Thursday, December 26, 2002




PETIKAN DARI MALAYSIAKINI.COM

Exco Pemuda Keadilan Badrul Hisham Shaharin menafikan laporan sebuah laman web yang menyebut beliau adalah antara kumpulan yang mewakili aktivis reformis, akan meletakkan jawatan kerana kecewa dengan perletakan jawatan Ezam Md Nor sebagai ketua pergerakan itu.
Sebaliknya, Badrul Hisham berkata, beliau tidak akan ‘mengkhianati’ kepercayaan perwakilan yang memilihnya untuk menyandang tugas sebagai exco pergerakan itu.
“Saya berjanji akan terus berusaha sebaik mungkin dalam melaksanakan kepercayaan yang diberikan. Saya juga menafikan saya merasa kecewa dengan tindakkan Ezam menyuarakan hasrat beliau malah saya amat memahaminya,” tegasnya dalam satu kenyataan kepada malaysiakini.
Menurutnya, laporan mengenai perletakan jawatan beberapa exco pemuda, termasuk Badrul Hisham, telah disiarkan oleh laman web Umno-reform.com pada 12 Nov lalu, kerana dikatakan kecewa dengan perletakan jawatan Ezam sebagai ketua pemuda Keadilan.
“Ezam tidak meletakkan jawatan, cuma apa yang berlaku ialah beliau telah menghantar surat menyuarakan hasrat beliau untuk memberikan laluan kepada muka baru terutama selepas penggabungan Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).
“Beliau memberikan alasan bahawa tindakan kerajaan memenjarakan beliau telah menghadkan sumbangan beliau kepada parti dan dengan pemilihan muka baru mungkin satu tenaga baru mampu dijana,” tegas Badrul Hisham.
Propaganda lawan
Menurutnya lagi, mesyuarat exco Pemuda Keadilan telahpun bersetuju menolak hasrat Ezam.
“Semua exco juga memberikan jaminan sepenuh komitmen kepada Saifuddin Nasution Ismail (naib ketua) selaku teraju pemuda keadilan selepas Sdr Ezam,” tambahnya.
Malah, katanya, usaha penggabungan pemuda Keadilan dan Angkatan Muda PRM dipercepatkan sebagai satu lonjakan kekuatan parti dan seterusnya memperkuatkan jentera peringkat pemuda untuk menghadapi pilihanraya akan datang.
Sehubungan itu, beliau menyeru penyokong dan pendokong Keadilan supaya jangan mempercayai propaganda media yang sentiasa menjadi ‘pengampu’ parti pemerintah.
Sejak kebelakangan ini, katanya, media terbabit asyik memainkan isu perpecahan dalam Keadilan, khususnya dalam sayap pemuda parti itu.

No comments:

Post a Comment