Sunday, May 29, 2016

Falasi Realiti Ekonomi Malaysia dan Pekerja Asing

Profesor Robert Merton, salah seorang tokoh sosiologi moden berhujah “Satu definisi situasi yang palsu menimbulkan kelakuan baru yang membenarkan definisi palsu tadi menjadi kebenaran”. Kita terbiasa dengan beberapa fakta ekonomi dan telah menerimanya sebagai norma yang mungkin berbeza di tempat yang lain. Sudah tertanam dalam minda kita bahawa petani dan nelayan merupakan golongan yang akan miskin dan hanya pekerja kolar putih sahaja layak menikmati hidup yang mewah dan senang.

Mengapakah petani dan nelayan kita- golongan penting yang membekalkan sumber makanan di Malaysia, elemen paling penting dalam survival manusia - kebanyakkannya hidup dalam kemiskinan sedangkan rakan sekerja mereka di Eropah meraih pendapatan yang baik serta dapat menikmati kehidupan selesa? Terdapat satu pepatah Poland yang meluahkan hal ini: “Sekiranya petani hidup miskin maka miskinlah seluruh negara.”

Mengapakah mereka yang membekalkan barangan dan perkhidmatan tidak penting untuk survival kehidupan seperti kosmetik, barangan kemas, automotif dan lain-lain sangat kaya? Nasib sama dikongsi penoreh getah Malaysia yang kini bergantung dengan pendapatan kurang daripada RM500 sebulan walaupun hakikatnya industri getah adalah antara industri utama Malaysia.

Ketetapan ekonomi yang tidak adil ini antaranya disebabkan oleh monopoli orang tengah dalam rangkaian pembekal. Kita sewajarnya tidak boleh menerima dan berterusan menjustifikasikan pecahan ekonomi yang ketara sebagai satu norma yang diterima. Realiti ini sepatutnya tidak berlaku. Ianya boleh diubah sekiranya kita berikrar melakukan perubahan kepada perkara yang paling asas.

Jadi di mana kita patut bermula? Situasi yang paling baik ialah perubahan dasar pekerja asing dan bagaimana ia memberi kesan kepada 90% pekerja Malaysia.

Golongan Rentan dan Terpinggir Malaysia

Menurut Laporan Kajian Tenaga Buruh Malaysia 2014, dianggarkan terdapat sejuta rakyat Malaysia yang sedang bekerja di sektor tidak mahir yang terdiri daripada pencuci, pembantu, buruh, pekerja perkhidmatan dan pengutip sampah yang sedang bersaing secara langsung dengan hampir 800,000 pekerja asing sah yang bekerja dalam bidang yang sama. Terdapat juga hampir 300,000 pekerja asing di perkhidmatan dan jualan serta operator mesin dan wujud 213,000 pekerja asing yang berkhidmat dalam industri pembuatan dan industri berkaitan.

Bagaimanapun, angka ini hanyalah merujuk pekerja asing sah yang berdaftar. Menurut Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot, dianggarkan 6.7 juta pekerja asing (2.1 juta pekerja sah dan 4.6 juta pekerja tidak sah) bekerja dalam pelbagai sektor di Malaysia.

Bagaimana pula dengan pekerja tempatan kita? Ketika ini terdapat 11.8 juta pekerja tempatan di mana 3.3 juta sedang berkhidmat sebagai juruteknik, kerjaya berkaitan profesional, profesional dan pengurus yang memerlukan kelulusan melebihi SPM dan 8.4 juta pekerja lagi sedang berkhidmat dalam perkhidmatan yang tidak memerlukan kelulusan melebihi SPM.

Sangat tidak bertanggungjawab membiarkan 8.4 juta rakyat Malaysia yang paling rentan dan terpinggir ini bersaing secara langsung dengan 6.7 juta pekerja asing  terdesak yang asalnya dari negara yang lebih miskin. Pekerja asing akan lebih berdaya saing untuk mendapat pekerjaan berbanding pekerja tempatan.

Gaji Pekerja Asing - Kehilangan Modal Negara

Menurut Nation Master- sebuah pusat rujukan internet untuk data antarabangsa, Malaysia berada di kedudukan nombor 12 di dunia apabila jumlah wang yang dibayar kepada pekerja asing diambil kira iaitu USD 6.53 bilion setahun. Secara puratanya jumlah wang yang dihantar pulang pekerja asing ke negara asal mereka ialah sekitar 40-50% daripada jumlah gaji mereka, menjadikan jumlah keseluruhan gaji yang dibayar kepada mereka ialah USD 13 billion.

Untuk setiap ringgit dalam KDNK/kapita Malaysia, 2.1% diberikan kepada pekerja asing. Dalam hal ini, kita berada di kedudukan nombor 7 dunia di belakang Switzerland, Saudi, Kuwait, Oman, Lebanon dan Luxembourgh. Negara-negara yang statusnya berbeza dengan kita. Ini pada 2009.

Kita pastinya menjangkakan usaha telahpun diambil untuk mengurangkang saiz pengaliran modal keluar ini. Malangnya, tujuh tahun selepas data itu dikeluarkan, Timbalan Menteri Kewangan, Johari Abdul Ghani dalam sesi Parlimen memaklumkan yang untuk tahun 2015 sahaja, sebanyak RM34.8 billion telah dibawa keluar oleh pekerja asing. Jumlah keseluruhan gaji boleh mencecah sehingga RM70 billion.

Bagi mendapatkan idea jumlah wang tersebut, bayangkan yang jumlah tersebut mampu membiayai pinjaman pendidikan PTPTN selama empat belas tahun atau memberikan pendidikan tinggi percuma selama empat belas tahun kepada peminjam. Ia juga hampir dua kali ganda bersamaan dengan jumlah hutang 1MDB sebanyak RM41 billion - dan jumlah ini hanya untuk tahun 2015 sahaja!

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) telah turut membangkitkan isu pengaliran kapital ke negara asal pekerja asing ini sebagai satu kerugian kepada ekonomi negara. Bayangkan sekiranya wang tersebut beredar dalam kalangan pekerja tempatan dan dibelanjakan dalam pasaran tempatan.

Hakikat yang paling pahit yang perlu ditelan kini ialah kebergantungan berterusan kepada pekerja asing menidakkan upah pekerja tempatan dan mengurangkan insentif untuk perniagaan untuk menjadi lebih inovatif dan produktif.

Kita perlu menyedari ke mana mahunya hala arah tuju kita dan mengambil pendirian. Adakah ini realiti yang kita rela dan sedia terima?

Mitos Tenaga Buruh Tempatan

Penyokong persekitaran industri sedia ada pantas berhujah yang tenaga buruh Malaysia ialah kelompok pemalas dan wujud logik kewangan bagi menggaji pekerja asing, dan ini juga disokong dalam konteks produktiviti. Ini satu realiti ciptaan yang khilaf dan palsu.

Adakah benar atau cumalah persepsi yang tidak tepat yang dicipta bertahun lamanya, dipandu oleh keuntungan perusahaan? Apakah sebenarnya yang dimaksudkan sebagai malas dan dengan apakah ia dibandingkan secara relatif? Adakah perbandingan ini adil? Atau yang lebih tepat sebenarnya ialah tenaga buruh asing lebih murah dan mempunyai jangkaan yang rendah tentang persekitaraan pekerjaan mereka menyebabkan tarikan untuk mengupah mereka lebih tinggi?  

Mari kita uji realiti ini. Terdapat 200,000 rakyat Malaysia yang berulang alik setiap hari antara Johor Bahru dan Singapura. Mereka keluar rumah seawal jam 5 pagi dan hanya pulang lewat malam. Kebanyakkan mereka bekerja dalam sektor pembuataan dan perkhidmatan. Pada masa yang sama, 300,000 pekerja asing bekerja di sektor yang sama di Johor Bahru!

Bagaimana pula dengan pekerja di pengkalan minyak pesisir pantai dan darat yang bekerja 10 jam sehari di bawah bahang matahari? Bolehkah kita menggelarkan petani di Cameron Highlands yang memulakan kerja seawal jam 4 pagi setiap hari sebagai pemalas? Bagaimana pula dengan kelasi yang belayar di laut berbulan lamanya yang sanggup meninggalkan keluarga mereka?

Kerajaan Pulau Pinang melakukan usaha yang baik apabila menawarkan 2,500 jawatan pengutip sampah kepada rakyat Malaysia dengan gaji sebanyak RM1,300 sebulan. Mereka telah menerima 25,000 permohonan. Pendek kata, mitos rakyat Malaysia tidak mahu bekerja dalam sektor 3D- kotor, sukar dan merbahaya- adalah palsu.

Masalah sebenar negara ini bukanlah rakyat Malaysia pemalas dan tidak mahu berkerja dalam sektor 3D. Hakikat sebenar ialah mereka tidak tertarik melakukan kerja-kerja itu kerana bayaran rendah dan struktur gaji minima tidak membenarkan mereka menikmati kehidupan yang baik.

Bergerak kehadapan

Dasar kerajaan yang tegas dan kepimpinan boleh memandu dan membentuk masa depan Malaysia. Apa yang dilakukan sekarang akan memberi kesan kepada masa depan kita. Marilah bersama melakar realiti ekonomi yang baru.

BLINDSPOT sebelum ini telah mengusulkan kepada kerajaan supaya menetapkan gaji minima RM1,500 pada 2016 dan RM1,850 pada 2020 bagi mencapai nisbah 40:60 untuk gaji dan keuntungan perniagaan seperti mana yang dicadangkan oleh Menteri Dato’ Sri Abdul Wahid Omar.  BLINDSPOT juga mencadangkan had dikenakan ke atas pengambilan pekerja asing dalam sektor tertentu. Kerajaan boleh membenarkan 100% untuk sektor pembantu rumah. Bagaimanapun, sewajarnya pekerja asing tidak dibenarkan dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan, tetapkan had maksimum 30% untuk pembinaan dan 50% untuk industri perladangan/agro.

Cadangan ini bagi memastikan gaji pekerja tempatan terus meningkat dan pada masa yang sama pergantungan kepada pekerja asing, serta kehilangan kapital dan lain-lain masalah kebejatan sosial yang wujud ketika ini disebabkan oleh pekerja asing dapat dikurangkan. Kembalikan semula zaman “minah karen atau mat kilang”. Tidak boleh diterima yang rakyat Malaysia tidak boleh melakukan kerja juruwang, pelayan dan jawatan lain dalam industri perkhidmatan yang sekarang dilakukan pekerja asing. Masanya telah tiba untuk melakukan perubahan asas fungsi ekonomi di Malaysia dan kita perlu melakukannya segera.

Perusahaan di Malaysia mampu membayar upah yang lebih tinggi kepada pekerja mereka. Gorss National Income (GNI) negara menunjukkan nisbah semasa gaji kepada keuntungan perusahaan ialah 30:70. Jauh ketinggalan berbanding negara maju yang mempunyai nisbah 40:60. Kos mungkin meningkat tetapi dalam jangka masa yang panjang kita boleh membina asas ekonomi yang lebih kukuh dan mampu bersaing dalam aspek kualiti. Tambahan pula, pemindahan modal akan berkurangan.

Selain itu, ketika ini produktiviti untuk sektor pembuatan misalnya ialah 45% melebihi paras gaji, maksudnya pekerja Malaysia menerima gaji yang kurang. Bayangkan dibayar 55 ringgit sehari, sedangkan anda sepatutnya menerima upah 100 ringgit sehari.

Sekiranya kita membenarkan kepincangan situasi ini berterusan, akan muncul kesan negatif berpanjangan kepada negara. Lebih banyak pekerjaan akan diambil oleh tenaga kerja asing dan gaji pekerja tempatan kekal tidak berganjak.  

Ubah Fundamental Ekonomi Negara

Bagaimanakah keadaan Malaysia dalam masa 10 tahun akan datang yang ingin kita saksiakan? Adakah kita mahukan persekitaran ekonomi di negara-negara Arab di mana pekerja asing melakukan hampir semua kerja? Atau kita mahukan persekitaran seperti Australia/ Korea Selatan di mana pekerja tempatan melakukan kerja buruh kasar sehinggalah kepada kerja profesional walaupun hakikatnya majority mereka mempunyai kelulusan pendidikan tinggi?

Bolehkah kita bayangkan tenaga buruh tempatan yang lebih teguh di mana pekerja-pekerja berkemahiran dan profesional meraih pendapatan yang cukup bagi membolehkan mereka hidup selesa? Atau keadaan yang lebih buruk berasaskan persekitaran semasa di mana tenaga kerja tempatan tidak mempunyai kerja dan majoriti rakyat pekerja berpendapatan rendah?

Salurkan lebih gaji kepada rakyat Malaysia. Ini akan mencetuskan kitaran ekonomi yang lebih baik kerana kuasa beli akan meningkat, yang akan meningkatkan keuntungan perusahaan dan kutipan cukai kerajaan. Apabila kerajaan boleh mengutip lebih banyak cukai, mereka boleh membelanjakan peruntukan yang lebih banyak untuk pembangunan modal insan dan akhirnya, ekonomi akan terus berkembang. Satu kitaran ekonomi yang memberi keuntungan buat semua!

Semua perkara di atas mungkin nampak sukar untuk digapai tetapi perubahan secara gradual dengan perancangan yang baik boleh menjadikan ia satu kenyataan.  Kita perlukan penguatkuasaan, kepimpinan dan dasar yang lebih kukuh. Negara dibina oleh peluh dan air mata pekerja negara, sudah sampai masanya untuk menghargai sumbangan mereka. Kerajaan perlu secara aktif melibatkan diri dengan perusahaan dan kesatuan sekerja untuk menilai kembali dasar pekerja asing dan memberikan penyelesaian terbaik.

Marilah sama-sama berharap apabila tibanya sambutan Hari Buruh tahun depan, slogan yang berkumandang ialah Hari Selamatkan Pekerja! Selamatkan pekerja negara, kita selamatkan Malaysia.

*Anas Alam Faizli pemegang ijazah kedoktoran pentadbiran perniagaan. Beliau merupakan ahli profesional industri pembinaan serta minyak dan gas, penulis buku Rich Malaysia, Poor Malaysians dan berTwitter di @aafaizli

Saturday, May 28, 2016

LETAK AL QURAN DI TEPI KEPALA DI KEDAI MAMAK DENGAN TIDAK TUTUP AURAT TIDAK MAMPU NAFIKAN AKUAN BERSUMPAH AZHARUDDIN.

Kenyataan Umum
28 Mei 2016

LETAK AL QURAN DI TEPI KEPALA DI KEDAI MAMAK DENGAN TIDAK TUTUP AURAT TIDAK MAMPU NAFIKAN AKUAN BERSUMPAH AZHARUDDIN.

1.       26 Mei lepas muncul seorang lelaki Azharuddin menampilkan akuan bersumpah menyatakan beliau dengan seorang perempuan yang bernama Ema atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga terlibat dalam memalsukan tandatangan sokongan Deklarasi Mahathir. Penipuan ini bertujuan menambah banyakkan tandatangan tersebut cepat bagi menunjukkan sokongan rakyat yang kuat kepada usaha Mahathir itu. (klik untuk baca lanjut)

2.       27 Mei pula muncul seorang wanita dalam satu siding media mengaku dialah Ema itu atau yang lebih dikenali Ratu Naga mengadakan siding media di sebuah Kedai mamak secara tiba – tiba panic terpaksa meletakkan quran di tepi kepalanya menafikan dia mengenali Azharuddin. Perbuatan mempergunakan kitab suci Al Quran lebih lagi dalam tidak menutup aurat dan tidak pasti keadaan wudhunya ini dilihat menghina al quran, Islam dan mentality rakyat. Ini lebih teruk dari Saiful yang bersumpah konon berdasarkan cara Islam demi mempertahankan fitnahnya terhadap Anwar.

3.       Untuk pengetahuan semua akuan bersumpah yang diikrarkan dihadapan mana mana Hakim, majisteret, pesuruhjaya sumpa atau mana – mana individu yang tertakluk kepada seksyen 4 akta notary awam 1959 (akta 115) adakah benar dan terikat dengan undang undang akta berkanun 1960 (pindaan 1969). Maka kenyataan Azharuddin itu ialah kenyataan yang terikat dengan undang – undang dan tidak boleh dinafikan dengan hanya kegiatan meletakkan quran di tepi kepala di kedai mamak dalam keadaan tidak menutup aurat dan status wudhu yang diragukan.

4.       Untuk pengetahuan semua Azharuddin mengikrarkan beberapa cetakan (print screen) whats app yang merakamkan kenyataan perempuan yang dikenali Ratu Naga dalam urusan mereka memalsukan tandatangan sokongan rakyat  sebagai benar. Ini yang dia perlu nafikan dengan tindakan undang – undang.

5.       Merujuk juga kenyataan Presiden Ketua kumpulan cawangan Umno, Kamarul Azman Habibur Rahman yang panik dengan pendedahan tersebut dan hanya mampu menyatakan che’GuBard dibeli Najib, saya sebut dengan jelas jangan samakan diri kamu yang cari makan dalam politik dengan semua orang. Sejak 1998 saya dan kawan – kawan lawan Mahathir lawan Umno tidak siapa bayar. Jangan samakan saya seperti kebanyakan orang Umno yang mengejar projek, ada ‘masuk’ boleh gerak, tak ada masuk ‘meroyan meraban’.  Minta Kamarul tumpukan usaha kamu untuk singkir najib dan kononya selamatkan umno supaya cepat sikit kamu boleh masuk umno semula dan kejar projek seperti biasa. Tumpuan saya ialah memperkasakan kuasa rakyat, membongkar semua bentuk kebejatan dan memastikan Umno Barisan nasional tumbang tanpa dapat diselamatkan. Saya teguh bersama Anwar Ibrahim dan agenda reformasi dalam menyelamatkan Malaysia. 


6.       Pendedahan Azharuddin  terhadap apa yang berlaku cukup memalukan saya bersimpati kepada semua kerana telah ditipu oleh pasukan Mahathir. Saya yakin watak seperti Dato’ Ambiga, Hj. Mohammad Sabu dan beberapa nama lain tidak mengetahui perkara ini tetapi telah tertipu. Itulah yang saya jelaskan dari awal Mahathir dan kartelnya tidak pernah berubah. Mereka ini ialah penganut politik 'Machiavelli' yang tegar dan akan melakukan apa juga demi matlamat mereka. Amat yakin dan percaya  seketeriat Deklarasi Mahathir ini yang akan membuat pengumuman bahawa perempuan dimaksudkan tidak pernah terlibat dengan pasukan Mahathir malah ada kemungkinan kerana tidak boleh menafikan perempuan itu akan menyatakan dia hanya bergurau kerana ini sahaja boleh selamatkan Deklarasi Mahathir ini. Kepada pasukan kartel Mahathir yang dikalangan pembangkang khususnya PKR saya tidak boleh selindungkan rasa kesal kerana bilamana Mahathir diserang kamu gila - gila bangkit membalas serangan termasuk menyerang peribadi secara fitnah namun bila Mahathir menyerang Anwar kamu tunduk membisu.

7.       Belum apa pun lagi rakyat ditipu, tandatangan dipalsukan malah mereka sanggup ke Istana dengan tandatangan palsu dan bukan pelik kerana menghina Istana ini bukanlah sekali dilakukan oleh Mahathir. Nasihat saya pada semua nama besar aktivis dan pembangkang. Jauhi diri dari Mahathir dan kartelnya mereka ini akan memusnahkan ini masa satukan kekuatan sisi baik Negara untuk melawan sisi jahat yang selama ini memusnahkan.

che’Gubard
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)



berikut di bawah ini antara 'print screen' yang diikrarkan sebagai akuan bersumpah sebagai benar. 









Thursday, May 26, 2016

TANDATANGAN JUTAAN RAKYAT DIPALSUKAN OLEH ‘DEKLARASI MAHATHIR’

Kenyataan media

26 Mei 2016

TANDATANGAN JUTAAN RAKYAT DIPALSUKAN OLEH ‘DEKLARASI MAHATHIR’

1.      Deklarasi Rakyat adakah deklarasi Mahathir kerana diakui secara langsung mahupun tidak langsung oleh banyak pihak termasuk Dato Ambiga dalam Debat Perdana (16 Mei 2016) di K.Lumpur yang menyatakan dia sendiri diberi hanya 4 hari untuk bersetuju dengan teks deklarasi yang telah ditulis lebih awal yang diserahkan kepadanya. Jelas ia ditulis oleh Mahathir dan semua ‘terpaksa’ hanya diberi 4 hari bagi membuat pindaan minima sebelum tandatangan. Memandangkan dari aspek masa da nisi deklarasi yang disusun Mahathir maka ia layak dipanggil Deklarasi Mahathir.

2.      Deklarasi ini sendiri hilang arah kerana memberikan persepsi kepada rakyat bahawa perlu kumpul tandatangan bagi diserahkan kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong bagi menyingkirkan Najib Razak selaku Perdana Menteri Malaysia. Tidakkah mereka sedar Mahathir sendiri yang telah mencabut kuasa Raja –Raja Melayu dan bukan sahaja sejuta tandatangan malah 10 juta pun tidak akan mencapai matlamat tersebut.

3.      Namun semua itu tidak dipedulikan oleh kumpulan pro Mahathir ini. Mereka mengumumkan akan kumpulkan 1 juta dan dalam pada masa yang singkat tiba – tiba diumumkan oleh anak Mahathir, Mukhriz bahawa dalam masa 2 minggu tandatangan sudah mencapai 1 juta. Beberapa hari kemudian dalam satu sidang media dibuat pula satu sidang media menyatakan sudah mencapai 1.2 juta tandatangan dan bersedia untuk ke Istana.

4.      Tentu ramai pelik kerana ketika itu kebanyakan orang politik termasuk aktivis sedang sibuk memberikan perhatian untuk Pilihanraya Negeri Sarawak dan Mahathir sendiri tidak mahu ke Sarawak kerana tidak mahu Bn kalah dalam PRN tersebut. Maka bagai mana boleh dalam masa sangat singkat begitu besar jumlah tandatangan terkumpul. Saya sudah bisikkan kenapa beberapa teman yang ghairah sangat dengan angka tersebut agar berhati – hati kerana mungkin mereka tertipu dengan pasukan Mahathir.

5.      Akhirnya beberapa hari lepas muncul beberapa teman muda yang ada antaranya saya pernah kenal walaupun tidak rapat sebelum ini. Mereka menceritakan bagaimana mereka terlibat dalam membekalkan sejuta ‘data base’ dalam tujuan memalsukan tandatangan rakyat Malaysia dalam memorandum Deklarasi Mahathir itu. Mereka dijanjikan sejumlah wang untuk berbuat demikian namun setelah melengkapkan kerja mereka tidak dibayar seperti dijanjikan. Namun setelah beberapa hari meneliti beberapa perkembangan termasuk surat panjang Anwar maka mereka dengan kesedaran bertemu saya dan mahu muncul menyatakan kebenaran.

6.      Saya meminta mereka membuktikan mereka serius dengan mencetak semua bukti dan membuat akuan bersumpah. Mereka lalukan semalam dan hari ini mereka hadir dalam sidang media. Tahniah saya ucapkan kepada mereka.

7.      Apa yang berlaku cukup memalukan saya bersimpati kepada semua kerana telah ditipu oleh pasukan Mahathir. Saya yakin watak seperti Dato’ Ambiga, Hj. Mohammad Sabu dan beberapa nama lain tidak mengetahui perkara ini tetapi telah tertipu. Itulah yang saya jelaskan dari awal Mahathir dan kartelnya tidak pernah berubah. Mereka ini ialah penganut politik 'Machiavelli' yang tegar dan akan melakukan apa juga demi matlamat mereka.

8.      Belum apa pun lagi rakyat ditipu, tandatangan dipalsukan malah mereka sanggup ke Istana dengan tandatangan palsu dan bukan pelik kerana menghina Istana ini bukanlah sekali dilakukan oleh Mahathir. Nasihat saya pada semua nama besar aktivis dan pembangkang. Jauhi diri dari Mahathir dan kartelnya mereka ini akan memusnahkan.

cheGuBard
Solidariti Anak Muda Malaysia

** gambar ialah helaian pertama dari 10 helai kenyataan dgn lampiran bukti yang diikrarkan sebagai akuan bersumpah

Apakah Matlamat Menghalalkan Cara ?

Majoriti ahli politik dunia termasuk di negara kita menggunakan idealogi dan falsafah politik Nicholo Machiavelli yang terang dan jelas bertentangan dengan roh Islam dan adab-adabnya.Kaedah ‘Matlamat Menghalalkan Cara’ kerap dikaitkan dengan cetusan oleh Machiavelli di dalam ‘The Prince’, karyanya mengenai pentadbiran negara, bahawa kesesuaian sepatutnya menjadi asas suatu tindakan. Ini dapat dilihat dari ungkapannya:

“In the actions of all men, we must look to the end. Let a prince, therefore, win victories and uphold his state; his methods will always be considered worthy, hence the dictum, ‘The End Justifies The Means.”

(“Dalam tindakan setiap manusia kita mesti melihat kepada penyudahnya (matlamat yang ingin dicapai). Jadi biarlah seorang putera (raja) mendapat kemenangan dan mempertahankan negaranya; kaedah yang diambilnya akan sentiasa dianggap berbaloi, maka timbullah pernyataan, ‘Matlamat Menghalalkan Cara’.”)

~ [Niccolo Machiavelli, The Prince].
Ideologi Dan Falsafah Machiavelli
Nicholo Machiavelli merupakan seorang ahli falsafah Itali. Beliau telah berkhidmat selama 14 tahun dengan kerajaan Itali sebagai setiausaha kerajaan. Terkenal dengan bukunya yang masyhur ‘The Prince’. Sebuah buku yang membicarakan ideologi dan falsafah politik menurut sisi pandang Nicholo Machiavelli.
Falsafah politik Machiavelli adalah falsafah pengalaman peribadinya yang bersifat saintifik dan empirikal yang berdasarkan suasana kekacauan politik pada zaman Renaissance. Dalam bukunya, beliau menggariskan beberapa panduan berpolitik untuk pemerintah.
Antara falsafah beliau, untuk mengekalkan kuasa, maka haruslah mengabaikan pertimbangan moral sepenuhnya dan menaruh segala keyakinan terhadap kekuatan dan kepintaran berbohong dan berbicara. Dalam tulisan Machiavelli, beliau banyak menceritakan sejarah kerajaan terdahulu seperti kerajaan Yunani dan Rom yang memusatkan kepada kuasa sebagai tunggak pemerintahan.
Machiavelli juga mengatakan kerajaan perlu bijak mengaburi mata rakyat dengan hiburan, dan sukan bagi melalaikan mereka. Bagi Machiavelli, ‘Matlamat Menghalalkan Cara’, tidak kira caranya  sama ada baik atau buruk. Machiavelli menyatakan nilai–nilai buruk yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin adalah seperti sifat menipu, kedekut, melakukan kejahatan dan tidak takut kepada kecaman rakyat.
Machiavelli menambah, seorang pemimpin juga patut menonjolkan sifat hipokrit dalam kehidupan hariannya. Dia harus berpura-pura menonjolkan nilai baik dalam dirinya terutama sifat alim, baik budi, jujur, pemurah dan berperikemanusiaan. Machiavelli berkata seorang pemimpin itu tidak perlu memiliki semua sifat baik tetapi ‘seakan-akan memiliki sifat baik’ kerana manusia akan hanya menilai berdasarkan apa yang dilihat sahaja daripada apa yang mereka rasa.
Doktinnya ‘The End Justifies The Mean’ yang bermaksud, dalam mencapai dan mengukuhkan kuasa, seseorang pemimpin itu hendaklah mengukur antara manfaat tindakan yang baik dan tindakan yang buruk. Jika perlu memperolehi kuasa, maka tindakan buruk perlu digunakan. Demi kepentingan kuasa politik, diharuskan menggunakan sebarang cara untuk merealisasikan matlamatnya.
Secara ringkasnya, kaedah ini bermaksud, seseorang itu boleh melakukan apa sahaja atau mengambil apa jua cara (walaupun salah) demi untuk mencapai matlamat atau tujuannya. Ini adalah kerana yang penting atau yang diambil kira ialah matlamat, yakni tercapainya matlamat dengan apa cara sekalipun.
Kaedah ini sering dipraktikkan oleh kaum kuffar untuk memadamkan cahaya Islam di muka bumi ini. Walaupun ungkapan ‘Matlamat Menghalalkan Cara’ tidak dikenali pada zaman awal Islam, tetapi dari segi aplikasinya ia telah dilakukan oleh kaum Yahudi dan kafir Quraisy. Contoh yang jelas boleh diambil dari peristiwa setelah Rasulullah Salallahu ‘alaihi wa Sallam mendirikan negara Islam pertama di Madinah di mana beberapa puak Yahudi telah dihalau keluar kerana membuat onar dan kekacauan dalam negeri.

Kejahatan Yahudi

Ia bermula dengan pengusiran Yahudi Bani Qainuqa’ yang dicetuskan oleh sikap biadab Yahudi sehingga tersingkapnya aurat seorang Muslimah. Kemudian diikuti oleh Yahudi Bani Nadhir yang merancang satu konspirasi untuk membunuh Nabi MuhammadSalallahu ‘alaihi wa Sallam.
Melihat kepada perkembangan ini, kaum Yahudi berfikir, samada mereka ingin membiarkan keadaan terus begini (dihalau) dan mengalah, atau mereka mesti melakukan sesuatu untuk membalas dendam, di mana mereka boleh menghasut orang-orang Arab untuk membalas dendam terhadap Muhammad Salallahu ‘alaihi wa Sallam. Mereka berfikir bahawa jika keadaan ini dibiarkan, umat Islam akan menjadi semakin kuat manakala mereka pula (Yahudi) menjadi pelarian.
Bermatlamat untuk menghapuskan Muhammad Salallahu ‘alaihi wa Sallam dan Islam, maka Yahudi mula berfikir bagaimana hendak menghasut orang-orang Arab demi mencapai tujuan mereka. Untuk melaksanakan rancangan ini, beberapa orang dari kalangan Yahudi pergi menemui kafir Quraisy di Mekah. Mereka terdiri dari Huyay bin Akhtab, Sallam bin Abil-Huqaiq dan Kinana bin Abil-Huqaiq. Mereka pergi bersama-sama dengan beberapa orang dari Bani Wa’il Hawadha bin Qais dan Abu ‘Ammar.
Ketika bertemu dengan penduduk Mekah, Huyay ditanya oleh kafir Quraisy mengenai (persediaan) kaumnya, maka dia menjawab, “Mereka saya biarkan mundar-mandir ke Khaibar dan ke Madinah sehingga tuan nanti datang ke tempat mereka dan berangkat bersama-sama menghadapi Muhammad dan sahabat-sahabatnya.”
Ketika dia diajukan soalan tentang Bani Quraizah, dia menjawab, “Mereka tinggal di Madinah sekadar mahu mengelabui mata Muhammad. Seandainya pihak tuan datang, mereka akan bersama-sama memihak kepada tuan.”
Kafir Quraisy menjadi ragu-ragu sama ada mahu terlibat atau menarik diri. Untuk menenangkan keadaan ini, kafir Quraisy bertanya kepada Yahudi berkenaan status/kedudukan mereka (Quraisy) berbanding Muhammad, jika ada jawapan yang kukuh (dari Yahudi) maka mereka akan menyertai pakatan Yahudi menyerang Madinah [Sejarah Islam, Khir Haikal, Perang Khandak]. Ibn Katsir mengemukakan beberapa hadis semasa menafsirkan ayat berhubung peristiwa ini, antaranya:

Dari Ikrimah dia berkata, “Huyay bin al-Akhtab dan Kaab bin al-Asyraf mendatangi penduduk Mekah, mereka (Quraisy) bertanya, ‘Kamu Ahli Kitab dan Ahli Ilmu, maka ceritakan perbandingan kami dengan Muhammad’; mereka (dua Yahudi) berkata ‘Terangkan kepada kami tentang kamu (Quraisy) dan Muhammad’. Mereka (Quraisy) berkata ‘Kami menjaga silaturahim, kami menyembelih unta (untuk orang miskin), memberi mereka minum susu, membebaskan mereka dari hutang dan kami memberi minum orang yang berhaji, sedangkan Muhammad adalah punca terputusnya silaturrahim, orang yang mengikut mereka (pengikut Muhammad) merompak orang yang berhaji dari Bani Ghifar, jadi siapakah yang lebih baik, kami atau dia?’. Mereka (Yahudi) berkata ‘Kamu (Quraisy) lebih baik dan lebih berpetunjuk’.” [HR Ibn Abi Hatim].
Maka kejahatan Yahudi ini menjadi asbab kepada penurunan ayat,

أَلَمْ تَرَ‌ إِلَى الَّذِينَ أُوتُوا نَصِيبًا مِّنَ الْكِتَابِ يُؤْمِنُونَ بِالْجِبْتِ وَالطَّاغُوتِ وَيَقُولُونَ لِلَّذِينَ كَفَرُ‌وا هَـٰؤُلَاءِ أَهْدَىٰ مِنَ الَّذِينَ آمَنُوا سَبِيلًا ﴿٥١

“Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada benda-benda yang disembah yang lain dari Allah, dan kepada Taghut, dan mereka pula berkata kepada orang-orang kafir (kaum musyrik di Makkah) bahawa mereka (kaum musyrik itu) lebih betul jalan ugamanya daripada orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad Salallahu ‘alaihi wa Sallam).”  (Surah An-Nisa’ 4:51)

Dari riwayat ini jelas menunjukkan bahawa kaum Yahudi terlaknat ini sanggup memuji dan menyatakan kafir Quraisy adalah lebih berpetunjuk dari Muhammad, yang mana mereka, dalam hal ini, telah jelas-jelas menafikan ajaran kitab (Taurat) mereka sendiri; bahawa sebenarnya ajaran Muhammad dan pengikutnyalah yang lebih baik dan lebih berpetunjuk dari golongan Musyrikin. Jika dilihat dari asbabunnuzul (sebab turunnya ayat) ini, ia jelas menunjukkan sikap Yahudi yang sanggup menggadaikan aqidah tauhid mereka demi mencapai matlamat untuk membentuk pasukan al-Ahzab bagi menghapuskan Muhammad. Mereka sanggup menggunakan apa jua cara asalkan matlamat mereka tercapai.

Ada Di Mana Sahaja

Sebenarnya kaedah ‘Matlamat Menghalalkan Cara’ ini boleh kita temui di mana-mana sahaja dalam arena kehidupan, dari dahulu hingga sekarang. Bagi sesiapa yang mengkaji sejarah Perang Dunia Kedua, mereka akan mengetahui bahawa AS mula terlibat di dalam perang ini setelah serangan di lakukan ke atas Pearl Harbour. Tetapi tidak ramai yang menyedari bahawa AS pada waktu itu ‘sengaja’ membiarkan Pearl Harbour diserang untuk dijadikan justifikasi keterlibatannya di dalam perang ini bagi mencapai matlamat mereka menjadi superpower dunia.
Dalam mencapai matlamat ‘suci’nya ini, sudah ribuan umat Islam dibunuh oleh AS dan ratusan ribu lagi menderita. AS di bawah pentadbiran George W. Bush laknatullah juga menggunakan kaedah yang sama di dalam matlamatnya untuk memerangi Islam dan menawan negara Iraq dan Afghanistan yang dikuasai kaum Muslimin.
Rejim AS sanggup korbankan mangsa di bangunan berkembar WTC demi memburu dan membunuh umat Islam sewenang-wenangnya dan mewar-warkan matlamat ‘murni’ mereka untuk menghapuskan ‘pengganas’.
Apa yang lebih menyedihkan kita adalah terdapat di kalangan umat Islam sendiri yang telah mengambil kaedah Machiavelli ini. Umat Islam ada yang sanggup melakukan apa sahaja termasuk cara yang haram demi mencapai matlamat mereka. Matlamat berlandaskan suatu ‘kesucian atau kemurnian’ sering dijadikan justifikasi untuk menghalalkan apa sahaja tindakan yang mereka ambil.

Hal ini dapat dilihat pada individu, gerakan atau kumpulan tertentu. Contohnya, menyokong kumpulan pengganas menyerang Negara bagi mencapai matlamat tertentu ataupun atas matlamat suci untuk menyara keluarga, ada pihak yang membenarkan ibu tunggal untuk melacur kononnya kerana darurat. ‘Matlamat suci’ di sini telah digunakan untuk menghalalkan perkara yang jelas-jelas haram.
Umat Islam hari ini amat mudah untuk menghalakan cara yang haram atau subahat semata-mata untuk mencapai matlamat yang baik walaupun jalan dan cara yang digunakan bertentangan dengan syariat, akhlak dan nilai-nilai murni yang digariskan Islam.
Ingatlah bahawa agama ini milik Allah SWT dan Allah Ta’ala sahajalah yang berhak menentukan yang halal dan haram. Rasulullah Salallahu ‘alaihi wa Sallam merupakan seorang pejuang Islam yang wajib kita jadikan contoh teladan. Jika Rasulullah Salallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri tunduk dan patuh kepada perintah dan larangan Allah SWT di dalam menegakkan DeenNya, maka sudah semestinyalah kita sebagai umatnya juga wajib berbuat demikian.
Firman Allah SWT:

 لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَ‌سُولِ اللَّـهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْ‌جُو اللَّـهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ‌

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat.” (Surah Al-Ahzab, Ayat 21)

Memerangi Kejahilan dan Ketidakpedulian Demi Malaysia Makmur

Memerangi Kejahilan dan Ketidakpedulian Demi Malaysia Makmur
Oleh Anas Alam Faizli – 26 Mei 2016

Lebih 200 tahun yang lalu, Napoleon Bonaparte pernah berkata, “Aku lebih gentar kepada empat surat khabar yang tidak menyukaiku daripada seribu askar (bayonet).” Napoleon Bonaparte ialah seorang maharaja dan pakar ketenteraan terhandal ketika itu. Beliau berdepan dengan pelbagai kemustahilan sepanjang operasi ketenteraannya.

Napoleon bertempur dengan 25,000 tentera Empayar Ottoman dan 6,000 tentera di Mesir malah berdepan dengan angkatan tentera Austria dan Russia di Austerlitz. Empayarnya menjarah Sepanyol, Afrika Utara sehingga ke sempadan Russia.

Walaupun dengan semua pencapaian ini, Napoleon masih gentarkan surat khabar. Mengapa? Kerana surat khabar boleh mengawal dan mempengaruhi idea, kata-kata dan perdebatan. Napoleon takutkan perpecahan dalaman. Napoleon mahu kuasa kawalan mutlak. Malah berkata, “Aku mahu mencipta sebuah badan pendidikan yang akan menentukan cara orang Perancis berfikir!”

Dan itulah yang dilakukannya, mencipta rangkaian sekolah awam dalam usahanya untuk membentuk dan menentukan bagaimana rakyat Perancis sewajarnya berfikir dan bertindak. Usaha yang dilakukan Napoleon melalui sekolah awam terbukti berkesan tetapi beliau memandang rendah dan meletakkan titik noktah kepada kreativiti dan intelektualisme manusia. Konsep yang sama kemudiannya diadaptasikan di seluruh Perancis, dan menembusi tamadun Barat sehingga ke Amerika, dan akhirnya ke seluruh dunia.

Kebebasan Bersuara Menuju Pemikiran Kritis

Adakah rakyat Malaysia juga dikawal dalam aktiviti berfikir dan bertindak? Adakah kita, selaku negara bangsa yang moderat dan progresif, memahami makna kebebasan, keadilan dan demokrasi yang sebenar?

Masyarakat perlu mula berfikir, mempersoal dan melibatkan diri, bagi memahami matlamat bidang kuasa, keputusan penghakiman atau sistem tertentu. Kita perlu mewujudkan landasan yang selamat untuk menggalakan wacana intelektual dan mengizinkan rakyat Malaysia berfikir di luar kotak, mengatasi batas makna yang diajar di sekolah, norma masyarakat dan kerajaan.

Ini mungkin kelihatan seolah-olah seperti galakan untuk menyertai aktiviti memberontak tanpa hala tuju yang mengancam keselamatan awam. Namun sebenarnya kalau mempertimbangkan soal psikologi secara songsang dan kerencaman moral tidak diniatkan yang selalunya hanya berlaku apabila rakyat ditekan dan dalam situasi inilah rakyat akan berpihak dengan pihak pembangkang, walaupun pihak pembangkang itu tidak semestinya menjunjung kebenaran. Mereka membangkang hanya kerana ditekan.

Generasi muda terutamanya, akan mudah dipengaruhi dengan pelbagai idea, tanpa mengambil kira kesahihan, hanya kerana untuk menjadikan diri mereka berlainan daripada arus perdana. Ini tidak sihat. Kita perlu membenarkan dan membebaskan wacana dan wadah intelek. Pihak terpinggir dan tertindas perlu diberikan ruang untuk berdialog dan berdebat.  Idea perlu dicabar dalam ruangan awam.

Bukti sejarah menunjukkan kemerdekaan idea dan pemikiran telah berjaya mencetuskan Revolusi Industri Britain. Malaysia juga perlu meraikan “Pencerahan” lebih daripada sekadar kemakmuran luaran semata, melalui Pemikiran Kritis.

Revolusi industri dan masa gemilang penciptaan hanya boleh berlaku sekiranya manusia diberikan kebebasan berfikir.  Hanya ketika itulah manusia boleh mencapai kegemilangan hinggakan langit bukan lagi batas malah bulan pun boleh diraih.

Kisah Mobiliti Sosial melalui Pendidikan

Datuk saya merupakan testimoni bagaimana pendidikan melonjakkan mobiliti sosial rentas generasi. Beliau berasal dari Telok Panglima Garang, jauh daripada kesesakan Kuala Lumpur. Di awal hidupnya, beliau pelajar terbaik di sekolahnya dan ditawarkan biasiswa oleh Resident British ketika itu.

Beliau menyempurnakan pengajiannya di Victoria Institution, bekerja sebagai wartawan dengan akhbar Majlis. Ketika saya kecil, saya masih mengingati bagaimana beliau menekankan peri pentingnya pendidikan dan kesedaran sebagai kunci penggerak tamadun kemanusiaan yang hebat. Beliau bekerja keras bagi memastikan semua anak-anak serta cucu-cucunya berjaya menyempurnakan pendidikan tinggi. Saya masih ingat kata-katanya yang beliau tidak ada penyesalan lain kerana semua cucu-cucunya memperolehi pendidikan yang baik.

Banyak yang telah ditulis bagaimana Malaysia sewajarnya bebas daripada perangkap dan cengkaman pendapatan sederhana. Kita sudah terperangkap di dalamnya sejak 1996. Satu-satunya cara untuk bergerak ke depan ialah melalui pendidikan. Sejarah Negara Dunia Pertama berulang kali, membuktikan bagaimana betapa kuatnya kuasa pendidikan yang menjadi asas ketamadunan serta mampu meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.

Menghargai Atok

Apabila saya memulakan perjalanan ijazah kedoktoran, adalah menjadi harapan untuk saya membentuk kesedaran dan menyumbang kepada masyarakat melalui tesis dan rencana. Kelompok rencana yang diterbitkan sewaktu penyelidikan merupakan sebahagian daripada naskah yang berjudul “Malaysia Kaya, Rakyat Miskin”.

Naskah ini menggambarkan pemerhatian operasi harian Petronas kepada orang awam, selaku “cash cow” terbesar negara dan sumbangannya kepada pertumbuhan Malaysia. Saya kemudiannya juga menulis tentang realiti sosio ekonomi Malaysia, terutama sekali dalam soal Pendidikan dan Kesukarelawan.  Saya cuba menterjemahkan faedah yang diperolehi daripada pendidikan; bahaya perangkap pendapatan sederhana; kesenjangan pendapatan yang semakin meluas serta kebejatan sosial yang semakin memburuk. 

Paling mustahak, saya cuba menekankan bagaimana sebuah sistem pendidikan yang menyeluruh mampu memberi manfaat kepada keadaan sosio ekonomi yang lebih menyeluruh, yang pada masa sama akan menghapuskan kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan negara bangsa. Hujah-hujah itu akhirnya dirumuskan kepada keperluan mendesak kepada pembuat dasar supaya memperkenalkan sasaran “Seorang Graduan, Sebuah Isirumah”.

Perlu diakui, saya menyentuh pelbagai isu. Tetapi secara keseluruhannya, pendidikan ialah salah satu, tidakpun yang satu-satunya, penyelesaian terpenting bagi kebanyakan masalah yang dihadapi kita pada masa kini. Perjuangan saya bukan memerangi ribuan askar. Perjuangan saya ialah penentangan kepada kelompangan pendidikan dan ketandusan kesedaran. Saya sepenuh raga percaya dan yakin yang hanya melalui pendidikan Malaysia akan makmur. Saya sepenuhnya percaya yang pendidikan ialah penyelesaian, kalau tidak kepada semua masalah, sekurang-kurangnya kepada banyak khilaf sosio ekonomi negara ini. Pendidikan sejati mengajar kita berfikir, bukan patuh buta.

Membentuk Kesedaran Bersama

Seperti debu yang tidak dipedulikan, begitulah kalau bersendirian dalam perjuangan- seperti saya dengan idea-idea ini. Bagaimanapun, debu sekecil ini boleh mencetuskan ribut sekiranya lebih ramai berpakat membentuk usaha bersama demi rakyat Malaysia.

Sekiranya kita membenarkan pemikiran untuk disemai, ia akan berubah menjadi dividen untuk negara bangsa kita yang kecil dan merdeka ini, tetapi masih lagi bergelut untuk memahami makna sebenar pertumbuhan, kemodenan dan pembangunan manusia. Sekiranya kita terus menghalang dan gagal menggalakkan pemikiran, rakyat Malaysia akan ditinggalkan berpecah belah dalam pergelutan sukar mencari makna dalam kebanjiran pengaruh global.

Pemikiran bukan hanya mencetuskan revolusi dan pergerakan anti-pemerintahan, tetapi juga membentuk dunia akademik, masyarakat dan mempengaruhi kepimpinan, perangkaan dasar, dan akhirnya kehidupan sejahtera manusia umum.

Selaku negara sedang membangun, Malaysia sedang mendepani halangan terakhir dan tersukar untuk mencapai kekayaan dan kemakmuran; yakni pembentukan masyarakat berasaskan ilmu pengetahuan, dipandu oleh para intelek dan pemikir. Baca, faham, fikir dan bertindak!

Mari semai budaya membaca dan pemikiran kritis dalam kalangan rakyat Malaysia, menggalakkan kecintaan ilmu, cukup peduli untuk melonjakkan status sosio-ekonomi dan bergerak maju kepada Malaysia yang lebih makmur.

*Anas Alam Faizli mempunyai ijazah kedoktoran pentadbiran perniagaan. Beliau merupakan ahli profesional industri pembinaan serta minyak dan gas, penulis buku Rich Malaysia, Poor Malaysians dan berTwitter di @aafaizli

Chegubard: Anwar’s letter was not first warning

KUALA LUMPUR: Letters warning about the dangers of working with former prime minister Dr Mahathir Mohamad have been issued since the inception of the Citizen’s Declaration, according to Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) chairman Badrul Hisham Shaharin.
Speaking at a press conference here today, Badrul Hisham, also known as Chegubard, said jailed former Opposition leader Anwar Ibrahim’s letter detailing the perils of working with Mahathir came as no surprise as he had already written many letters which were “unfortunately” either ignored, kept secret, or misconstrued by both party members and the public to the point where he was “forced to write such a detailed and long letter”.
He was referring to former News Straits Times Group editor-in-chief Kadir Jasin’s recent questioning on the timing of the recent letter.
“I, for one, who have long been involved in the Reformasi struggle, am ashamed that we need such a clear signal from Anwar before we begin to pay attention to what is happening,” said Chegubard.
He added that many PKR members had forgotten their place, and that when they decided to work with Anwar’s nemesis, they had put Anwar, the Reformasi movement, and the people who believed in the Reformasi struggle, on the backbench.
“Don’t forget you were put in your place by the people, so don’t be deaf to them. When you cross Anwar, you cross Reformasi activists and that will only create trouble for you.”
MaSSSA (Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia) chairman Mustapa Mansor, who was also present, said since the Reformasi era in 1998, those who had struggled for the Reformasi movement had been “on standby” for letters from Anwar.
“Those who are asking why Anwar has only now decided to write this letter do not know much about the history of the Reformasi struggle,” he said.
When asked to comment on PKR President Dr Wan Azizah Wan Ismail’s statement that the letter was meant for party members, Chegubard said because Anwar was a public figure, anything he wrote was meant for the public.
“Previously, before Anwar was first put in prison, he made a video that was meant for his children. That video was used by all Opposition parties and activists for the Reformasi struggle.
“Why didn’t they say back then that ‘this video is meant for his children?’ He is a public figure and even letters given to his children are items that the public needs to pay attention to,” he said.