Catatan Umum
19 Julai 2016 (6.00 petang)
1. Bulan lepas Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman telah mengeluarkan tuduhan yang membawa kegelisahan kepada rakyat dengan membawa tuduhan bahawa DAP merupakan 'kafir harbi'. Kenyataan ini sangat bahaya kerana menurut pandangan kebanyakan rakyat Malaysia pandangan atau kenyataan mufti ialah fatwa dan kafir harbi ialah kelompok kafir yang wajib diperangi sehingga ada yang beranggapan halal darah bagi kelompok tersebut.
2. Kenyataan Mufti ini sangat dangkal dan bagi SAMM yang sentiasa berusaha membawa kematangan masyarakat ini adalah peluang yang harus digunakan sebaiknya. SAMM melihat perlunya perkara ini dibawa kepada perbincangan dan pertembungan hujah supaya rakyat akan lebih matang. Maka pada 27 Jun lepas delagasi SAMM Pahang telah muncul di Pejabat Mufti Pahang bagi membawa surat perlawaan diskusi terbuka melibatkan Mufti Pahang, pimpinan DAP dan beberapa cendiakawan bidang berkaitan. Sudah tentu Mufti punya hujahnya, begitu juga pimpinan kanan DAP yang dituduh malah cendeiakawan dari perbagai latar belakang juga akan menampilkan hujah dan bahas berdasarkan sejarah dan keadaan semasa. Dengan cara ini rakyat akan lebih matang dan Islam itu sendiri akan lebih dihormati.
4. Malangnya beberapa hari lepas telah sampai surat dari Jabatan Mufti Pahang yang ditandatangan oleh Mufti sendiri yang menyatakan tidak boleh kerana perlu mendapatkan perkenan Istana Pahang dahulu. Ini amat mengecewakan dan nampaknya mufti tidak ubah sikap sesetengah pemimpin politik pengecut, dia yang melontarkan isu bila diundang berdiskusi dia berselindung dibalik Istana pula. Bagi SAMM jelas mufti tidak bertanggungjawab dan melepaskan peluang terbaik menjelaskan pandangannya dihadapan orang yang dituduh dan rakyat khususnya kelompok muda.
5. SAMM menasihati Mufti Pahang selepas ini agar lebih berhati - hati mengeluarkan pandangan, selaku orang yang mempunyai kedudukan tinggi dalam Agama Islam seharusnya di menunjukkan contoh yang baik iaitu berani tampil mempertahankan kenyataan dengan hujah, jika tidak lebih baik diam. Dengan kegagalannya ini ia akan dilihat lebih menjadi alat politik semata - mata.
6. Kepada semua rakyat kita harus terus mengekalkan keharmonian negara, kepada bukan Islam jangan terkeliru Islam bukan agama yang suka bermusuhan dan melebel sesuka hati. Islam ialah perdamaian dan rahmat kepada semua. Seperti mana Rasulullah SAW yang diakui semua bangsa dan agama sebagai tokoh yang membawa perdamaian dengan contoh akhlak yang sangat baik.
che'GuBard
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
rujuk juga kenyataan berkaitan klik link bawah :



