Wednesday, November 04, 2015

Debat Tony Pua – Arul Kanda : Syarat Speaker Dewan Rakyat Tidak Menjernihkan Keadaan

Kenyataan Umum
3 November 2015

Debat Tony Pua – Arul Kanda : Syarat Speaker Dewan Rakyat Tidak Menjernihkan Keadaan

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sangat tidak bersetuju dengan campurtangan Speaker Dewan Rakyat terhadap cadangan Debat 1MDB antara Tony Pua dan Arul Kanda. Seharusnya semua pihak menyambut baik kesediaan kedua-dua pihak ini untuk berdebat secara terbuka dalam isu ini. 1MDB telah berlangsung dengan sangat lama tanpa ada jalan penyelesaian yang konkrit. Rakyat sudah muak dan letih melihat isu ini. Rakyat amat menagih jawapan dan penyelesaian yang tuntas dalam isu 1MDB ini.

Ramai yang menantikan debat ini berlangsung dan menyambut baik keterbukaan Arul Kanda yang menarik balik syaratnya kepada Tony Pua supaya berundur daripada menjadi Ahli Jawatankuasa PAC. Namun terkejut dengan sikap keras tak tentu hala Speaker Dewan Rakyat yang sehingga mengugut mahu letak jawatan jika debat ini berlangsung. 

SAMM berpandangan jika debat ini dilangsungkan selepas PAC mengemukakan laporan kepada Parlimen, debat ini hanya akan menjadi bahan akademik sebaliknya jika debat ini berlaku segera, perkara-perkara baru yang mungkin akan timbul semasa acara tersebut boleh dibawa ke dalam perhatian PAC untuk disiasat.

Dalam masa yang sama, SAMM juga masih lagi ingat beberapa bulan yang lalu, Speaker yang sama inilah juga yang telah berjumpa Mahathir Mohammad untuk menyatakan hasrat meletakkan jawatan tetapi telah menarik keputusan tersebut setelah dipujuk. Adakah ketika ini Speaker telah menerima arahan pihak ketiga untuk campurtangan di dalam isu ini?

Jika persoalan integriti dan keadilan yang ingin diterapkan oleh Speaker Dewan Rakyat, SAMM berpandangan bahawa Integriti dan Keadilan bukan sahaja perlu dilihat telah dilaksanakan tetapi perlu dilihat untuk dipercayai. Medan perdebatan secara terbuka adalah peluang untuk kedua-dua pihak mempersembahkan hujah mereka kepada rakyat. Rakyatlah yang berhak menentukan siapa benar dan siapa salah kerana 1MDB turut menggunakan wang pembayar cukai.

SAMM sememangnya menanti acara debat ini berlangsung sebelum menzahirkan pandangan kami berkaitan isu 1MDB kerana ketika ini terlalu banyak gambaran dan khabar yang kurang jelas mengenainya. Sehubungan itu, SAMM menyeru agar kedua-dua pihak, baik Tony Pua mahupun Arul Kanda tidak akan menarik diri. Teruskan rancangan debat ini agar rakyat dapat menerima maklumat yang sahih dan tepat. Isu 1MDB ini tidak perlu diheret panjang lagi.

Sekian,

Che’GuBard
Pengasas SAMM

No comments:

Post a Comment