"katanya.

Jabatan Perangkaan dedah kenaikan inflasi terburuk

Laporan akhbar semalam mendedahkan bahawa, rakyat Malaysia terpaksa berbelanja lebih pada bulan lalu apabila kadar inflasi negara meningkat sebanyak 3.1 peratus, lonjakan tertinggi dalam tempoh lebih enam tahun.

Paras itu adalah lebih tinggi berbanding kenaikan sebanyak 2.7 peratus pada bulan April, sekali gus melangkaui unjuran pasaran yang menjangka inflasi akan kurang daripada tiga peratus.

"Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 3.1 peratus kepada 108.8 pada bulan Mei 2005 berbanding 105.5 bagi bulan yang sama tahun lepas,'' kata Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Kadar inflasi tertinggi pernah dicatat Malaysia ialah selepas krisis ekonomi serantau iaitu 3.8 peratus pada bulan Februari 1999.

Kadar inflasi bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini ialah sebanyak 2.6 peratus, melebihi purata 2.5 peratus yang diunjurkan oleh Bank Negara Malaysia bagi keseluruhan tahun ini, kata Jabatan Perangkaan lagi.

Menurut Jabatan itu, peningkatan 2.6 peratus dalam IHP ialah kenaikan dalam semua kategori kecuali pakaian dan kasut yang menurun 1.1 peratus.

Paling tinggi ialah produk seperti air minuman dan tembakau (13.3 peratus), makanan (3.6 peratus) dan, pengangkutan dan komunikasi (2.4 peratus).

Lain-lain ialah barangan dan perkhidmatan (1.9 peratus), perbelanjaan kesihatan dan penjagaan perubatan (1.5 peratus), perabot, peralatan rumah dan operasi (1.3 peratus), sewa kasar, minyak dan tenaga (1.1 peratus) dan rekreasi, hiburan, pendidikan dan perkhidmatan budaya (0.3 peratus).

Katanya, tiga kumpulan utama iaitu makanan, sewa kasar, minyak dan tenaga serta pengangkutan dan komunikasi menyumbang kenaikan berjumlah 75.5 peratus keseluruhannya dalam tempoh tersebut. - mks.

No comments:

Post a Comment