Monday, September 09, 2013

Tumpu Perkukuh Demokrasi Parlimen Sebelum Bentuk Kabinet Bayangan

Kenyataan Terbuka
9 September 2013

Tumpu Perkukuh Demokrasi Parlimen Sebelum Bentuk Kabinet Bayangan

Sekali lagi polimik kabinet bayangan diperkatakan, kali ini ia dimulakan dengan cetusan oleh Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan dalam kenyataan terbukanya Sabtu lalu. Cadangan menjelmakan kabinet bayangan dari kalangan Pakatan Rakyat ini pula disambut segera oleh Khairy Jamaluddin umpama Datuk Lee Chong Wei melakukan 'smash' bola tanggung di hadapan net.

Perlu diingat bahawa kabinet bayangan bukan sekadar senarai calon siapa nak jadi bakal menteri. Kabinet bayangan ialah senarai kumpulan atau individu ahli parlimen atau siapa sahaja yang dinamakan oleh parti pembangkang bagi menangani isu berdasarkan kementerian atau segmentasi.

Persoalan paling utama di Malaysia ialah kabinet bayangan di malaysia tidak akan berfungsi kerana demokrasi dan sistem berparlimen Malaysia tidak berjalan dengan baik. Sebagai contoh, jika kita meletakkan seorang atau sekumpulan sebagai pemantau perihal ekonomi, dan mereka mahu mengeluarkan cadangan balas berkaitan TPPA pasti gagal kerana semua rundingan mengenai TPPA dirahsiakan. Malah jika perjanjian itu ditandatangani pun hanya selepas beberapa tahun kemudian baru boleh perjanjian itu diketahui.

Perjanjian TPPA bukan sahaja menjadi rahsia kepada kabinet bayangan malah ahli parlimen kerajaan sendiri tidak memiliki butiran rundingan. Maka apakah ertinya kabinet bayangan tanpa ruang akses maklumat? Lagi contoh, jika PR bentuk kabinet bayangan untuk Kementerian Pertahanan maka adakah PR mampu memperolehi butiran pembelian senjata?

Maka sesiapa yang mahu bercakap soal kabinet bayangan harus memahami asas kewujudan kabinet bayangan itu dahulu. Jika tidak ia akan dilihat lebih kepada 'test market' untuk ketahui di mana kedudukan diri dalam kabinet tersebut, atau sebenarnya telah sebabkan pasukan sendiri terjerumus ke dalam perangkap musuh secara tidak sedar, memberi ruang kepada musuh untuk kucar-kacirkan kesepakatan.

Kepada dua ketua pemuda dari PAS dan umno ini, adalah lebih baik kiranya kita selaku anak muda memikirkan bagaimana memperkukuhkan sistem dua parti, membuka ruang demokrasi ke arah mempertingkatkan penglihatan rakyat dalam sistem demokrasi, memperkukuh integriti sistem negara. SAMM sedia menyertai perbincangan tersebut.

SAMM percaya Khairy Jamaluddin faham dan mampu melakukan ke arah itu namun kadang-kala dia juga tidak terlepas dari terperangkap dengan kenakalan pemain politik.

Kabinet bayangan bukan seperti permainan kad untuk tonjol kad siapa paling kuat, tetapi semangatnya lebih kepada timbang-tara (check and balance). Ia harus juga disuburkan dengan ruang demokrasi perdebatan terbuka demi mencari pendekatan terbaik buat tanahair. 

Dalam masa yang sama, Khairy juga harus menjadi penggalak ke arah pertemuan antara Perdana Menteri Malaysia dan ketua pembangkang negara, samada untuk dialog atau aksi debat, yang penting rakyat menilai.

CHE'GUBARD
Penyelaras
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)


 SAMM ialah sebuah gerakan anak muda (tidak ada struktur dan hiraki formal) yang menghimpunkan anak muda Malaysia dari perbagai latar yang percaya akan keperluan bangkit dengan keberanian dan sepenuh daya mendesak perubahan. Perubahan bukan satu takdir yang harus ditunggu sebaliknya merupakan satu tanggungjawab anak muda untuk sama mendesak dan menggerakkan massa ke arahnya.
 
Perjuangan yang kita lakukan hari ini ialah warisan perlawanan rakyat yang ditindas sebelum ini. Perjuangan ini ibarat mata rantai, kita bukan yang dahulu tetapi kita bukan yang terakhir. Cuma lakukan yang terbaik ketika zaman kita, anak muda harus berani mencipta sejarah. SAMM memerlukan sumbangan dana semua untuk terus bergerak. Sumbangan boleh terus disalurkan ke akaun Solidariti Anak Muda (akaun maybank 555041113224). www.anakmudamalaysia.com

No comments:

Post a Comment