Friday, January 16, 2015

The Sirul Supremacy

The Sirul Supremacy 

Saya mengikuti kisah pembunuhan Altantuya ini semenjak daripada hari pertama kisah ini tersebar. Kisah berprofail tinggi selepas Mona Fandey sudah tentu akan menarik perhatian saya. 

Lebih saya teruja apabila semasa pendengaran keputusan oleh Mahkamah Persekutuan, seorang daripada tertuduh Sirul Azhar tidak muncul sehingga keputusan gantung sampai mati dijatuhkan terhadapnya dan Azilah.

Saya terfikir ke mana pula perginya Sirul ini? Lantas sel-sel otak saya mula bergerak memikirkan beberapa persoalan.

Persoalan pertama, bagaimanakah boleh terjadi seolah-olah semua pihak daripada peguam sehinggalah pihak Polis tidak mengetahui Sirul berada di mana?

Persoalan kedua, mengapa pihak Kerajaan atau Pendakwaraya tidak meminta Mahkamah untuk menahan passportnya bagi mengelakkan Sirul lari ke luar negara? Ini kes berprofail tinggi dan sebelum-sebelum ini ia telah menggamit perhatian antarabangsa.

Persoalan ketiga, adakah logik Sirul memberikan alasan tidak mempunyai kewangan yang cukup? Jika benar pun, seharusnya dia memberitahu peguamnya akan masalah kewangannya.

Malam semalam, saya meluangkan masa untuk merehatkan diri dengan menonton siri sekuel Jason Bourne. Lalu, saya berimaginasi sendiri. Saya meletakkan Sirul sebagai Jason Bourne.

Sirul adalah seorang pegawai Polis Elit atau di Malaysia kita panggil Unit Tindakan Khas. Apatah lagi jika kita lihat fakta kes ini, Sirul ditahan di Islamabad. Apa yang Sirul buat di sana? Rupanya sewaktu tangkapan, Sirul sedang bertugas menjaga keselamatan Perdana Menteri yang berada di Pakistan.

Tidak mungkin sebagai seorang pegawai keselamatan PM, dia tidak mempunyai kepakaran dan kehandalan seperti Matt Damon dalam siri sekuel itu.

Silap-silap haribulan, pemergian Sirul ke Australia itu telah dirancangnya lama semasa kes ini sedang berjalan di mahkamah tinggi lagi. Mungkin Sirul sengaja memilih Australia sebagai destinasi kerana maklum mengenai sikap Australia dalam soal hukuman gantung sampai mati ini.

Jika saya menjadi Sirul pun saya akan melarikan diri ke Australia daripada duduk menanti hukuman yang amat pasti akan merenggut nyawa sendiri. Sama ada Australia akan mengekstradisi atau tidak, saya akan serahkan pada nasib.

Dan akhirnya, perjudian Sirul itu berhasil. Kerajaan Australia mengumumkan tidak akan menghantar Sirul pulang. Nampak seolah-olah skrip Sirul sedang berlaku dengan amat baik ketika ini.

Apa akan jadi kepada Sirul selepas ini, itu adalah teka-teki. Sama ada dia akan menjadi Jason Bourne tidaklah diketahui. Apa yang saya pasti, hidup Sirul sudah tidak akan sama seperti sebelum ini kerana saya yakin, selagi Sirul tidak ke tali gantung, selagi itu ada pihak yang merasa cemas. Seolah-olah hayatnya kini dalam genggaman Sirul.

Persoalan-persoalan bagaimana Sirul boleh terlepas lari perlu dijawab oleh pihak berkuasa negara. Saya sudah amat malas untuk menulis mengenai kelekehan kita menjaga pintu keluar masuk negara. Sudah beribu perkataan saya tulis mengenai hal ini.

Kerajaan Malaysia harus memperjelaskan Mengapa Sirul Boleh Dibiarkan Berkeliaran Sebebas-Bebasnya. 

No comments:

Post a Comment