KUALA LUMPUR, 2 Okt (Hrkh) - Dalam meneruskan perjuangan menobatkan keadilan di Malaysia, Angkatan Muda KeADILan Negeri Sembilan (AMKNS) tiada istilah rehat, kedatangan Ramadan kali ini menjadi wadah untuk memperhebatkan aktiviti mendekati rakyat dengan melancarkan kempen kesedaran sempena Ramahdan, kata Pengarah Kempen Ramadannya, Badrul Hisham Shahrim.
Menurutnya, AMKNS melihat, kesempitan hidup dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini menambah tekanan kepada hampir keseluruhan rakyat.
Kepedihan ini akan lebih terasa kepada mereka yang sememangnya mengalami kesukaran hidup sebelum ini, justeru sempena Ramadan ini AMKNS tidak akan melupakan golongan fakir di negeri bersendi adat perpatih ini, kata Badrul Hisham semasa memberi maklumat kepada Harakahdaily hari ini.
Dalam program yang dinamakan Jejak Fakir, 12 keluarga telah dipilih untuk diberi bantuan makanan dan kewangan sempena Ramadan, katanya.
Bermula pada 14 dan 15 Oktober, AMKNS akan mengadakan konvoi besar-besaran menuju kediaman lokasi keluarga tersebut untuk menyampaikan bantuan, ujarnya.
Bukan setakat menyampaikan bantuan malah AMKNS turut sedia mengadakan gotong royong membantu keluarga tersebut, katanya.
Lebih menarik katanya, antara keluarga yang turut di senarai menerima bantuan ialah daripada keluarga Tionghua dan India, malah ada antara mereka merupakan ahli dan menyokong Umno semenjak 30 tahun dahulu tetapi gagal mendapatkan sebarang bantuan, katanya.
Ini menunjukkan pendirian jelas KeADILan iaitu membantu sesiapa yang memerlukan tanpa mengira latar belakang, ujarnya.
Bantuan yang disampaikan adalah sumbangan orang ramai yang dikumpulkan. Sesiapa yang prihatin dan turut ingin membantu boleh menyalurkan bantuan dari segi kewangan mahupun barangan dengan menghubungi Azizi 012-369 6474 atau Amiruddin 012-3589872
Sementara itu Badrul Hisham juga memberitahu, dalam bulan yang mulia ini juga AMKNS akan melancarkan kempen kesedaran mengenai kepincangan pengurusan kewangan kerajaan negeri.
AMKNS akan mencetak risalah, poster dan sepanduk mendedahkan laporan Audit Negara (yang dibentangkan di Parlimen) mengenai pembaziran serta salah guna dana bantuan orang miskin oleh kerajaan negeri.
Dalam risalah itu, AMKNS antara lain akan mendedahkan wang sejumlah RM4.5 juta dari dana orang miskin telah digunakan hanya untuk mengubah suai kediaman rasmi MB yang baru sahaja siap.
Selain itu kata Badrul Hisham, risalah juga akan mendedahkan soal penggunaan wang sejumlah RM5.44 untuk membeli perabot Pejabat Daerah Port Dickson dan Seremban.
AMKNS amat kesal dengan pembaziran tersebut dalam keadaan di negeri ini terlalu banyak orang miskin yang sewajarnya dibantu menggunakan dana ini, katanya.
Rakyat negeri ini harus di beritahu perkara ini, justeru AMKNS akan menumpukan pengerdaran di masjid dan pasar Ramadan untuk menyebarkan makluman ini, kata Badrul Hisham. - lanh
No comments:
Post a Comment