Saturday, June 08, 2013

che'GuBard sengaja memilih muncul tanpa peguam (transkrip)

Seperti Isnin yang biasa ia merupakan hari sibuk bagi che'GuBard lebih - lebih lagi Isnin pertama bulan ini. Dari urusan pembayaran bil, pemeriksaan stok perniagaan sehinggalah urusan berkaitan penyelarasan aktiviti berkaitan SAMM. Isnin juga akan banyak sesi pertemuan dan mesyuarat. Tanggungjawab menyelaras Pusat Khidmat di Dun Sg. Acheh menambah kerja tetapi banyak teralas beban dengan kesanggupan dan kesetiaan Yaser Sheikh Abd Rahman untuk berpindah ke sana dan mengendalikannya bersama atuk saudara yang dikenali sebagai Paksu Manap.

Kesibukan Isnin sedikit terganggu kerana dihubungi oleh isteri, ibu dan beberapa teman yang memaklumkan sekumpulan anggota Polis dari IPD P.Jaya hadir ke rumah che'GuBard, rumah ibu dan beberapa lokasi yang sering che'GuBard berada kononya untuk memastikan che'GuBard hadir ke mahkamah bagi satu pendakwaan. Sebelum ini pada 26 Mei sememangnya che'GuBard dikejutkan dengan Notis Polis 45 yang ditampal dipintu rumah dalam kawasan berpagar. Notis itu ditandatangani oleh ASP Lim dan turut tercatat nombor telefonya. Menggunakan kuasa penerima notis boleh memilih mana - mana balai terdekat maka che'GuBard menghubungi ASP Lim dan meminta soal siasat dirakam di Balai Polis Seremban 2. Semua berjalan baik dan lancar, kerjasama penuh diberikan. Cuma polis mungkin sedikit kecewa kerana kesemua soalan dijawab dengan "saya akan jawab hanya apabila dipanggil ke mahkamah nanti" kerana itu hak kita agar jangan dimanipulasi kenyataan dalam mahkamah nanti.

Sebaik menerima berita 3 Jun lepas Polis P.Jaya cari hingga ke rumah, che'GuBard pelik bukankah boleh telefon atau sms sahaja. Mudah untuk dijangka pasti pasukan yang sama cuba menyampaikan waran saman panggilan ke mahkamah untuk pendakwaan. Boleh mengelak dan memperlengahkan tetapi pesan guru menjadi azimat. che'GuBard terus sms ASP Lim bertanyakan sama ada dia mencari che'GuBard dan setelah dibalas ya dan dinyatakan sebab maka che'GuBard telah menetapkan 4 Jun jam 2 ptg untuk bertemu di bawah Ibupejabat PKR di Damansara kerana kebetulan selepas itu perlu hadiri satu mesyuarat di situ. Semua berjalan baik dan dirakam di depan media. Waran menyatakan che'GuBard harus hadir di Mahkamah Seksyen 4, Petaling Jaya bagi menghadapi tuduhan dibawah akta perhimpunan aman 9 (1).

Berita tersebar cepat. Ramai sahabat peguam menghubungi seperti Senator Saiful Izham (ketika itu di Alor Setar) dan Komrad Nizam (Temerloh) , namun che'GuBard nyatakan sendiri tak perlu susah-susah awal ni. che'GuBard dah putuskan muncul di mahkamah sendirian. Ya, tanpa peguam berdiri dan bercakap terus dengan Hakim, membela diri sendiri.

Ini tekad dilakukan bagi menunjukkan perjuangan ini ialah kesediaan bagi bangkit untuk membela diri. Ia proses pemerkasaan diri dalam melawan regim di harap ia boleh insiprasikan yang lain agar bangkit melawan tanpa mengharapkan orang lain.

Sehari sebelum mahkamah banyak panggilan diterima khususnya dari komrad SAMM, saya cuma katakan takpa esok jangan ramai ke mahkamah lain tumpu kerja masing - masing. Ada yang hubungi katanya sedang usaha kumpul wang jaminan, ada yang hubungi minta gunakan sahaja tabungan SAMM semuanya dijawab dengan baik dengan tengoklah esok.

Jebat komrad dari Langkawi, SPA penyelaras WP dengan tegas ingatkan agar che'GuBard jangan langsung ada idea untuk tidak membayar jamin dan masuk ke penjara membakar gerakan dari dalam kerana mereka katakan che'GuBard diperlukan di luar. Entahlah seperti mereka membaca lintasan fikiran ini pula.... tetapi itulah adik beradik dalam SAMM kami sangat rapat.

Pagi itu isteri menghantar sampai pintu rumah sambil pesan berkali - kali "apa-apa bagitahu".... dia walaupun sudah biasa tetapi mungkin cemas juga dengan keputusan apa yang akan diambil.....che'GuBard dan Sani ke mahkamah berdua, Azif (Sepang) yang memandu kereta kancilnya tertinggal jauh. Menghampiri jalan masuk ke Mahkamah PJ kami terkejut Polis ramai jalan tutup, seperti biasa Sani yang keras kepala terus menujak ke penghadang kon tutup jalan sambil menunjukkan surat panggilan ke Mahkamah. Polis memberikan laluan sampai di depan mahkamah kami lebih terkejut sudahlah wartawan ramai polis pula sangat ramai bagi mengawal kami yang cuma hadir berdua.

Terus naik ke atas dan memasuki bilik Mahkamah Seksyen 4 dengan di iringi beberapa pegawai polis sambil kamera wartawan tak henti berkelip. Sebelum masuk mahkamah Sani bisik RM5,000 dah sedia kalau nak jamin nanti, kutipan yang dibuat secara umum semalamnya cuma mengutir RM235 sahaja. che'GuBard cuma balas dengan senyuman. Tepat jam 9.15 pagi Hakim perempuan masuk YA Yasmin Abdul Razak namanya. che'GuBard dipanggil ke ruang perbicaraan, Sani berbisik lagi ingat ikat jamin jangan lebih RM5,000 kalau tak susah.

Pendakwa memperkenalkan diri dan memaklumkan che'GuBard membela diri sendiri. Hakim pandang dan senyum. Tuduhan dibacakan oleh penterjemah dalam mahkamah yang disaksikan hanya Sani selain wartawan. Sebaik sahaja tuduhan dibacakan che'GuBard menyambut dengan 'saya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan'.

Pendakwaraya bangun meminta tarikh perbicaraan cepat dan che'GuBard dikenakan ikat jamin. Hakim tanya che'GuBard apa nak cakap.

che'GuBard bangun hujahkan ;

"Yang Arif Puan Hakim ;
  • ikat jamin bukanlah hukuman sebaliknya ialah jumlah jaminan agar memastikan saya hadir proses mahkamah dan tidak lari
  • saya punya rekod kes mahkamah sejak tahun 2001 dan semua kes diselesaikan dengan baik tidak ada satu pun kes saya lari dan hilang diri 
  • saya mohon jumlah yang dikenakan rendah dan munasabah tidak mungkin saya akan lari kerana terlalu mudah untuk dicari kerana dikenali dalam negara (luar negara tidak pula mampu untuk lari) 
  • dalam kes ini, kalau tak percaya tanya ASP Lim (sambil menunjuk kepada dia yang ada dalam mahkamah) saya tahu dia cari saya 3 hari bulan di banyak tempat tak dapat , saya sendiri hubungi dia untuk aturkan pertemuan untuk menerima kertas samana arahan hadir ke mahkamah, maka saya mohon pertimbangan bijak sana Yang Arif.
Selepas mendengar hujah che'GuBard, Hakim menjawab baiklah memandangkan kes ini hanyalah kes saman dan bukanlah serius sangat ......

Hakim memandang che'GuBard dan bertanya "Jika saya panggil ke mahkamah che'Gubard, kamu mesti hadir kan ?"

che'GuBard pantas menjawab "Sudah pasti Yang Arif saya hadir"

Terus hakim menetapkan "kamu che'GuBard dibebaskan hari ini dengan jaminan kamu mesti hadir sepanjang proses perbicaraan dan tiada jumlah wang ditetapkan untuk jaminan. 9 Julai sebagai tarikh pengurusan kes. Kamu che'GuBard lantiklah peguam senang dari segi teknikal dan proses perbicaraan. 9 Julai bawa peguam untuk pengurusan kes"

Pantas che'GuBard balas "Baik Yang Arif, TQ"

** hujah dan dialog tu lebih kurang kerana ditulis selepas 3 hari kejadian.

kami memerlukan sumbangan anda semua klik sini untuk menyumbang kepada SAMM

1 comment:

  1. tahniah chegubard, anak muda yg ckup radikal tapi bijak bertindak, gerakan anak muda brani melawan rejim zalim semakin kuat, jika seorg chegubrd ke tirai besi ramai lagi yg akan lahir seperti chegubard, bila baca kisah perjuangan chegubard , ingat balik lagu sunnah berjuang versi nadamurni..semoga haruman subur perjuangan cb diberkati oleh NYA

    ReplyDelete