Monday, August 15, 2005

Pasar raya besar bukan jalan penyelesaian bendung inflasi

KENYATAAN MEDIA

Biro Bencana dan hal ehwal masyarakat Angkatan Muda Malaysia memandang serius kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam akhbar tempatan 5 ogos 2005 , Dato' Mohd Shafie Apdal yang menyatakan kerajaan sedia mengkaji semula pembekuan kelulusan pembinaan pasar raya besar yang dibuat sejak tiga tahun lalu kerana dikatakan mampu membendung inflasi.

Dari satu factor memang tidak dinafikan konsep pasaraya besar mampuerupaya menawarkan orang ramai dengan harga yang agak murah dan urusan membeli belah yang mudah. Tetapi satu kajian mendalam perlu dilakukan sebelum tindakan tersebut diambil kerana jika dilihat dari sudut pertumbuhan ekonomi negara hal seperti ini akan mewujudkan kurangnya daya saing antara pengusaha runcit tempatan.

Kesan daripada monopoli oleh pasar raya besar akan membantutkan usaha kerajaan untuk melahirkan peniaga-peniaga tempatan terutamanya di kalangan bumiputera. Lebih memberikan kesan kepada ekonomi rakyat terbanyak apabila kebanyakan pasar raya besar bukan milik rakyat Malaysia sepenuhnya, majoriti daripada saham dimiliki oleh pengusaha asing. Konsep monopoli ini menyebabkan amat sukar untuk peniaga kecil tempatan bersaing dengan syarikat gergasi dunia yang telah mempunyai logistik meluas dalam mendapatkan barangan runcit.

Mohd Shafie seharusnya melihat kesan jangka panjang yang akan menimpa peruncit dan peniaga kecil sebagai contoh sudut peruncitan antarabangsa di mana kerajaan Perancis telah mengenakan sekatan melalui Royer Law 1973 demi menjaga kepentingan peniaga kecil daripada ditindas oleh pasar raya besar.

Kerajaan di Jepun juga turut memperkenalkan undang-undang untuk mengurangkan pertumbuhan pasar raya besar dan itu membuktikan bahawa negara-negara lain telah melaksanakan sekatan kewujudan pasar raya besar.Kajian seharusnya meneliti impak kesan ekonomi kepada masyarakat jangka panjang sebelum membuat keputusan mengenainya.
Sebenarnya tindakan mengkaji semula pembekuan kelulusan itu setelah kerajaan menyedari bahawa rakyat terpaksa menanggung segala bebanan kos hidup ekoran kenaikan harga diesel dan petrol.Secara tidak langsung kerajaan mengakui kesan kenaikan petrol dan diesel, kenaikan yang berturut-turut dalam tahun ini telah meningkatkan Indeks Harga Pengguna (IHP) melepasi paras tiga peratus berbanding 1.4 peratus tahun lalu.

Kerajaan mesti sedar bahawa kenaikan kadar inflasi adalah disebabkan kegagalan kerajaan mentadbir ekonomi negara khususnya dengan tindakan kekerapan kerajaan menaikkan harga minyak petrol dan diesel bukan kerana peniaga kecil yang terpaksa menaikkan harga barang. Yang paling penting rakyat perlu sedar kesalahan itu bukan hanya diletakkan di bahu peniaga kecil yang menaikkan sedikit harga barang tetapi kerana kerajaan gagal mengawal inflasi dalam negara.

No comments:

Post a Comment