Wednesday, November 26, 2014

Media Indonesia buktikan rakyatnya punya Kad Pengenalan Malaysia !

Kenyataan Umum
24 November 2014

Warga Indonesia Punya Kad Pengenalan Malaysia : Putrajaya Perlu Beri Penjelasan

Solidariti Anak Muda Malaysia menuntut Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk memberikan penjelasan penuh berhubung warga Desa Labang, Indonesia yang mempunyai kad pengenalan Malaysia untuk memudahkan urusan keluar masuk ke negara ini melalui Keningau, Sabah. Tuduhan ini bukanlah satu tuduhan yang boleh dipandang enteng memandangkan ianya telah menjadi tajuk berita akhbar negara berkenaan (rujuk gambar akhbar tersebut di bawah).

Apakah polisi kewarganegaraan dan pemilikan Kad Pengenalan Malaysia telah berubah? Adakah rakyat Indonesia diberikan pengecualian khas untuk turut mendapatkan kad pengenalan Malaysia?

Menurut laporan akhbar tersebut, terdapat ejen pembuat IC yang mengenakan bayaran sebanyak RM 500 dan pemohon hanya perlu memberikan sekeping gambar sahaja untuk membuat kad pengenalan. Prosesnya kelihatan sungguh mudah berbanding proses memohon kewarganegaraan yang lebih rumit sama ada dari segi dokumentasi atau pun kelulusan.




Maka, timbul persoalan apakah ini merupakan sindiket atau satu lagi projek haram yang dihalalkan oleh pihak berkuasa atas sebab kepentingan politik? Rakyat Sabah nampaknya sekali lagi sedang dijadikan mangsa dengan kali ini kebanjiran warga Indonesia yang memiliki kad pengenalan Malaysia. Lebih membimbangkan jika warga-warga Indonesia ini diberikan taraf bumiputera.

Sehubungan itu, Solidariti Anak Muda Malaysia mendesak Putrajaya memperjelaskan perkara ini. Kegiatan memberikan kad pengenalan berlandaskan alasan memudahkan urusan keluar masuk ke negara ini adalah sangat tidak beretika dan menggadai keselamatan negara.

Tanpa proses saringan dan siasatan latar belakang pemohon yang ketat, Putrajaya sedang membuka laluan untuk mengulangi semula kebanjiran warga Sulu dan Filipina yang akhirnya telah mendatangkan ancaman kepada negara kita. Tindakan ini boleh dikategorikan sebagai satu tindakan bebal yang tidak mempelajari daripada insiden serangan pengganas Sulu dan juga situasi terjejasnya keselamatan perairan Sabah sehingga kini.

Rejim Najib Razak tidak harus terus menggadaikan keselamatan negara dan juga nyawa petugas-petugas keselamatan Malaysia lagi.

Mohd Faizal Ab. Rahman
Penyelaras Segmentasi Antarabangsa
Solidariti Anak Muda Malaysia


klik sini untuk menyumbang kepada SAMM


No comments:

Post a Comment