Tuesday, January 20, 2015

Harapan SAMM Penstrukturan semula Bajet 2015

Tulisan Umum
20 January 2015

Harapan Penstrukturan semula Bajet 2015

Hari ini Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan akan mengumumkan penstrukturan semula Bajet 2015. Pemikir Kaum Muda SAMM berharap agar penstrukturan semula ini memberikan tumpuan dan fokus kepada perkara berikut :-

1. Penangguhan atau pengurangan kadar cukai GST 

Dalam menghadapi kemelut ekonomi ini dikala pendapatan rakyat masih kekal ditakuk lama, adalah menjadi harapan agar GST ditangguhkan perlaksanaannya ataupun dikurangkan kadar cukai daripada 6% kepada 3% supaya rakyat terbanyak tidak merasai impak negatif terhadap saku mereka.

2. Hentikan projek Loji Janakuasa Nuklear dan tangguhkan projek mega

Pemikir Kaum Muda SAMM berpandangan Kerajaan seharusnya menghentikan terus cadangan untuk membina Loji Janakuasa Nuklear. Segala peruntukkan yang disalur berhubung tujuan ini dapat digunapakai untuk kegunaan lain yang memberikan kesan positif kepada seluruh rakyat.

Selain itu, projek-projek mega seperti pembinaan laluan keretapi laju juga perlu ditangguhkan. Tumpuan dan fokus Kerajaan dalam menghadapi impak negatif ekonomi pasca penurunan harga minyak dan nilai Ringgit haruslah mengutamakan kepada perbelanjaan industri asas seperti pendidikan, kesihatan, dan lain-lain yang boleh membantu memperbaiki kualiti hidup rakyat.

3. Mengecilkan perbelanjaan mengurus

Kerajaan seharusnya mengecilkan perbelanjaan pengurusan. Perbelanjaan Pengurusan Bajet 2015 yang lalu merangkumi 82% daripada keseluruhan bajet.

Pemikir Kaum Muda SAMM semenjak Bajet 2015 lagi telah menyelar tindakan untuk terus mempunyai barisan kabinet yang besar. Beberapa portfolio Menteri perlu dikaji semula dan digabungkan di bawah satu kementerian untuk menjimatkan perbelanjaan.

Sebagai contoh, Jabatan Perdana Menteri yang mempunyai begitu ramai Menteri perlulah dikecilkan saiznya. Begitu juga Kementerian Pendidikan yang mempunyai 2 Menteri dan 2 Timbalan Menteri.

Dalam berhadapan dengan krisis ekonomi ini, Malaysia sebenarnya memerlukan Menteri Kewangan sepenuh masa. Perdana Menteri sudah boleh melepaskan jawatan Menteri Kewangan ini agar tumpuan pemulihan ekonomi dapat dirangsang dengan baik.

Beberapa jawatan tertinggi (senior post) dalam perjawatan awam juga perlu disemak semula kesesuaian dan keperluannya. Beberapa jawatan KSU dan TKSU yang ramai untuk sesebuah Kementerian haruslah dikaji semula. Jawatan-jawatan ini adalah bergred sama ada Turus atau JUSA A yang pastinya melibatkan perbelanjaan emolumen yang tinggi.

PKM SAMM juga menyeru Kerajaan untuk mengambil langkah berjimat cermat dalam mentadbir negara. Tindakan mengadakan mesyuarat atau kursus di resort atau pusat peranginan perlu dihentikan. Tiada gunanya bangunan besar dibina di Putrajaya jika kita masih lagi gemar untuk mengadakan mesyuarat atau kursus di resort dan pusat peranginan. Ini juga sebenarnya akan melibatkan perbelanjaan.

Adalah lebih bagus dan sangat berhemah jika hari ini Perdana Menteri mengumumkan kesediaan dirinya dan kabinet untuk memotong gaji atau elaun sebagai satu tanda keikhlasan untuk bersama-sama rakyat dalam berjimat cermat.

No comments:

Post a Comment