KENYATAAN TERBUKA
2 Jun 2007
Kemenangan sebagai MPT paling muda dalam sejarah keADILan atau mungkin sejarah parti politik di Malaysia yang menang pemilihan parti (Kongres keADILan, 25-27 Mei 2007 di Seremban) dan lebih lebih lagi tanpa hadir dan tidak berada di dalam negara amat memeranjatkan.
Saya ingin mengucapkan setinggi tinggi penghargaan atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh perwakilan dari seluruh negara kepada saya. Juga kepada sahabat - sahabat yang mendokong.
Pertamanya kemenangan tersebut saya lihat sebagai amanah yang berat yang harus dipikul khususnya dalam keadaan parti yang harus mengharungi perbagai cabaran dalam keadaan negara yang dirundung perbagai masalah.
Kedua dan lebih penting kemenangan tersebut saya lihat sebagai pengiktirafan parti kepada sumbangan anak muda yang diterjemahkan melalui undi perwakilan dari seluruh negara. Ia juga menjadi tanda kepercayaan dan harapan perwakilan kepada anak muda untuk menuntaskan perjuangan membela rakyat yang kita warisi dan sama kita cetuskan semula semenjak peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim.
Selain dari bersedia untuk melaksanakan apa jua tanggungjawab selaku MPT yang bakal diamanahkan oleh parti , tumpuan saya ialah pengembelingan dan pemerkasaan tenaga muda ke arah reformasi total.
Telah tercatat dalam sejarah semua perubahan berlaku di mana peringkat sekalipun telah ditunjangi gerakan yang muda yang aktif.
Meskipun tidak dikenang. Dimana mana , di dunia perubahan, Revolusi 1789 di Peranchis, Kebangkitan 1980 di Korea dan yang terdekat Reformasi 1998 di Indonesia ditunjangi anak muda.
Proses kemerdekaan negara juga sebenarnya ditunjangi oleh anak – anak muda yang progresif namun imej kemerdekaan negara telah di ’culik’ dan diimejkan semula oleh mereka yang mendapat anugerah kemerdekaan dari penjajah. Proses dan siapa yang memberikan tekanan, berkorban sehingga memaksa British memerdekakan negara menjadi sejarah pinggir.
Semenjak itu perbagai usaha memandulkan gerakan anak muda dilakukan. Kemuncak usaha pemandulan ialah selepas kebangkitan mahasiswa 1970an.
Penguasa sedia maklum bahawa kerajaan yang korup dan tidur akan diancam oleh gerakan progresif anak muda kama perbagai usaha pemandulan terus dilakukan. Dari pengubalan undang – undang seperti AUKU sehingglah hampir semua pertubuhan belia termasuk pertubuhan sukan diambil alih oleh orang politik. Akibatnya dapat dilihat pemimpin politik pemerintah yang sudah berada di hujung usia pun masih menerajui pertubuhan – pertubuhan yang belia.
Impak pemecatan Anwar Ibrahim yang seterusnya melancarkan semula Gerakan Reformasi maka anak muda Malaysia selepas 1998 mula bergerak aktif dan lebih progresif namun perkembangan ini cepat dikesan oleh penguasa.
Maka AUKU diperketat dengan aku janji dan majoriti anak muda akan diwajibkan untuk memasuki proses brain wash melalui PLKN. Jutaan wang rakyat terbazir hanya untuk memastikan gerakan anak muda malaysia terus mandul.
Hujah penguasa ialah jangan ganggu anak universiti biarkan mereka belajar dahulu. Penguasa amat gembira jika gerakan mahasiswa hanya bercakap persoalan asrama dan dewan makan sahaja. Penguasa akan lebih gembira jika pertubuhan belia menumpukan sepenuh tenaga menganjurkan pertandigan kompang peringkat kebangsaan.
Tidak dinafikan ada juga kumpulan anak muda yang terus progresif tetapi bilangan mereka mula mengecil dan bercapah.
Namun akhir akhir ini anak muda sekali lagi menjadi sasaran tembakan apabila di tembak dengan keruntuhan akhlak, moral dan seumpamanya. Hasil kajian kononya semua ini berlaku kerana anak muda tidak minat berpesatuan. Jawapan bagi hasil kajian itu sebenarnya ialah anak muda hilang minat menyertai persatua atau apa juga gerakan kerana semua telah diambil alih oleh parti pemerintah dan kelompok tua yang tidak lagi progresif.
Kerajaan pula hanya mengendalikan permasalan dikalangan masyarakat dengan hanya mengeluarkan dan membazirkan peruntukan kerajaan. Rakan Muda sebuah projek propaganda kerajaan semata mata dan membazirkan wang negara dilancarkan oleh Perdana Menteri ke lima dengan peruntukan RM 176 juta dan sehingga kini telah menelan lebih dari RM500 juta wang negara. Apakah hasilnya ? Bagaimana peruntukan ini di salurkan adakah anak muda terlibat dalam penyaluran peruntukan tersebut ?
Negara kini dalam keadaan kelam kabut. Ekonomi tidak menentu rasuah berleluasa. Kenaikan harga tidak terkawal. Masyarakat semakin melemah dan nasib manusia kini hanya ditentukan pasaran dibawah pemimpin negara yang lemah. Isu kecil seperti isu agama dan perkauman gagal ditangani oleh pemerintah malah pemerintah menggunakan isu tersebut sebagai isu politik. Bangsa Malaysia kini semakin melemah kita bakal dijajah...jika kelemahan ini diteruskan. Rakyat marhaen akan terus ditindas.
Ini masa yang paling di tuntut anak muda harus bangkit menyelamatkan bangsanya. Akan tercatat sejarah yang amat memalukan jika ketika bangsa dilanda kegelapan tetapi anak muda berpeluk tubuh tidak menyedari kegelapan yang mula menyelubungi.
Ini cabaran buat kita semua anak muda. Anak muda harus berani bangkit merentasi batas parti politik, perkauman mahupun agama demi memacu semula sebuah tamadun ke arah kegemilangan.
Anak muda, mahasiswa harus berjiwa progresif, kritikal dan berani. Jika semua tenaga muda progresif negara ini disatukan maka tidak mustahil bangsa Malaysia akan menjadi bangsa yang disegani dunia.
Kumpulan – kumpulan serta gerakan anak – anak muda progresif ini perlu didekaki segera. Pendekatan keADILan berbeza dari pendekatan penguasa. keADILan tidak mahu mengubah menjadi kan gerakan anak muda ini alat politik. Jika bercakap soal rasuah dan pembelaan masyarakat biarkan anak muda bercakap dengan bahasa anak muda.
Kita mahu mahasiswa kekal sebagai mahasiswa, gerakan anak muda kekal sebagai gerakan anak muda malah perlu lebih progresif. keADILan juga memerlukan pandangan kritikal bebas mereka.
Tumpuan bukan sahaja anak muda di bandar tetapi anak muda di desa dan pendalaman juga. Anak muda di Sabah dan Sarawak termasuk kaum asal tidak akan ketinggalan.
Sebagai sebuah parti politik masa depan keADILan juga terbuka untuk dikritik oleh anak – anak muda. Apa yang paling penting pemerkasaan dan pengembelingan tenaga muda harus di satukan ke arah merobah dan menyelamatkan masyarakat dan negara yang korup sakit ini.
Kepada anak muda yang berminat keADILan seharusnya membuka pintu seluasnya untuk mereka sama menyumbang idea dan tenaga untuk membentuk sebuah parti politik yang muda dan segar dari segi pemahaman terhadap perjuangan dan isu semasa.
Masa muda ialah tempoh yang harus dinikmati oleh kita dengan mengorbankan diri membina bangsa,menuntut perubahan. Kebahagian kita apabila ganerasi selepas itu mencatat nama kita dalam sejarah sebagai perobah bangsa. Ini cabaran anak muda...
Anyone who stops fighting is old, whether at 20 or 80. Anyone who keeps fighting stays young. The greatest thing in life is to keep your mind young…and keep fighting for a better world……
Salam perjuangan.
Badrul Hisham Shaharin
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi 2007 / 2010
Parti Keadilan Rakyat
2 Jun 2007, 1.45 pagi
Seoul, Korea Selatan.
wajib baca : Anak Muda jangan asyik politiking sempit
nota kaki : Benar pilihanraya merupakan antara titik perubahan tetapi sebenarnya perubahan bangsa sebenar akan berlaku apabila majoriti anak muda mula faham erti kepentingan membina ketamadunan bangsa. Anak muda harus diberikan kebebasan menentukan hala tuju mereka.......lahirlah gerakan anak muda yang berani dan progresif ...perjuangan adalah perlaksanaan kata - kata...