Tuesday, May 17, 2005

Sharizat perlu dengar rintihan surirumah, bukan setakat promosi Keluarga Bahagia
Oleh Roy Rasul(Harakah)

Suri rumah dan ibu amat tertekan dengan kenaikan harga barangan dan masalah berkenaan tidak akan selesai dengan pihak berkuasa melaungkan slogan ‘Keluarga Bahagia’ semata-mata, kata Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda KeADILan, Badrul Hisyam Shahril.Sehubungan itu, beliau mendesak Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sharizat Abdul Jalil memberi perhatian khusus berhubung isu itu kerana suri rumah dan ibu menerima implikasi paling teruk akibat kenaikan harga barang dan inflasi. “Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu membuat satu kajian sosial khusus ke arah itu,” katanya semasa menyerahkan satu memorandum bertajuk, 'Suri rumah mangsa kezaliman kegagalan kerajaan kawal inflasi' kepada kementerian berkenaan, dekat sini, hari ini. Beliau berkata, masyarakat dan kementerian sepatutnya memandang serius situasi ibu dan suri rumah yang tertekan dengan kenaikan harga barang. "Apabila kerajaan sendiri cuba elakkan daripada menanggung subsidi minyak diesel dan petrol secara automatiknya rakyat dan golongan ibu yang mengurus perbelanjaan keluarga terpaksa menanggung tekanan yang lebih serius. "Kita risau disebabkan ibu yang terpaksa pergi kerja dan membuat tugas tambahan akan menimbulkan lebih banyak masalah sosial dan jenayah remaja yang semakin parah sekarang ini," katanya. "Sempena Hari Ibu ini kita mengajak KPWKM berfikir masalah suri rumah dan ibu secara dekat dan kerajaan jangan lepas tangan untuk mengurangkan subsidi minyak dan selepas itu memarahi peniaga menaikkan harga barangan. "Perlu diingat para peniaga pun tidak mahu menanggung beban dan mengapa pula peniaga kecil perlu tanggung beban kos kenaikan dan pastinya mereka akan ikut 'stail' kerajaan dan untuk mendapat balik kos yang meningkat itu rakyat terbanyak menerima bebanan," katanya.

No comments:

Post a Comment