Thursday, September 28, 2017

Integriti Azmin dipertikai , beri balik tanah kepada syarikat

SHAH ALAM- Integriti pentadbiran Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor dipersoalkan apabila timbulnya dakwaan rasuah dan salah guna kuasa di sebalik tindakan kerajaan negeri memberikan semula tanah kepada dua syarikat pemaju perumahan dikatakan gagal mematuhi syarat serta peraturan tanah sebelum ini.

Dakwaan itu dibangkitkan Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin mendapati proses pemberian semula tanah kepada Mujur Zaman Sdn. Bhd (Mujur Zaman) dan LBCN Sdn. Bhd. (LBCN) itu meragukan lebih-lebih lagi Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan pada 2014 telah menolak tuntuan kedua-dua syarikat itu sebelum ini.
Dakwanya, tanah itu yang seluas 2,198.4 ekar di Mukim Ijok, Kuala Selangor itu telah dirampas oleh kerajaan negeri semasa pentadbiran Menteri Besar sebelum ini, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana Mujur Zaman dan LBCN gagal membangunkannya termasuk tidak membayar pampasan seperti yang dijanjikan kepada peneroka asal.
“Bagaimanapun, mengapa kerajaan negeri di bawah pentadbiran Azmin memulangkan semula tanah yang dirampas kepada Mujur Zaman dan LBCN sedangkan kerajaan negeri tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab kepada syarikat-syarikat berkenaan.
“Selain itu, Mujur Zaman dan LBCN telah gagal dalam tuntutan mereka di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum membawanya ke Mahkamah Persekutuan.
“Akan tetapi mengapa sebelum proses pertikaian yang sepatutnya diteruskan di Mahkamah Persekutuan Menteri Besar (Azmin) tiba-tiba bersetuju memberikan semula tanah termasuk hak pembangunan kepada Maju Zaman dan LBCN,” katanya kepada para wartawan di Pejabat SPRM Selangor di sini hari ini.
Selain itu, Badrul Hisham turut mengesaki kemungkinan wujudnya unsur-unsur rasuah di sebalik penjualan tanah itu oleh Mujur Zaman dan LBCN kepada sebuah syarikat pemaju, Eco World Group Development Berhad (Eco world) pada nilai RM1.181 bilion yang didakwa ada kaitan dengan amalan pemberian komisyen.
Malahan, selain Azmin, beliau turut mendakwa proses pemberian semula dan penjualan tanah itu turut mempunyai kaitan dengan Datuk Khairuddin Abu Hasaan yang merupakan ‘orang kuat’ kepada Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad selain Azmin sendiri merupakan Pengarah Pilihan Raya pakatan pembangkang itu.
“Dengan dokumen-dokumen yang saya ada ini, maka kita harap SPRM mulakan siasatan dan ambil tindakan tegas kepada mereka-mereka yang terlibat jika adanya bukti kukuh,” katanya. 

No comments:

Post a Comment